22 September 2020

Pasca Moratorium - Adakah anda BERSEDIA?

Sebagaimana yang kita semua tahu, moratorium akan tamat pada 30 September 2020. Moratorium yang bermula pada 1 April 2020 sehingga 30 September 2020 merupakan kemudahan kewangan yang telah diperkenalkan oleh kerajaan untuk membantu rakyat di dalam menguruskan kewangan semasa pandemik COVID-19. Adakah anda dan kita semua bersedia?

Pembayaran balik pinjaman akan bermula pada 1 Oktober 2020 dan peminjam harus membayar hutang piutang sama ada hutang rumah atau kereta atau mana-mana hutang perniagaan. Walaubagaimanapun, bagi peminjam yang menghadapi masalah untuk membayar balik hutang piutang mereka, boleh menghubungi institusi kewangan masing-masing untuk mengetahui pilihan-pilihan yang ada bagi menyelesaikan masalah hutang tersebut. Selepas tamat tempoh moratorium, faedah dan kadar pinjaman bulanan mungkin akan meningkat dan tempoh pinjaman dipanjangkan kepada 6 bulan menggantikan tempoh moratorium tersebut.

Bagi pinjaman gadai janji rumah, faedah terkumpul dari pinjaman tersebut masih perlu dibayar selepas moratorium dengan beberapa kaedah seperti meningkatkan jumlah ansuran bulanan atau memanjangkan tempoh pembayaran pinjaman.

Bagi yang beringat, akan lebih bersedia untuk membayar semula hutang-hutang yang ada selepas 30 September 2020. Tempoh dari April sehingga September 2020, selama 6 bulan memberi peluang kepada semua rakyat untuk mengatur perbelanjaan masing-masing dan menguruskan kewangan dan hutang dengan lebih teratur dan efisien. 

Bagi yang masih belum dapat menstabilkan pendapatan bulanan dan masih lagi mencari-cari pekerjaan, pastinya masih tidak mampu untuk membayar semula semua pinjaman-pinjaman yang ada. Beberapa kaedah penyelesaian telah dicadangkan oleh kerajaan bagi mengurangkan beban kewangan yang dihadapi oleh rakyat.

Pada bulan Julai 2020 yang lepas, PM-8 telah mengumumkan pelarasan moratorium dengan pembayaran yang fleksibel bagi mereka yang terjejas teruk oleh COVID-19. 

  1. Penangguhan 3 bulan untuk merka yang hilang pekerjaan pada tahun 2020;
  2. Pengurangan bayaran bulanan untuk mereka yang dipotong gaji; dan
  3. Peminjam lain boleh berunding dengan bank untuk mendapat bentuk bantuan tertentu.

Walaubagaimanapun, pelanjutan dan pembayaran fleksibel ini bukanlah secara automatik. Peminjam perlu membuat permohonan terus ke bank pinjaman masing-masing. Penting bagi peminjam untuk menghubungi bank pinjaman masing-masing dan berbincang cara penyelesaian bagi pinjaman tersebut. Bank juga tidak mahu menanggung kerugian yang berpanjangan dengan mengambil semula aset-aset yang tidak dapat dibayar oleh peminjam. Kerugian sepanjang moratorium perlu dikurangkan dengan menggalakkan peminjam membayar hutang masing-masing. Dengan cara penyelesaian bersama antara peminjam dan institusi kewangan, mungkin akan dapat mengurangkan kerugian bagi kedua-dua belah pihak.

Bagi penghutang, sekiranya anda masih buntu memikirkan cara untuk menyelesaikan dan membayar hutang-hutang tersebut, beberapa agensi kewangan boleh membantu anda seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Small Debt Resolution Scheme (SDRS) bagi yang mempunyai perniagaan. Yang penting - JANGAN PANIK!

Kehidupan pastinya tidak akan sama dengan sebelum terjadinya COVID-19. Yang mempunyai dana kewangan kecemasan sekurang-kurangnya dalam tempoh 6 bulan sehingga setahun, akan dapat meneruskan kehidupan dengan sedikit selesa berbanding yang tidak mempunyai dana kecemasan. Pemberhentian kerja secara tiba-tiba / terkejut disebabkan syarikat tidak mampu membayar gaji pekerja memberikan impak yang besar kepada setiap individu terlibat termasuk pemilik syarikat. Ekonomi negara kita juga terjejas teruk disebabkan wabak ini dan juga keseluruhan ekonomi dunia.

Walaubagaimanapun, disebalik keadaan ekonomi yang tidak stabil ini, ada juga yang telah mendapat keuntungan yang sangat banyak terutamanya industri peralatan kesihatan - permintaan face mask dan sarung tangan getah dan perubatan meningkat dengan mendadak dengan "demand over supply" yang menyebabkan harga bagi produk tersebut menaik seperti roket.

Ada seorang pengusaha restoran yang saya kenali, bila ditanya mengenai situasi COVID-19, PKP dan kawalan pergerakan sejak bulan Mac yang lepas, beliau memaklumkan bahawa hasil pendapatan semasa PKP lebih tinggi dari hari-hari biasa sehinggakan beliau mampu membeli kenderaan untuk tujuan perniagaannya dengan pembelian tunai. Ada juga yang terpaksa menutup cafe /restoran kerana tidak mampu membayar gaji pekerja. Ramai yang bergaji tinggi dan mempunyai kehidupan yang selesa telah diberhentikan kerja sehingga terpaksa mencari alternatif lain untuk mencari sesuap nasi buat keluarga dan membayar hutang piutang.

Adakah kita betul-betul BERSEDIA?

  1. Bersedia dengan ekonomi menguncup bagi kebanyakan sektor;
  2. Bersedia dengan fasa pemulihan yang akan mengambil masa agak lama;
  3. Bersedia untuk mencari peluang dan menggunakannya dengan sebaiknya - beli rumah ketika murah, beli emas;
  4. Bersedia untuk menjana pendapatan cara baru dan kreatif;
  5. Bersedia untuk membeli barangan keluaran tempatan bagi menggalakan pertumbuhan ekonomi negara - sokong perniagaan domestik dan peniaga kecil;
  6. Bersedia untuk hanya melancong di dalam negara bagi menyokong industri pelancongan domestik - explore and re-learn;
  7. Bersedia dengan dana kecemasan anda yang mungkin akan digunakan bila-bila masa;
  8. Bersedia untuk belajar ilmu baru, tingkatkan ilmu pengetahuan dan disamping  menjana semula pendapatan anda; dan
  9. Bersedia untuk membezakan keperluan dan kehendak - kadang2 trend belanja orang kita lebih kepada kehendak. Kehendak bukan semestinya keperluan. Sekiranya selama ini anda hidup selesa dengan memenuhi kehendak anda, dan tiba-tiba anda diberhentikan kerja semasa krisis ini - peluang anda untuk mengatur semula pengurusan kewangan mengikut keperluan dan bukannya kehendak.

Semuanya terpulang kepada masing-masing bagaimana untuk menghadapi kehidupan sekarang yang penuh krisis ini. Bila krisis ekonomi bagi seseorang itu semakin teruk, secara tidak langsung ianya akan meningkatkan masalah kesihatan mental yang boleh menyebabkan depresi sehingga membunuh diri sendiri. 

Saya doakan semuanya yang sedang menghadapi krisis disebabkan pandemik COVID-19 ini berjaya mengharungi cabaran dan dugaan. Cari bantuan sekiranya anda perlukan pertolongan. Jangan jadikan diri mangsa keadaan dan terus kuat untuk meneruskan kehidupan. FIGHTING!!!

No comments: