01 June 2020

Bekerja di Pejabat vs Bekerja dari Rumah


Tahun 2020, menyaksikan penularan wabak COVID-19 yang telah menjejaskan keseluruhan industri bagi negara-negara di seluruh dunia. Ianya memaksa kita semua untuk menyesuaikan diri kepada norma baharu disebabkan wabak tersebut. 

Antaranya adalah, pilihan untuk bekerja di pejabat atau bekerja dari rumah. Waktu Bekerja Fleksi (WBF) telah lama dilaksanakan dan kini Bekerja Dari Rumah (BDR) pula telah dilaksanakan berikutan wabak COVID-19. Pekerja mempunyai fleksibiliti untuk hadir bekerja dalam tempoh masuk kerja dan waktu pulang yang ditetapkan dengan syarat ianya memenuhi tempoh bekerja sehari. 

Bukan mudah untuk meninggalkan norma kerja yang biasa dan manual (pergi dan balik kerja). Ramai juga yang bersetuju dan menarik nafas lega apabila arahan bekerja dari rumah ini dilaksanakan di kebanyakan sektor. Namun, terdapat beberapa industri atau skop kerja yang masih menuntut pekerja untuk melakukan kerja fizikal di lokasi / premis-premis tertentu. 

Secara amnya, bekerja dari rumah memberi pelbagai kelebihan seperti masa fleksibel, persekitaran ruang kerja mengikut keselesaan, pelaksanaan kerja yang lebih efektif, keseimbangan di antara kerja rumah dan kerja pejabat, penjimatan petrol, penjimatan kos dan juga tidak perlu mengharungi kesesakan lalu lintas setiap hari bekerja. 

Namun, bekerja dari rumah memerlukan disiplin kerja yang tinggi dan tidak sama seperti di pejabat. Bekerja dari rumah bagi sesebuah keluarga mempunyai banyak kekangan yang mengganggu. Antaranya: 

1) Terpaksa menyusun jadual bekerja dan belajar anak-anak sekiranya menggunakan peranti yang sama untuk mengakses kerja secara atas talian ataupun pembelajaran anak-anak secara atas talian. Apa yang penting adalah pengurusan masa yang berkesan di dalam menjalankan kerja-kerja pejabat di rumah; 

2) Sekiranya mesyuarat atau kerja yang terpaksa disiapkan segera, ahli keluarga yang lain seperti isteri/suami dan anak-anak yang perlu menggunakan komputer riba atau telefon bimbit terpaksa menunggu giliran masing-masing atau terpaksa mengubah jadual masing2 kepada masa yang sesuai; 

3) Cabaran bagi isteri/suami/ibu/ayah melakukan kerja-kerja rumah, memasak, mengemas rumah dsb dan dalam masa yang sama perlu melakukan kerja-kerja pejabat semasa di rumah; 

4) Mesyuarat yang dilakukan secara virtual kadang-kadang kurang efektif dan ada sesetengah perkara lebih mudah dilakukan secara berhadapan terutamanya di dalam membuat keputusan penting di dalam mesyuarat; 

5) Kos talian internet dan kos tambahan pada utiliti terpaksa ditanggung oleh pekerja yang bekerja di rumah dan sekiranya tiada kemudahan komputer riba dari pejabat, terpaksa pula mencari / membeli komputer untuk kegunaan membuat kerja-kerja pejabat; 

Apapun kekangan untuk bekerja dari rumah, ianya perlu diatasi dengan bijak agar kualiti bekerja di rumah sama dengan bekerja di pejabat. Bagi yang bekerja di rumah, kadang-kadang akan berasa stress atau tertekan kerana asyik berada di rumah. Luangkan sedikit masa untuk bersantai seperti keluar dari rumah buat seketika, berkebun, mengemas rumah, membuat dekorasi rumah, memasak dan sebagainya untuk mengurangkan tekanan, membantu untuk berehat dan melegakan fikiran yang kusut. 

Walaupun BDR / WFH dilaksanakan sepanjang tempoh PKP dan PKPB ini, namun ianya boleh diteruskan sekiranya sesuai dan tidak menurunkan kualiti kerja tersebut. Majikan seharusnya perlu bersedia dan memberi kemudahan kepada pekerja masing-masing untuk membuat pilihan sekiranya BDR/WFH ini berterusan dilaksanakan selepas wabak COVID-19 ini selesai ataupun PKP / PKPB ini ditamatkan. 

Setiap pekerja mempunyai cara bekerja yang berbeza. Ada yang boleh bekerja di dalam suasana yang bising, hingar binger dan meriah, sementar ayang lain perlu bekerja di dalam suasana yang senyap dan aman di dalam menumpukan perhatian kepada kerja masing-masing. Apa yang penting, kerja tetap dapat diselesaikan dan masih mengutamakan produktiviti dalam apa jua keadaan serta dalam masa yang sama kebajikan pekerja dijaga dengan sebaiknya. 

Sama ada kita bekerja di pejabat atau bekerja dari rumah, metod dan cara bekerja itu walaupun berbeza, ianya perlu menghasilkan outcome atau keputusan yang sama dan efektif. 

#travellingbie #COVID19 #kitajagakita #kitamestimenang #workfromhome #bekerjadarirumah #waktufleksi #ekspresi

*Artikel ini merupakan pandangan penulis secara peribadi dan tidak mewakili mana-mana pihak. Anda mungkin bersetuju atau tidak bersetuju dengan pandangan atau tulisan ini.*

No comments: