"Just because my path is different, doesn't mean I'm lost."~uark @ 성산일출봉 城山日出峰 Seongsan Ilchulbong
Hari ini, berdebar-debar melihat keadaan cuaca. Laporan cuaca melaporkan bahawa salji akan berhenti dan matahari memancar sepanjang hari.
Alhamdulillah thumma Alhamdulillah.
Cuaca sangat cantik hari ini. Matahari tersenyum menampakkan diri.
Kepala saya ligat mengatur semula jadual perjalanan untuk hari ke-5 memandangkan telah banyak lokasi yang tidak dapat dilawati dek kerana hujan salji dan salji tebal memenuhi jalan raya.
Hari ini, kami jelajah kawasan sekitar persisir pantai di area sebelah kanan pulau.
Destinasi 1 - Yongduam Rock (064-7111022)
Yongduam Rock terletak di sebelah utara pulau Jeju dipercayai terbina dari angin dan ombak yang kuat selama beribu tahun.
Di Yongduam Rock ini, terdapat ahjumma yang menjual sotong dan makanan laut mentah. Kami ingatkan sotong tersebut dibakar atau dimasak, rupa-rupanya disediakan mentah dengan sos yang tertentu. Sesungut sotong tersebut masih lagi bergerak-gerak walaupun telah dipotong. :)) Harga sepinggan dalam Won 20 ribu. Hmmm..macam tak berbaloi nak makan lebih-lebih lagi mentah. :))
Cerita mengenai Yongduam Rock:
“One legend has it that a dragon stealing precious jade from Mt. Halla was shot down by an arrow from the mountain deity. When he fell down on Yongduam, his body immediately sank into the ocean and his head rapidly froze looking at the sky. Another legend has it that a white horse, who dreamed of being a dragon and ascending to the sky, came to be caught by a soldier and froze into the rock.”
Kos Parking 1400won
Kos Sotong bakar 3500won - yang nie boleh makan, isinya sedikit liat memandangkan sotong tersebut memang dari sotong yang besar :))
Keluar dari Yongduam Rock pun dah hampir jam 1230 tengahari
Destinasi 2 - Seongsan Ilchulbong (064-7602911) – dari Yongduam Rock ke Ilchulbong mengambil masa lebih kurang sejam.
Pemandangan sepanjang jalan sangat indah. Sekali sekala salji turun di beberapa kawasan. Salji di jalanraya pun sudah cair, cumanya di kiri kanan jalan masih lagi dipenuhi salji.
Seongsan Ilchuldong dikenali sebagai Puncak Matahari Terbit terletak di sebelah timur landasan pantai Pulau Jeju. Ianya dahulu merupakan kawah gunung berapi dengan bentuk curvy yang menyembul dari permukaan laut, seumpama kawah gunung berapi.
Tempat ini terbentuk kerana proses letusan gunung api yang sangat dahsyat yang menyemburkan magma dalam jumlah yang besar sehingga meninggalkan bekas berupa kawah yang lebar.
Tingginya hanya 182 meter dan membentuk kawah yang menyerupai cawan. Diameter kawah tersebut sekitar 600 meter dengan 99 batu karang tajam yang mengelilingi kawah yang menyerupai mahkota raksasa.
Penampilan Seongsan Ilchulbong ini dianggap geologis sebagai luar biasa istimewa. Telitinya Korea di dalam mempromosikan tempat-tempat pelancongan mereka.
Di puncak Seongsan pun diletakkan kamera CCTV untuk memastikan keselamatan pendaki dan pelawat.
Sepanjang menaiki Seongsan, saya dapati terdapat beberapa kamera CCTV di pasang.
Pemandangan dari sepanjang trek ke puncak, masyaAllah…sangat indah dengan dilitupi salji, seolah-olah melihat hamparan permaidani berwarna putih.
Ketinggian Seongsan hanyalah 180m. Trek pula bertangga-tangga dan tempatnya memang dijaga rapi serta cantik. Waktu terbaik untuk mendaki adalah ketika matahari naik (sunrise).
Anda boleh menikmati matahari terbit di puncak Seongsan Ilchulbong. Perjalanan menaik dijangkakan 50minit, namun kami hanya mengambil masa selama ½ jam untuk tiba di puncak.
Yang lamanya apabila leka melihat pemandangan bawah dari atas puncak, dengan angin yang sejuk dan cuaca yang nyaman, manakan tidak berlama-lama di atas merenung keindahan alam ciptaan Allah SWT ini. Trek turun pula disediakan mengikut jalan yang lain untuk memudahkan pelawat tidak menghadapi kesulitan bersesak-sesak ketika turun dan naik. – kesimpulannya, “very organize.”
Agak lama juga kami di atas, sekitar jam 330pm saya tiba di tempat letak kereta. Kami solat asar dulu di tempat letak kereta dan seterusnya menuju ke destinasi yang ke-3.
Parking free
Entrance fee 2000 won (berbaloi membayar yuran masuk sebanyak ini. Pemandangan indahnya tak terucap)
Destinasi 3 - Hamdeok Seoubong Beach 064-7287882
Dari Seongsan Ilchulbong, kami bergerak menuju ke Pantai Hamdeok Seoubong. Ada yang bertanya, apa ada di pantai ini? Memandangkan kami tidak berjaya untuk mendekati kawasan gunung, itinerary dipinda dan melihat-lihat kawasan pantai.
Di pantai ini, kami berhenti solat maghrib dan sesi fotografi di tepi pantai dan juga memenuhi impian yang ingin berenang-renang di atas salji :D
Pantai ini pada waktu senjanya memang cantik, lebih-lebih lagi terdapat café di tepi pantai tersebut. Apabila waktu senja, café tersebut disinari dengan lampu-lampu yang cantik.
Pantainya pula di alas dengan hamparan seperti jaring, mungkin bagi mengelakkan pasir terbang dan memudahkan pengguna berjalan di atas pantai tersebut. Satu hal yang menariknya, ada juga yang terjun ke laut pada waktu kami di sana dan keadaan sangat sangatlah sejuk. Gila barangkali :D
Destinasi 4 - E mart Tapdong 064-7291234
Di sini kami mencari barang keperluan, makanan dan pesanan yang dikirimkan. Air pisang dan buah-buahan di sini agak murah berbanding di Dongmun market.
Kos Parking won 1400
Destinasi 5 – Kedai Record / CD shop untuk memenuhi hajat yang mencari CD album KPOP untuk anak-anak. Harga di sini sememangnya jauh lebih murah dari di Malaysia.
Selepas selesai mendapatkan apa yang dihajati, kami kembali semula ke hotel, makan dan rehat.
Alhamdulillah, walaupun tidak semua tempat dapat dilawati, sekurang-kurangnya ada juga senarai di dalam itinerari dapat dipenuhi.
Muka hari ke-5 ini ada sedikit senyum sebab dapat juga mendaki Seongsan Ilchulbong walaupun belum dapat lagi mendaki Hallasan.
"Dreams and dedication are a powerful combination."~William Longgood
No comments:
Post a Comment