Monday, June 12, 2017

Ramadhan 1438H - Day 17


Ramadhan day 17 

Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Baqarah yang bermaksud:

"Mengenai (urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: "Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya", dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seugama); dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki tentulah Ia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Semalam merupakan hari ke 3 kami bermusafir dengan misi amal dan destinasi seterusnya adalah ke Bogor.

Seusai mendaftar keluar dari hotel Mutiara Bandung jam 830am, kami bergerak ke Bogor dan perjalanan mengambil masa selama 4 jam. Sepanjang perjalanan, peserta-peserta hampir kesemuanya tidur sehinggalah tiba di destinasi.

Setibanya di Bogor lebih kurang hampir jam 12 tengahari, kami singgah di Pusat Perkembangan Islam Bogor dan solat di Masjid Agung Bogor. 

Selepas itu, kami menuju ke hotel untuk mendaftar masuk dan berehat. Masing-masing nampak kepenatan disebabkan sudah 2 hari berturut-turut, acaranya dan programnya sangat padat. Sungguh, jika tidak cukup imannya, ada sahaja yang tidak berpuasa semasa musafir ini. Namun..Alhamdulillah semua nya masih tetap berpuasa dengan istiqamahnya.

Jam 3pm, kami menuju ke tempat program untuk menyantuni anak-anak yatim seramai 100. Program di Bogor dengan kerjasama Laskar Sedekah diadakan di Gedung Wanita, namun ianya bukanlah tempat membeli belah.

Setibanya kami di Gedung Wanita, kami disambut oleh perwakilan Laskar Sedekah, seterusnya dijemput ke dewan untuk menyaksikan program yang sedang berlangsung. Program dikendalikan oleh pihak Laskar Sedekah ini, merupakan program tahunan menyantuni anak-anak yatim, menyampaikan sumbangan kepada masjid-masjid, surau-surau, pesantren, pantin asuhan, rumah-rumah amal yang lain. Program juga diselang selikan dengan hiburan nasyid dan ceramah-ceramah.

Selepas solat maghrib berjemaah di dewan tersebut, kami makan malam bersama dan seterusnya menyampaikan sumbangan kepada Maahad Al-Ma'a Bogor.

Penyampaian sumbangan telah dijalankan dengan jayanya. Seramai 100 orang anak-anak yatim mendapat manfaat dari sumbangan dari sahabat-sahabat dermawan. Alhamdulillah

Allah SWT berfirman di dalam surah At-Tawbah ayat 60 bermaksud:

"Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."

Semoga Allah SWT redha dan terima amal ibadah kita.
Allahu Ta'ala A'lam
Post a Comment

Most Popular