10 June 2017

Ramadhan 1438H - Day 15


Ramadhan day 15, insyaAllah.

Hari pertama kembara trip amal kami di Bandung menaiki pesawat Malindo Air selamat tiba pada jam 120pm waktu Indonesia semalam.

Di hari musafir ini, saya masih lagi menerima sumbangan dari sahabat-sahabat dermawan. Alhamdulillah thumma Alhamdulillah.

Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Baqarah ayat 215 yang bermaksud, "Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: "Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).

Program pertama kami menyantuni anak-anak yatim dan faqir miskin di Al-Kasyaf Islamic Boarding School di Bandung, Alhamdulillah berlangsung dengan jayanya walaupun sepanjang perjalanan Allah SWT uji dengan kemacetan yang luar biasa sehingga kami terpaksa ber-iftar di dalam bas. Kita merancang, perancangan Allah SWT lah yang sebaik baiknya.

Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Ankabut ayat 2 yang bermaksud:
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

Ujian dan cobaan yang datang pada hari pertama kami di sini benar-benar menguji iman dan sabar kami. Yang lebih baik adalah bersabar. Fasobrun jamiil...bukankah sabar itu indah? 😊😊😊 Alhamdulillah. Semoga dibalik ujian dan cobaan tersebut, ada habuan pahala yang besar bagi kami semua. InsyaAllah 

Kelelahan dan kepenatan sepanjang perjalanan dari seawal pagi sehinggalah tiba di destinasi pertama tersebut. Setibanya di Al-Kasyaf, kami disambut meriah oleh anak-anak di sana. Hilang sekejap penat lelah bermusafir di bulan Ramadhan.

Di rumah Al-Kasyaf, saya didekati adik Faeisal yang berusia 10tahun. Beliau bersalaman dan terus duduk di sebelah saya sambil bercerita dan bersembang mengenai Upin dan Ipin yang menjadi karakter kegemarannya, bercerita mengenai cita-citanya ingin ke Malaysia, berapa surah Al-Quran yang sudah dihafalnya dan macam2 lagi. Jelas dinampakkan di mukanya keseronokan dan kegembiraan seorang anak yatim piatu yang sudah kematian ayah dan ibunya. Yang paling indah sekali apabila faeisal mendoakan agar kami semua diberikan Allah SWT, istana-istana di dalam syurga. Allah....tiada yang lebih indah di dunia pada masa itu selain dari doa seorang anak yatim piatu dan doa-doa anak-anak yatim di sini. Semoga Allah SWT terima doa doa mereka tanpa hijab. Aameeen.

Saya panjangkan juga doa adik faeisal ini buat semua penderma yang dermawan, sahabat2, keluarga2, dan seluruh kaum muslimin dan muslimat. Semoga Allah SWT sudi dan berbelas kasihan menyediakan istana-istana di syurga buat kita semua. Aameen

Hari pertama kami di bumi Indonesia ini berakhir lewat malam dengan mendaftar masuk di hotel. Hotelnya mudah-mudahan selesa buat semua peserta.

Selepas itu, program diteruskan dengan acara akhir - pembahagian wang sumbangan kepada 3 lokasi yang telah ditentukan dan wang yang selebihnya disumbangkan kepada masjid-masjid, surau surau, panti asuhan yang memerlukan dana pembangunan, InsyaAllah.

Walaupun masing-masing dah penat dengan perjalanan jauh seharian, amanah perlu diselesaikan terlebih dahulu. Semoga Allah SWT redha dengan usaha kecil ini.

Allahu ta'ala A'lam

#tripamalramadhan
#tripramadhanbabojak2017
#travellerinlife
#travellingbie

No comments: