“Once the travel bug bites there is no known antidote, and I know that I shall be happily infected until the end of my life”
― Michael Palin
Day 3
Hari ke-3 kami di Perth, jadual perjalanan agak panjang dan memenatkan
Homestay - The Desert Pinnacles Nambung National Park - Lancelin Dune - Hillarys Boat Harbour Town - Spudshed - Homestay
Dari homestay ke Pinnacles Desert Nambung National Park mengambil masa hampir 3 jam dengan had laju yang telah ditetapkan. Kami keluar agak lewat pada jam 8 pagi. Subuh di Perth pada jam 450am. Dengan mengambil kira 9 orang yang hendak menggunakan bilik mandi, akhirnya kami keluar rumah sejam lewat dari yang dirancang. Malam ke-3, saya masih lagi bermasalah untuk tidur dan hampir demam. Namun, digagahkan jua untuk memandu dan teruskan perjalanan.
Berhenti sekejap untuk mengisi petrol = AUD20
Tips:: Petrol stesen di sini memaparkan harga yang berbeza. Sekiranya anda rajin, carilah stesen petrol yang memberikan harga petrol yang lebih murah. Anda boleh muat turun aplikasi di http://wafuelfinder.com untuk mendapatkan harga terbaik.
Pintu masuk ke Pinnacle Desert |
Perjalanan yang jauh dan memenatkan ini, nampaknya berbaloi kerana sepanjang perjalanan, kami dihidangkan dengan pemandangan yang tiada di Malaysia. Kawasan savannah, dan sesekali disajikan dengan padang pasir yang putih, kawanan lembu yang besar-besar, dan pemandangan laut dari jauh yang indah.
Setibanya di Pinnacles Desert, kadar bayaran bagi 1 kereta adalah AUD12. Kawasan pinnacles ini merupakan kawasan berpasir berwarna perang. Terjadinya pinnacles di sini adalah disebabkan oleh batu-batu kapur Pinnacles yang asal mulanya daripada kerang laut. Melalui proses ribuan tahun, kerang laut pecah menjadi pasir yang kaya dengan kandungan kapur. Pasir kapur ini hanyut bersama ombak ke daratan, ditiup angin dan membentuk bukit pasir yang tinggi dan berbentuk tajam.
Tips:: Sekiranya anda di Pinnacle Desert, jangan bersandar atau mendaki pada batu-batu yang tajam. Jangan disebabkan teruja dan ingin mencari spot yang menarik, anda mencederakan diri anda. Di dalam batu tersebut, mungkin ada binatang berbisa. Hati-hati ya.
Nama Nambung diberikan oleh penduduk asli, Aborigin. Nambung sendiri merupakan nama sebuah sungai di kawasan itu. Dalam bahasa Aborigin, Nambung bererti dibengkokkan.
Setelah puas menjelajah kawasan Pinnacles, kami terus ke Lancelin Sand Dune untuk mencuba bermain sandboarding di kawasan bukit berpasir. Perjalanan mengambil masa sejam dan kami dihidangkan dengan pemandangan dari Indian Ocean yang sangat luas dan cantik. Cuaca sangat baik pada hari ini dan angin juga kuat. Bagi yang membawa anak-anak tidak digalakkan untuk keluar dari kereta kerana pasir yang halus itu boleh memasuki mata anak-anak anda.
Sebelum ke kawasan bermain sand boarding tersebut, kami menyewa sand board dengan kadar AUD10 untuk 2 jam dan deposit AUD50. Deposit nantinya akan dipulangkan apabila kita memulangkan sandboard tersebut. Kami menyewa sandboard di kedai Lucky 7 berhampiran. Melihat aksi kawan-kawan bermain, sangat melucukan. Pinnacles Desert dan Lancelin Sand Dune - checked.
Dari Lancelin Sand Dunes, kami terus bergerak keluar untuk mengelakkan bertembung dengan kangaroo di highway. Sekitar jam 4pm - 5pm, adalah sangat tidak digalakkan berada di highway kerana kangaroo akan melintas jalan tersebut. Dan kangaroo bukanlah haiwan yang kecil, ianya mampu menumbangkan kereta sedan dan sangat bahaya kepada kenderaan.
Selepas keluar dengan selamat dari highway sekitar jam 5 petang, kami singgah di Hillarys Boat Harbour Town. Solat jamak di "parents room", cuci mata dan membeli sedikit souvenir walaupun agak mahal dan seterusnya menikmati makan malam di sana.
Di Hillarys Boat Harbour Town terdapat 1 kedai kebab yang halal dan anda boleh menikmati kebab yang sedap di sana. Kos dinner = AUD12.90
Dari Hillarys Boat Harbour Town, kami singgah di SpudShed untuk membeli sayur dan buah-buahan. Spudshed merupakan satu-satunya kedai yang dibuka 24 jam dan terdapat beberapa cawangan yang dibuka 24jam. Di sini, anda boleh mendapatkan sayur-sayuran dan buah-buahan yang segar dan murah.
Dari Spudshed Innaloo, kami terus ke homestay untuk berehat. Spudshed Innaloo ini agak jauh dari homestay. Jangan tertipu dengan GPS. Untuk ke Spudshed terdekat dengan homestay di Gosnells, boleh buat carian Spudshed Albany Highway yang mana lebih dekat dan juga dibuka 24 jam. Itinerari hari ini semuanya tercapai dan terdapat juga tambahan pada hari ke-3 ini.
Summary Day 3:
“Why do you go away? So that you can come back. So that you can see the place you came from with new eyes and extra colors. And the people there see you differently, too. Coming back to where you started is not the same as never leaving.”― Terry Pratchett, A Hat Full of Sky
No comments:
Post a Comment