Syurga yang tak dirindukan, merupakan adaptasi sebuah novel karya Asma Nadia.
Foto kredit dari MD Pictures |
Poligami merupakan isu yang sensitif bagi setiap wanita. Di dalam SYTD1 ini, anda akan menemui ekspresi ekspresi seorang isteri yang berbagi suaminya dengan wanita lain walaupun perkahwinan kedua itu bukan di atas rela, dan sekadar hanya ingin membantu seorang perempuan yang telah patah hatinya dengan kehidupan sehinggakan ingin membunuh diri. Namun, bagi seorang wanita, apa apapun alasan yang diberikan oleh seorang suami, baik seperti malaikat macamanapun seorang suami itu, bila berhadapan dengan poligami, berbagi kasih dengan wanita lain selain dari dirinya sendiri, segalanya terlihat hancur dan tiada berarti.
Penulis novel sendiri menegaskan bahawa - "Yang salah itu adalah pelaku poligami yang tidak adil, bukan soal poligaminya," tegas Asma.
Mungkin ramai yang berasa tidak selesa dengan pandangan saya...yaaa...saya bukannya isteri orang dan saya tidak pernah merasai kasih sayang seorang suami, apatah lagi seorang lelaki selain dari keluarga saya. Bagaimana mungkin saya dapat menyelami hati seorang perempuan bergelar isteri. Ya...betul, bagaimana mungkin saya merasai keperitan hidup berbagi sedangkan saya belum pernah merasai kecintaan dari seorang suami dan pengorbanan seorang isteri di dalam mengharmonikan keluarganya.
Review ini bukan tentang perasaan, review ini diolah berdasarkan pemerhatian saya dan pandangan peribadi saya selepas menonton filem ini. Masing-masing punya pandangan yang berbeza dan berlainan kan. Sekiranya pandangan anda berbeza dengan saya, silakan...jangan pula nanti dari sahabat kita bermusuhan. Allah SWT jualah yang Sebaik Baik Perancang.
Foto kredit dari MD Pictures |
Berbalik kita kepada filem ini, di awal ceritanya memang agak manis. Pertemuan pertama di antara Pras dan Arini dilihat sangat manis. Tiada drama-drama sepertinya sinetron antara dua darjat dan sebagainya. Perkenalan mereka berakhir dengan perkahwinan yang membahagiakan sehinggalah keduanya dikurniakan seorang puteri. Arini dilihat dan ditonjol contoh seorang isteri solehah dan Pras menjadi sosok lelaki idaman setiap wanita dengan perwatakannya yang romantis, lembut dengan isterinya dan anaknya.
Namun segalanya menjadi tidak indah buat Arini setelah mendapat tahu Pras menikah dengan perempuan yang tidak dikenalinya semata-mata untuk menyelamatkan jiwa perempuan tersebut. Jiwa seorang lelaki begitulah, akan segera berusaha untuk menjadi hero di mana sahaja mereka berada dan di kala berlaku keadaan kritikal ketika mana perempuan bernama Meiros itu ingin terjun dari bangunan hospital untuk membunuh diri dan meninggalkan anaknya yang baharu dilahirkan, Pras menjadi penyelamat kepada Meirose sehingga sanggup menikahi Meirose walaupun tidak mengenali perempuan itu.
Foto kredit dari MD Pictures |
Di awal babak-babak filem SYTD anda akan merasai "sweetnya Arini dan Pras ini." Sehinggakan anda seperti mahu punya suami seperti Pras atau isteri seperti Arini. Di pertengahan babak di dalam filem ini sudah mulai memainkan perasaan anda. Sekiranya anda seorang wanita, "jiwa anda bakal dimain-mainkan pada pertengahan filem sehinggalah ke akhirnya."
Poligami memang menjadi topik utama di dalam filem ini. Begitu juga di dalam buku karya Asma Nadia ini. SYTD 1, it is not a happy story. It is a sad ending.
Saya menjadi tidak sabar untuk mendapatkan buku novel karya Asma Nadia ini kerna filem tidak menceritakan secara keseluruhan kebenaran di dalam novel dan adakalanya cerita yang diolah ke filem menjadi berlainan sekali dari apa yang mahu disampaikan oleh novelis tersebut.
Bagi anda yang pernah menonton SYTD2, dan adakalanya tidak begitu memahami situasi di dalam SYTD2, saya sarankan anda menonton dahulu SYTD1.
Bagi yang tidak punya kesabaran dan pernah mengalami trauma berpoligami, kumpullah kesabaran dan ketabahan anda sekiranya anda mahu menonton kedua sequel filem ini. Dan sekiranya anda tidak mahu hati anda kembali berdarah, usahlah menonton. Maka, yang baik jadikanlah pengajaran dan yang buruk jadikanlah tauladan. Terpulang kepada diri anda sendiri, kerna saya tidak berada di tempat anda.
Setiap kita manusia mempunyai masalah yang tersendiri. Bagaimana kita menghadapinya dan mengatasinya adalah terpulang kepada kekuatan jiwa kita dan sokongan dari orang-orang di sekeliling kita. Empati, mungkin perkataan yang sesuai jika sekiranya anda mengalami situasi yang serupa atau orang yang anda kenali mengalami nasib berpoligami. Jika anda tidak berada di tempat mereka, jangan rumitkan lagi keadaan mereka.
Hal yang keduanya - pembohongan yang pertama akan berterusan dengan pembohongan demi pembohongan sehingga ianya menjadi besar. Berlaku jujurlah dari awal walaupun kejujuran itu membuahkan kepahitan. Perempuan amat pantang sekiranya lelakinya berbohong walaupun untuk mengelakkan dari berlakunya konflik di dalam rumahtangga.
Yang ketiga - perempuan itu rumit, jangan rumitkan lagi mereka dengan situasi-situasi yang merumitkan.
Akhir kalam, menonton filem ini sama ada AYTD1 atau SYTD2 akan mengeluarkan banyak energi dari diri anda terutamanya jika anda seorang wanita. Perjalanan taqdir seseorang itu berbeda beda dan sebaik-baik perancang adalah perancangan dari Allah SWT. Naluri seorang wanita itu halus dan seorang lelaki harus mengerti kenapa perempuan begitu menolak poligami walaupun dibenarkan di dalam Islam.
Itulah Syurga yang tidak dirindukan oleh hampir setiap wanita atas alasan apa sekalipun.
Allahu Ta'ala A'lam
No comments:
Post a Comment