Syurga Yang Tak Dirindukan 2 merupakan kesinambungan Syurga yang Tak Dirindukan 1, yang mana pada pandangan saya mengisahkan mengenai ikhlas yang sesungguhnya. Tapi benar-benarkah ikhlas?
Kredit foto dari Internet |
Sekiranya anda pernah menonton "Syurga Yang Tak Dirindukan 1", anda mungkin akan leka dengan suasana di dalam Syurga Yang Tak Dirindukan 2.
Kredit foto dari Internet |
Berlatar belakangkan Budapest yang indah pemandangannya, sedikit sebanyak menjadikan cerita ini lebih menarik dari yang pertama.
Walaubagaimana indahnya Budapest, saya lebih tertarik dengan keindahan Yogyakarta...(anda boleh tidak bersetuju dengan pandangan saya. Tidak mengapa.). Walaubagaimanapun, saya tidak nafikan Budapest sangat indah!
Kredit foto dari Internet |
Permulaan cerita agak melucukan, di mana Pras menghadapi detik detik cemas di jalan raya dengan menyaksikan kemalangan di hadapannya dan menyelematkan mangsa di dalam kereta tersebut. Sepertimana yang terjadi di dalam SYTD1, kali ini Pras memberitahu Arini bahawa dia berada di hospital dan telah menyelamatkan mangsa yang kebetulannya seorang perempuan. Ada sedikit flashback di situ dengan unsur unsur jenaka dan lucu. Namun, tiada terjadi apa-apa dari kejadian kemalangan tersebut. Arini dan anaknya Nadia pula akan berangkat ke Budapest mempromosikan bukunya.
Setelah pemergian Meirose di dalam SYTD1, Arini dan Pras hidup bahagia bersama anak kesayangan mereka, Nadia. Kisah bermula apabila Arini bertemu dengan Meirose di Budapest. Meirose kebetulan tinggal di Budapest dengan anak lelakinya Akbar dan mengusahakan butik kecil di sana.
Semasa Arini dalam kesibukan mempromosikan bukunya di sana, beliau didatangi seorang doktor tanpan bernama Syarief yang meminta beliau untuk membacakan buku tersebut kepada pesakit kecilnya di hospital. Bermula dari situlah babak babak menarik antara Arini, Meirose dan watak watak sampingan mula berlaku dan menjadikan filem ini menarik untuk ditonton oleh semua.
Bermula dari pertemuan secara tidak sengaja antara Arini dan Meirose, berita mengejutkan bagi Arini kerna disahkan mengidap kanser serviks tahap 4 yang telah menular ke otaknya menjadikan anda akan terpaku sahaja di kerusi sehingga habis tayangan.
Kedatangan Pras ke Budapest dan bertemu dengan Meirose dan Akbar di sana menjadikan plot cerita semakin mendebarkan. Adakah niat Pras dan Meirose yang ingin memfailkan perceraian akan termakbul?
Meirose yang sudah lebih 3 tahun menetap di Budapest dan mempunyai kekasih hati di sana menjadi ragu-ragu apabila berjumpa dengan Pras dan serba salah lebih-lebih lagi Arini yang berkeras agar Meirose dan Pras disatukan semula. Melihatkan kesungguhan Arini, Meirose berasakan ada sesuatu yang tidak kena.
Arini pula, apabila mengetahui bahawa hidupnya tinggal beberapa saat sahaja lagi, dan mengenangkan nasib anak kesayangannya, Nadia, beliau berusaha agar Meirose dan Pras tidak bercerai dan menjadi bunda gantian kepada Nadia.
Bagaimana akhirnya nasib doktor tampan yang menyintai Meirose?
Bagaimana pula keputusan Meirose, sama ada mahu bercerai atau menjadi pengganti Arini?
Segalanya ada di dalam SYTD2
Ada beberapa hal yang boleh dijadikan iktibar di dalam filem ini:
- Perihal kasih sayang seorang ibu kepada anaknya. Sehingga saat kematian pun, seorang ibu akan memikirkan masa depan anaknya;
- Perihal seorang isteri yang terlalu cintakan suaminya walaupun suaminya pernah melukakan hatinya tanpa sengaja sehinggakan dia berusaha untuk memaafkan suaminya dan hidup bahagia semula;
- Perihal seorang perempuan yang diberi peluang untuk hidup semula dan memperbaiki kehidupannya kepada kehidupan yang lebih baik seperti apa yang terjadi kepada Meirose. Dan akhirnya di Budapest, beliau menjadi antara Muslimah yang aktif di dalam pergerakan Muslim di sana disamping menjalani kehidupan seharian sebagai Muslimah contoh di negara yang minoritinya Islam;
- Perihal seorang anak yang berusaha keras di dalam membahagiakan bundanya yang sedang kesakitan. Usaha Nadia di dalam merealisasikan impian bundanya, adakah tercapai?;
- Perihal ikhlas seorang isteri yang bermadu... adakah Arini benar-benar ikhlas agar Pras dan Meirose disatukan? Sekiranya Arini ditakdirkan dapat hidup lebih lama, adakah Arini sanggup membenarkan Meirose dan Pras bersama atau membenarkan keduanya memilih untuk bercerai?;
- Perihal dilema seorang lelaki - lelaki yang beristeri 2 dan lelaki yang menyintai seorang perempuan yang sebenarnya isteri seseorang;
- Perihal kuatnya seorang perempuan di dalam melawan penyakitnya sehingga ke akhirnya. Kuatnya Arini di dalam melawan penyakitnya sehingga akhirnya kerana cintanya pada manusia dan jua cintanya pada Sang Maha Pencipta.
- Kematian itu pasti. Setiap kita akan mati dan cara bagaimana kita akan mati itu juga misteri. Namun, kita digalakkan untuk sentiasa berdoa agar kematian kita di dalam husnul khaatimah dan berjumpa Allah di dalam keadaan kita bersih dan suci dari dosa dosa;
- Takdir itu adalah ketentuan dari Allah. Ujian merupakan kemuliaan dari Allah untuk hamba-Nya yang selalu mengambil iktibar.
- Kalau jodoh tak ke mana - Jodoh itu rahsia Allah. Sejauh mana pun anda lari atau anda berada jauh dari jodoh anda, akhirnya anda akan bertemu jua nanti...InsyaAllah
Saya amat menyukai babak terakhir di mana, pada saat-saat akhir kehidupan Arini, beliau mahu solat jemaah dengan keluarganya. Babak tersebut merupakan babak paling sedih di dalam filem ini.
Saya tidak mahu bercerita lebih lanjut mengenai watak-watak sampingan yang ada di dalam filem ini. Watak sampingan yang dilakonkan oleh Nora Danish seakan kurang memberikan kesan positif kepada penonton, adegan-adegan lucu dan jenaka di dalam filem ini bolehlah dikatakan moment selingan untuk mengurangkan impak sedih bagi babak babak berikutnya.
Satu hal yang penting di dalam filem ini adalah, isu poligami. Watak Arini ternyata agak menolak poligami, namun ternyata beliau terpaksa redha dan barangkali terpaksa ikhlas membenarkan Pras bersama dan menerima Meirose kerana Arini tahu ajalnya semakin menghampiri. Bagaimana pula akhir cerita ini sekiranya Airini sihat walafiat dan bertemu Meirose di sana? Boleh jadi perasaannya tergugat barangkali kerna Meirose masih lagi merupakan isteri kedua pada suaminya Pras. Dan barangkali ending cerita nya tidak akan sama sekali dengan ending cerita SYTD2 ini.
Isu poligami merupakan isu yang sensitif buat hampir semua perempuan, tetapi filem ini berjaya menghalusi isu ini dengan susunan cerita yang sangat menarik dan pelakon-pelakonnya saya anggap berjaya menjiwai watak-watak yang diberikan.
"Adakah anda perempuan yang merindukan syurga itu? kerna saya tahu, hampir kesemua rakan-rakan perempuan saya tidak merindukan syurga itu."
Jika anda terkesan membaca review filem ini, apa lagi...tontonilan filemnya. :)
No comments:
Post a Comment