27 January 2016

Kenyataan Tabung Haji Mengenai Deposit dan Dividen Penyimpan

Hadits Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu, yang menjelaskan salah satu tanda hari Kiamat adalah apabila amanah telah disia-siakan, ia berkata:

بَيْنَمَا النَّـبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي مَجْلِسٍ يُحَدِّثُ القَوْمَ، جَاءَهُ أَعْرَابِيٌّ، فَقَالَ: مَتَى السَّاعَةُ؟ فَمَضَى رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحَدِّثُ، فَقَالَ بَعْضُ القَوْمِ: سَمِعَ مَا قَالَ فَكَرِهَ مَا قَالَ، وَقَالَ بَعْضُهُمْ: بَلْ لَمْ يَسْمَعْ، حَتَّى إِذَا قَضَى حَدِيْـثَهُ، قَالَ: أَيْنَ -أُرَاهُ- السَّائِلُ عَنِ السَّاعَةِ؟ ، قَالَ: هَا أَنَا يَا رَسُوْلَ اللهِ، قَالَ: فَإِذَا ضُـيِّعَتِ الأَمَانَـةُ، فَانْـتَظِرِ السَّاعَةَ ، قَالَ: كَيْفَ إِضَاعَتُهَا؟ قَالَ: إِذَا وُسِّدَ الأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ، فَانْـتَظِرِ السَّاعَةَ .

"Tatkala Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam berada dalam sebuah majlis (dan) berbicara dengan sekelompok orang, datanglah kepadanya seorang sahabat (dari sebuah perkampungan) dan berkata, “Bilakah hari kiamat?”. Namun Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam tetap melanjutkan pembicaraannya, maka sebagian orang ada yang berkata, “Ia (Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam ) mendengar ucapannya, namun ia tidak menyukainya”. Dan sebagian yang lain berkata: “Bahkan beliau tidak mendengarnya,” hingga akhirnya Rasulullah selesai dari pembicaraannya, dan beliau pun bersabda, “Mana orang yang (tadi) bertanya?” Orang itu berkata,"Inilah saya, wahai Rasulullah.” Rasulullah bersabda,"Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah hari kiamat!” Orang itu kembali bertanya,"Bagaimanakah menyia-nyiakan amanah itu?" Rasulullah bersabda,"Apabila suatu perkara diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah hari kiamat!"


SIMPANAN DI TABUNG HAJI SELAMAT 

KUALA LUMPUR, 26 Januari 2016 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini memberi jaminan kepada para pendepositnya bahawa simpanan mereka di TH adalah selamat. 

TH telah menjadi sasaran pelbagai spekulasi di dalam laman-laman sosial dan blog sejak beberapa hari ini mengenai tarikh pembayaran Bonus Pendeposit TH 2015 dan surat Bank Negara Malaysia (BNM) . 

Seperti yang telah dinyatakan oleh TH, tarikh pengumuman dan pembayaran Bonus TH adalah kebiasaannya pada suku pertama setiap tahun (Jan – Mac). TH ingin memberi jaminan bahawa tidak terdapat sebarang kelewatan dalam mengumumkan bonus kepada para pendeposit. Sebelum pengumuman dibuat, TH perlu mengambil kira keadaan ekonomi semasa, memastikan semua proses auditan dilalui dan kelulusan dalaman diperolehi sebagai sebahagian daripada proses urus tadbir yang baik. 

Tahun 2015 adalah mencabar dan hasil daripada Strategi Alokasi Aset dan Pengurusan Risikonya, ia telah dapat menjana pulangan pendapatan yang baik. Walaubagaimanapun, TH juga perlu membuat persediaan yang rapi untuk menghadapi cabaran ekonomi 2016 dan masa hadapan agar ia lebih berdaya saing untuk menghadapi situasi tersebut. Oleh yang demikian dalam menetapkan kadar bonus TH mesti mengambil kira keadaan ekonomi semasa 2 termasuk pasaran saham, harga minyak dan kadar pertukaran matawang yang akan memberi kesan kepada ekonomi negara. 

Prestasi kewangan TH berada dalam keadaan baik disokong oleh aset-asetnya yang kukuh termasuk peratusan mudah tunai yang tinggi. Contohnya, aset tunai sahaja pada 31 Disember 2015 adalah sebanyak RM10.7 bilion. Di samping itu, pendeposit tidak perlu risau kerana simpanan mereka di TH dijamin oleh Kerajaan, sebagaimana yang termaktub dalam Akta Tabung Haji. TH juga tidak pernah lari dari tujuan asal penubuhannya dalam membantu umat Islam di Malaysia menunaikan Rukun Islam ke-5. 

Merujuk kepada surat BNM yang menyatakan nilai aset TH lebih rendah dari liabiliti, lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi yang mencabar dan kelembapan pasaran saham. Untuk mengukuhkan kedudukan TH, BNM memberi cadangan agar mengkaji semula polisi rizab TH. Sebagai sebuah institusi kewangan Islam berkaitan kerajaan, TH sentiasa bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan langkah dan keperluan risiko dipatuhi. TH mengambil maklum saranan BNM untuk mengkaji semula polisi rizabnya sebagai langkah penambahbaikan dan pengukuhan yang berterusan. 

Untuk makluman pendeposit, nilai aset TH mestilah mengambil kira keseluruhan nilai saksama potfolio pelaburan TH. Ini adalah kerana nilai aset yang dinyatakan tidak mengambil kira potfolio pelaburan seperti saham anak-anak syarikat atau syarikat bersekutu, serta aset perladangan dan hartanah yang diduduki TH. 3 Sepanjang tahun kewangan 2014 dan 2015, nilai keseluruhan aset TH adalah lebih tinggi daripada nilai liabiliti TH, dimana ia mengambil kira kesemua nilai saksama potfolio pelaburan TH. 

Ingin saya sarankan agar para pendeposit lebih berhati-hati dalam menilai sesuatu berita yang disebarkan melalui media sosial. Oleh yang demikian, saya ingin menegaskan bahawa TH tidak menghadapi masalah kewangan. TH juga tidak pernah lupa objektif penubuhannya dalam membantu rakyat Malaysia untuk menunaikan haji. 

Prestasi cemerlang TH serta pemberian subsidi haji dan bonus kepada pendeposit saban tahun membuktikan kedudukan kewangan TH adalah kukuh. Insyallah, TH akan mengumumkan bonus pada awal bulan Februari 2016 setelah melalui proses-proses dalaman dan auditan interim seperti lazimnya setiap tahun. 

Tan Sri Ismee Ismail 
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji
==============================================================
Mungkin kita boleh fikir sejenak sebelum mempercayai apa sahaja rumors atau khabar angin atau apa sahaja yang kita dengar, lihat dan yang telah disampaikan kepada kita. Situasi sebenarnya, hanya orang-orang yang terlibat sahaja yang mengetahuinya. Dan kita yang kebanyakannya mendepositkan wang untuk kita menunaikan Haji dan Umrah di dalam Tabung Haji seboleh-bolehnya mempercayai Institusi ini walaupun ada segelintir yang berperangai tidak seislamik namanya.

Kepada Allah SWT jualah kita berserah dan bersandarkan harapan.

Sekiranya manusia-manusia yang diamanahkan untuk menguruskan dana tersebut, menyeleweng dari jalan yang sebenarnya, hanya Allah SWT sahaja yang berkuasa membalas kekejaman dan salah laku mereka. Bagi yang menguruskan amanah ini, tanggungjawab anda sangat besar. Di dunia mungkin boleh terlepas, tapi di tempat pengadilan yang sebenar-benarnya, di mana anda hendak lari?

"Akan datang kepada manusia, tahun-tahun yang penuh tipu daya, di mana pendusta di percaya dan orang jujur didustakan, pengkhianat diberi amanah dan orang yang amanah dikhianati." HR. Al-Hakim

No comments: