KELEBIHAN SOLAT
Solat merupakan tiang agama dan amalan ketaatan yang paling utama.
Antara adab yang terpenting di dalam solat adalah Khusyu'.
Diriwayatkan daripada Uthman r.a, bahawa Nabi s.a.w bersabda: "Apabila masuk waktu solat yang diwajibkan, lalu seseorangitu menyempurnakan wudhu', khusyu' dan rukuknya, solat tersebut akan menghapuskan dosa-dosanya sebelum itu selagi dia tidak melakukan dosa besar. Begitulah untuk selamanya."~Hadith Riwayat Muslim (228)
Uthman juga meriwayatkan bahawa baginda bersabda yang bermaksud:"Sesiapa yang bersembahyang dua rakaat dalam keadaan tidak bercakap-cakap dalam dirinya, diampunkan segala dosanya yang telah lalu."~Hadith riwayat Bukhari(1/233), Muslim(266), Abu Daud(106, 107) dan An-Nasaie(1/64).
Solat mempunyai rukun-rukun, perkara-perkara wajib dan sunat. Ruhnya ialah niat, ikhlas, khusyuk dan menghadirkan hati. Tanpa kehadiran hati, zikir dan munajat tidak akan memberikan apa-apa makna. Ini kerana sebutan lidah yang tidak lahir dari hati yang sedar seumpama orang yang merepek-repek. Perbuatan berdiri yang bermaksud sedia berkhidmat dan rukuk yang melambangkan kehinaan diri serta keagungan Tuhan, tidak akan membawa apa-apa makna dan maksud sekiranya dilakukan tanpa kehadiran hati. Maka, tinggallah solat tersebut dalam bentuk kerangka atau gambaran yang tidak bernilai.
Bagaimana untuk khusyuk dan sempurna di dalam solat:
- Kehadiran hati sebagaimana yang telah disebutkan ~ mengosongkan hati dari segala bentuk yang mengganggu. Jalan untuk mencapainya adalah dengan "himmah" iaitu dengan daya kemahuan yang kuat. Segalanya bergantung dengan kuat atau lemahnya iman seseorang itu kepada akhirat dan sejauh mana dia memandang hina kepada dunia. Punca hati tidak hadir di dalam solat adalah kerana iman yang lemah dan kecenderungan kepada kecintaan kepada dunia;
- Memahami makna bacaan ~ dengan memahami makna bacaan akan dapat memaksa diri kita untuk menumpukan perhatian kepada bacaan dalam solat sehingga tiada unsur gangguan yang lain. Proses menghapuskan kecintaan dunia di dalam hati adalah satu proses yang sukar lebih-lebih lagi untuk menghilangkan keseluruhannya. Oleh itu, berusahalah menghapuskan perkara-perkara yang boleh dihapuskan. Sesungguhnya ALLAH TA'ALA akan memberikan taufiq dan bantuanNya bagi mereka yang berusaha.;
- Merasai keagungan dan kehebatan ALLAH ~ Ianya terhasil melalui 2 perkara iaitu mengenali (makrifah) kebesaran dan keagungan ALLAH serta mengetahui kehinaan dan perhambaan diri. Kedua-dua makrifah ini akan menghasilkan sifat rendah diri dan khusyuk di hadapan ALLAH. Apabila sifat rendah diri dan khusyuk terbit di dalam hati, maka akan timbul perasaan mengharap. Mengharapkan ganjaran pahala sebagaimana dia bimbang jika kecuaiannya akan mendatangkan seksaan.
"Segala puji tertentu bagi ALLAH Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekelian alam."
Hayatilah kelembuatan ALLAH kepada hambaNya ketika membaca:
"Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani"
Hayatilah keagunganNya ketika membaca:
"Yang menguasai pemerintahan hari pembalasan (akhirat)"
dan begitulah seterusnya ketika membaca ayat-ayat yang lain.
Ketika kita ruku', hayatilah perasaan tawaduk. Ketika sujud, jiwailah perasaan bertambah hina dan kita meletakkan diri kita di tempat sebenarnya iaitu mengembalikan diri kepada asal-usul kejadian apabila sujud ke tanah.
ALLAH TA'ALA A'LAM.
No comments:
Post a Comment