10 July 2012

BAB 2: RAHSIA BERSUCI DAN SOLAT SERTA YANG BERKAITAN DENGANNYA

Dengan Nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
ALHAMDULILLAH, Segala puji-pujian bagi ALLAH Tuhan Semesta Alam yang masih memberi peluang untuk saya berkongsi ilmu yang telah disampaikan kepada saya di dalam Siri-siri Kuliyyah Kitab Mukhtasar Minhajul Qaasidin yang telah disampaikan oleh Ustaz Dr. Abdul Basit Abdul Rahman. ALHAMDULILLAH. Kali ini di dalam Bab 2: membincangkan mengenai rahsia bersuci dan solat serta yang berkaitan dengannya.

Di dalam kitab ini mengatakan bahawa Bersuci terbahagi kepada 4 peringkat:
  1. Menyucikan zahir daripada hadas, najis dan lebihan-lebihan kotoran;
  2. Menyucikan anggoota daripada noda dan dosa;
  3. Menyucikan hati daripada akhlak tercela dan perkara buruk yang dimurkai;
  4. Menyucikan rohani daripada yang lain dari ALLAH  TA'ALA.
Adapun, peringkat yang ke-4 adalah matlamat yang paling tinggi. Bagi sesiapa yang kuat mata hatinya, dia akan sampai ke tahap tersebut. Bagi yang lemah mata hatinya, dia tidak akan memahami peringkat-peringkat bersuci melainkan peringkat pertama sahaja.

Menghilangkan lebihan kotoran terbahagi kepada 2 jenis:
  1. Kotoran yang boleh dihilangkan atau dibersihkan - contoh: kotoran atau benda2 cemar yang melekat di kepala dan disunatkan membersihkannya dengan membasuh, menyikat dan meletakan minyak bagi menghilangkan kekusutannya. Begitu juga sunat membersihkan kotoran pada telinga, hidung, gigi, lidah, ruas-ruas jari jemari dan juga seluruh badan;
  2. Bahagian yang perlu dibuang untuk membersihkannya - contoh: menggunting misai, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari dan memotong kuku. Makruh bagi kita mencabut uban tetapi sunat menginaikannya.
Inilah peringkat pertama bersuci, manakala 3 peringkat yang lain akan dibincangkan di dalam bahagian berkenaan perkara-perkara yang merosakkan dan menyelamatkan. 
Insya ALLAH TA'ALA.

No comments: