PERHIMPUNAN BULANAN –SECUPAK SEGANTANG SETAHUN SEGUNUNG INTAN
Tidak sia-sia hadir di dalam Perhimpunan Bulanan jabatan pagi tadi. Memang tema dan konsep yang betul-betul mengena untuk bulan ini. Di saat penjawat awam sedang ghairah, gembira dan mengira-ngira kenaikan gaji sendiri dan tunggakan yang akan diterima, bank-bank, agen-agen kewangan juga gembira dan tersenyum lebar kerana semakin ramailah yang akan membuat pelaburan mahupun pinjaman.
Di dalam ucapan pengarah bahagian tersebut, beliau telah mengutarakan tajuk yang sangat sesuai untuk peringatan penjawat-penjawat awam yang hadir di perhimpunan bulanan tersebut. Antaranya:
Gaya hidup kita masa sekarang bakal menentukan corak dan tahap kehidupan kita akan datang.
"Samada anda menabung atau belanja, masa akan sentiasa mengejar anda. jangan biarkan masa terus kehadapan dan meninggalkan anda yang leka berbelanja dan alpa di dalam menabung."~uark
Ada 3 perkara penting yang perlu kita ambil perhatian dan ambil peduli:
- Perbelanjaan - perbelanjaan di dalam kehidupan kita tidak dapat kita elakkan, bagai aur dengan tebing. Maka dengan itu, rancanglah perbelanjaan anda
- Kenaikan Gaji - Apabila berlaku kenaikan gaji, terdapat satu kepelikan di trend kewangan di mana jumlah pinjaman meningkat. Institusi-institusi kewangan akan tersenyum lebar dengan trend tersebut di mana semakin ramai peminjam meminjam wang, semakin besar keuntungan yang mereka perolehi. Walaubagaimanapun, Bank Negara telah mengetatkan syarat-syarat peminjaman seisi rumah disebabkan household debt telah meningkat ke satu tahap yang membimbangkan terutamanya di dalam pinjaman kereta. (hmmm...patutlah trafik jamm makin teruk sekarang nie...
- Gandakan duit yang ada - peluang untuk menggandakan duit kita itu sama besarnya dengan peluang untuk menghabiskan duit tersebut. Ianya terpulang kepada diri kita sendiri samada untuk sentiasa tidak cukup duit walaupun gaji semakin bertambah setiap tahun atau menggandakan simpanan dan pelaburan kita dengan duit kenaikan gaji tersebut. Semuanya terpulang kepada kita sendiri. Tepuk kepala tanyalah poket dan aqal kita. Jangan tanya nafsu, kerana nafsu akan sentiasa memperlihatkan kepada kita keindahan dunya
- Gaji Sifar - jangan sekali-kali membiarkan diri kita bergaji sifar atau negatif. Bagaimana untuk hidup sekiranya setiap bulan, gaji yang diterima habis untuk membayar hutang piutang dan awal bulan lagi dah tak ada duit belanja.
Terdapat 5 tiang perancangan persaraan (5 pillar pension plan). Ini adalah langkah-langkah untuk kita menyediakan kehidupan kita semasa dan selepas persaraan. Itupun jika Allah masih mahu kita hidup di dunya ini dan masih mahu memberi peluang untuk kita sentiasa melakukan taubat:
- Bantuan kebajikan untuk mengatasi kemiskinan
- Caruman wajib oleh majikan - yang ini, kebanyakannya penjawat awam tidak memilih KWSP dan akan beralih arah kepada Skim Pencen
- Caruman wajib oleh pekerja
- Tabung sukarela oleh pekerja - yang ini saya percaya kebanyakan dari kita masih ada yang tiada ataupun tabungan masih tidak mencukupi untuk melalui dan menjalani hari-hari persaraan nanti
- Faedah bukan kewangan (seperti kemudahan kesihatan dan perumahan)
Rancang perbelanjaan dan pelaburan anda dengan mengambil kira:
- Gaji dan imbuhan tetap;
- Kenaikan gaji tahunan ;
- Pinjaman perumahan dan kereta – kurangkan liability kereta-janganlah bercita-cita untuk membeli kereta baru dan tambahkan asset hartanah anda;
- Kemudahan perubatan –lumrah bila kita semakin tua dan menginjak usia, tabung perubatan akan memerlukan lebih dana dari masa kita muda (anda akan memerlukan kos yang tinggi selepas persaraan nanti – ibu bapa dan keluarga tanggungan kita).
Kitaran kehidupan kita di dalam pengurusan kewangan:
- Peringkat 1 = tumpuan untuk mengumpul kekayaan. Sekiranya anda gagal di peringkat pertama, anda akan gagal jua di peringkat ke-2 dan ke-3. Sehingga anda berjaya mengharungi peringkat pertama, baharulah anda akan dapat mencapai peringkat ke-2 dan ke-3. Oleh itu, di awal usia kita dari zaman persekolahan, universiti dan bekerja, sekiranya anda mampu untuk menabung dan menyimpan serta membuat pelaburan, bertindaklah dengan lebih awal dan konsisten di dalam usaha anda menabung.
- Peringkat 2 = tumpuan beralih kepada proses memelihara dan meningkatkan kekayaan telah terkumpul dan terus mengumpul.
- Peringkat 3 = proses hidup atas apa yang kita kumpul.
Tahukah anda bahawa dengan mendana/menabung serta membuat pelaburan lebih awal akan lebih menguntungkan daripada yang sedar lewat kemudian menabung dan membuat pelaburan.
Walaupun ada di antara kita sedar lambat amalan penabungan, pendanaan dan pelaburan yang berterusan akan lebih menguntungkan dan menyelamatkan gaya hidup semasa dan selepas pencen nanti. Pilih pelaburan dengan bijak kerna pelaburan yang tidak bijak akan merugikan kita.
Akhir kata perutusan, pengarah mengatakan bahawa, "Dalam dunia ini dan persekitaran kita samada kawan, keluarga atau musuh...ramai yang dengki kepada kita dan melambai-lambai kita untuk membelanjakan duit tabungan kita."
Yang nie saya pulak tambah, "Di kala kita telah kehabisan tabungan dan duit kita kerana tertipu dengan helah orang yang dengki kepada kita, ramai yang meninggalkan kita dan membiarkan diri kita keseorangan. Oleh itu, tolonglah diri kita sendiri dahulu dengan menabung dan biarkan kedengkian orang lain terhadap kita kerna kedengkian itu tidak akan dapat membantu kita di masa akan datang"
Allahu Ta'ala A'lam.
2 comments:
niat nak menabung tuh dah ade. Cuma nak konsisten menabung tuh yang payah sket. Dah kumpul banyak, ambik smula pun banyak.
kene tabung dalam tempat yg susah nak dikeluarkan. set target nak keluarkan duit tabungan tu bila. :) yakin boleh :)
Post a Comment