Daripada seorang yang setiap hari bergerak ke sana ke mari, pergi kerja hari hari dan hujung minggu selalunya tiada di rumah atau terbang balik ke kampung....tiba-tiba terpaksa duduk di rumah seorang dan bekerja dari rumah selama berbulan-bulan berseorangan. Kita takut nak berjumpa dengan orang dan kawan-kawan kita juga sedemikian.
Famili memahami keberseorangan tersebut dan kadang-kadang kami membuat video call sambil bertanya khabar masing-masing, bercerita apa aktiviti dibuat di kampung dengan kucing-kucing dan anak saudara, masak apa di kampung dan sebagainya. Namun selepas video call tersebut, perasaan "lonely" itu hadir semula. Kadang-kadang ada sahabat yang bertanya khabar, say hai dan sembang-sembang mengetahui saya keseorangan. Semuanya serba sedikit dapat mengurangkan kemurungan yang sedia ada, namun ianya kurang membantu memandangkan saya terpaksa berperang dan menghadapi kemurungan itu bersendirian.
Kalau sebelumnya memang saya telah terbiasa seorang, namun aktiviti-aktiviti yang dilakukan ke sana ke mari menghilangkan rasa sunyi tersebut. Bila berlakunya PKP dan terpaksa duduk di rumah yang serba kecil dan pergerakan dihadkan, ruang dan tempat yang terhad, ianya akan serba sedikit memberi kesan kemurungan yang mendalam di dalam diri.
Bulan pertama PKP memberi kesan yang agak besar di dalam aktiviti kehidupan saya. Dari sibuk bersiap-siap ke pejabat, mengharungi kesesakan lalu lintas kepada bekerja di rumah dan pada waktu itu saya baru sahaja bertukar tempat kerja. Skop kerja yang tidak begitu sibuk berbanding dengan pejabat lama menjadikan waktu saya banyak terluang dan saya mempunyai masa yang agak banyak, sekaligus menyebabkan kemampuan berfikir menjadi agak perlahan disebabkan kurangnya aktiviti-aktiviti berfikir dan problem solving di dalam bekerja. Setelah agak lama, otak jadi "jammed" dan sekaligus menyebabkan kemurungan bertambah teruk. Hampir setiap hari sepanjang PKP saya mengalami sindrom depresi - tidak dapat menumpukan perhatian kepada sesuatu seperti pembacaan, perbualan semasa mesyuarat dsb, kurang motivasi, tidak bersemangat dan terasa hendak menangis setiap hari, kadang-kadang memang benar-benar menangis tanpa sebab, sakit kepala, sakit anggota tubuh badan, berat semakin bertambah yang bukan disebabkan terlebih makan dan sebagainya.
Kesemua simptom tersebut tidak saya khabarkan atau ceritakan kepada sesiapapun melainkan ada yang bertanya khabar. Itupun kadang-kadang, saya akan katakan saya OK bagi mengelakkan mereka menjadi risau.
Bagi yang tidak faham mengapa perkara-perkara di atas terjadi kepada seseorang dan menyebabkan kemurungan, kebanyakan mereka akan respon dengan menasihati saya dengan kata-kata tersebut:- Dekatkan diri dengan Tuhan
- Banyakkan zikir dan membaca Al-Quran, insyaAllah hati akan menjadi tenang
- Perbanyakkan solat
- Jangan fikirkan benda merepek-repek
- Jangan susahkan fikiran dengan macam-macam benda negatif
- Tak yah fikirla benda2 negatif macam tu
- Jangan dan jangan dan jangan.....dengan senarai yang berpanjangan tanpa memberikan solusi yang sesuai atau tepat.
Kemurungan disebabkan terlalu lama dan panjang berada di rumah menjadikan produktiviti kerja semakin menurun dan kekhuatiran yang berlebihan. Sepanjang PKP, setiap pagi, saya akan merenung keluar jendela sambil melihat kenderaan yang tak berapa banyak lalu lalang di jalanraya. Teringin nak keluar tapi takut pulak. Nak keluar rumah pun takut, tapi kene keluar rumah untuk membeli barang keperluan. Kene keluar rumah untuk mengurangkan stress kerana sentiasa berada di dalam ruangan yang kecil, tapi perasaan takut nak keluar tu sentiasa ada, takut-takut virus tersebut terkena pada kita sendiri. Perasaan sebegini sudah semacam kesakitan pada jiwa kerana perasaannya asyik berbalah dan bercanggah antara mahu duduk diam sahaja di dalam rumah atau keluar dari rumah. Disebabkan perasaan-perasaan begini yang menghantui setiap hari dan menghadapinya dengan sendiri, meningkatkan lagi perasaan murung tersebut.
Yang lebih memburukkan keadaan lagi, apabila saya tidak dapat pulang ke kampung halaman setiap bulan dan memikirkan terpaksa beraya berseorangan tanpa keluarga. Penerbangan domestik hanya dihadkan kepada perkhidmatan yang essential dan perlu sahaja, bukannya untuk yang ingin pulang ke kampung halaman. Semasa PM mengumumkan perintah kawalan pergerakan dipanjangkan dan tidak dibenarkan balik ke kampung halaman, air mata mencurah-curah kesedihan. Aktiviti terbang ke sana ke mari terpaksa dihentikan buat sementara waktu. Terbang ke awan biru merupakan antara terapi terbaik untuk saya, namun berbeza dengan sesetengah orang. Aura negatif yang berlaku sehari-hari dapat saya buang di awan biru. Apabila kapal terbang mendarat, semua yang berat-berat di dalam kepala seolah-olah hilang dan beban fikiran menjadi semakin ringan. Terapi bagi setiap orang tidak sama dan jangan kita samakan terapi terbaik bagi kita dengan orang lain dan jangan kita memperlekehkan terapi yang dibuat oleh yang lain.
Hari-hari sepanjang PKP, hampir setiap hari menangis, kepala terasa berat dan saya tidak mempunyai semangat untuk melakukan apa sahaja. Masa makan, tiba2 keluar air mata, masa tidur, sedar2 bantal dah basah, lepas solat tiba2 menangis teresak-esak dll. Kesemua simptom-simpton depresi ada pada saya kecuali perasaan ingin membunuh diri! Simpton-simptom ini bermula dari awal PKP dan berpanjangan selama beberapa bulan juga dan yang menyedihkan, saya terpaksa melaluinya berseorangan.
Adakah anda juga pernah mempunyai perasaan sebegitu rupa yang berpanjangan?
Bagaimana saya mengharungi dan menghadapi masalah kemurungan tersebut??? - entri akan datang InsyaAllah
No comments:
Post a Comment