Esok, InsyaAllah kita akan menyambut 1 Syawal, Hari Raya 'Aidilfitri 1438H. Sedih dan gembira bercampur baur semuanya.
Puji-pujian yang selayaknya hanya untuk Allah SWT sahaja.
Anas bin Malik meriwayatkan: Setibanya Rasulullah S.A.W ke kota Madinah, mereka - iaitu penduduk Madinah - mempunyai kebiasaan meraikan dua jenis hari dalam setahun. Baginda S.A.W bertanya: "Apakah dua hari ini? Mereka menjawab: " Kami selalu bersuka ria padanya sejak zaman jahiliah lagi". Rasulullah S.A.W bersabda: "Sesungguhhya Allah S.W.T telah menggantikan buat kamu dengan dua hari yang lebih mulia daripada kedua-dua hari tersebut iaitu hari al-Adha dan hari al-Fitr".
[Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, Kitab Solat, Bab Solat Dua Hari Raya, jil:1, m/s:295, no:1134].
Minal aidin wal faaiziin. Taqabbalallahu minna wa minkum wa siyaamana wa siyaamakum. Mohon maaf zahir dan batin kalau ada salah dan silap. Semoga Allah SWT ampunkan dosa2 kita
Indahnya lafaz takbir Hari Raya.Puji-pujian yang selayaknya hanya untuk Allah SWT sahaja.
Di sebalik perayaan ' Aidilfitri itu ada hikmah-hikmah terbesar.
Antaranya adalah bertambahnya rasa kecintaan dan ketaqwaan kepada Allah SWT - 'Ubudiyyah
- meningkatkan perasaan hamba - itulah tujuan asal mengapa kita diciptakan dan berada di atas muka bumi ini >> Allah S.W.T berfirman:
"Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menghambakan diri kepadaKu..." [ Az-Zariyat, ayat 56 ] - peningkatan 'Ubudiyyah itu membawakan seorang itu bebas dan merdeka dari cengkaman perhambaan sesama manusia sehingga menjadikan seseorang itu tinggi dan mulia.
Yang ke-2 nya adalah perasaan kegembiraan dan kesyukuran.
- selama hampir sebulan kita mengekang serta melawan hawa nafsu dari melakukan perkara terlarang, 'Eid merupakan hari kemenangan bagi kita yang berpuasa.
- maka sewajarnya lah kita menyambut perayaan ini dengan perasaan bersyukur dan gembira di atas usaha-usaha kita melawan hawa nafsu selama hampir sebulan. Allah S.W.T berfirman:
"Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah makanan yang baik, yang telah Kami kurniakan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah sekiranya kamu benar-benar menyembah-Nya". [al-Baqarah, ayat 172] - Salah satu cara kita menunjukkan rasa syukur adalah dengan bertakbir. Banyakkan bertakbir di malam hari raya dan di sepanjang hari raya.
Yang ke-3 : Mengeratkan persaudaraan sesama Islam dan juga kawan-kawan kita yang bukan Islam
- Allah S.W.T berfirman: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara. Oleh itu, perdamaikanlah antara dua saudara kamu. Bertakwalah kepada Allah S.W.T, mudah-mudahan kamu dirahmati". [al-Hujurat, ayat 10]
- Semasa hari rayalah kita dapat mengeratkan hubungan sesama kita dengan ziarah. Kadang-kadang setahun sekali itulah sahaja masa untuk kita berjumpa. Hari-hari lainnya seolah-olah masa kita tidak mencukupi untuk mengeratkan silaturrahim sesama kita.
- Keluarga dan kawan-kawan datang berziarah di hari raya, kita juga menziarahi mereka untuk mengeratkan perhubungan. Hakikatnya, 'Eid menyemai di dalam diri kita rasa cintakan saudara berteraskan aqidah keimanan kepada Allah SWT. Jika ada kawan-kawan kita yang berlainan agama dan bangsa, jemputlah berhari raya di rumah sebagai wasilah untuk kita saling mengenali antara satu sama lain dan menguatkan keharmonian hidup bersama.
Banyak lagi hikmah 'Eidulfitri yang kita sambut ini. Semoga perayaan ini dapat meningkatkan keimanan dan ketaqwaan serta rasa hamba kita kepada Allah SWT, disampiang dalam mengeratkan silaturrahim sesama manusia.
Allahu Akbar
Allahu Akbar
Allahu Akbar
Walillahilhamd
Selamat Menyambut Har Raya 'Eidulfitri
Semoga kita kembali kepada fitrah dan diampunkan segala dosa-dosa kita. Aameen.
No comments:
Post a Comment