Ternyata, puasa itu luar biasa
Kerna Allah menyandarkan puasa pada diri-Nya
Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:
“Allah ‘azza wa jalla berfirman: setiap amalan manusia itu bagi dirinya, kecuali puasa. Karena puasa itu untuk-Ku dan Aku yang akan membalas pahalanya” (HR. Bukhari no. 1904 , Muslim no. 1151).
Di dalam puasa itu, jika kita teliti ada 3 kesabaran:
- Kesabaran di dalam melakukan ketaatan
- Kesabaran di dalam menghadapi ujian menjauhi larangan Allah SWT
- Kesabaran di dalam menerima taqdir Allah SWT
Tahukah anda, ibadah puasa akan memberikan syafaat di Hari Akhirat (dengan izin Allah SWT)?
“Puasa dan Al-Qur’an, keduanya akan memberi syafa'at kelak di hari akhirat. Puasa berkata: ‘Ya Rabb, aku menahannya makan dan menyalurkan syahwatnya, maka izinkanlah aku memberi syafaat padanya’. Al Qur’an berkata: ‘Ya Rabb, aku menahannya dari tidur di malam hari, maka izinkanlah aku memberi syafaat padanya’. Allah berfirman: ‘jika demikian berilah ia syafa’at’'".(HR. Ahmad 10/118. Ahmad Syakir dalam Ta’liq-nya terhadap Musnad Ahmad menyatakan bahwa sanadnya shahih).
Orang yang berpuasa, bau mulut pun wangi di sisi Allah SWT dan mereka mendapat 2 kebahagiaan.
Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:
“Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya. Sungguh bau mulut orang yang berpuasa di sisi Allah itu lebih wangi daripada misik. Bagi orang yang berpuasa ada dua kebahagiaan. Kebahagiaan ketika ia berbuka dan kebahagiaan ketika ia bertemu Rabb-Nya” (HR. Bukhari no. 1904, Muslim no. 1151).
Banyak lagi kelebihan puasa bagi orang yang berpuasa dan saya hairan bin ajaib, kenapa ada yang terang-terangan tidak berpuasa di kala umat Islam sedang berpuasa secara berjemaah dan beramai-ramai. Lain hal pula sekiranya kita berpuasa sendiri-sendiri di bumi asing yang rata-rata masyarakatnya tidak berpuasa.
Dan...ternyata juga sedekah itu luar biasa.
Anda beri 1, Allah beri 700 kali ganda
Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud: “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki . Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui” . (Al Baqarah (2) : 261)
*Diceritakan oleh Ibnu Abbas r.a : "Rasulullah s.a.w. adalah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadhan saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan al-Qur’an. Dan kedermawanan Rasulullah s.a.w. melebihi angin yang berhembus."[Riwayat Bukhari]*
Keajaiban sedekah memang tidak dinafikan lagi. Ramai yang telah merasai kenikmatan dan ganjaran hasil dari sadaqah. Bagaimana sadaqah mampu menenangkan jiwa, meluaskan pintu rezeki dan menghapuskan kesakitan yang dialami.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, pasti akan ditunjuki kepada mereka jalan keluar. Dan diberi rezeki kepada mereka daripada jalan yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, maka Allah akan mencukupi baginya”. (At-Talaq:2-3)
Kekayaan tidak akan bererti apa-apa tanpa sadaqah. Begitu juga dengan rezeki kita sama ada banyak atau sedikit, ianya tidak akan bererti apa-apa tanpa sadaqah. Sekalipun pendapatan anda sedikit, namun sadaqah mampu menjadikan anda seorang yang cukup rezekinya. Rezeki yang sedikit, mencukupi, rezeki yang banyak juga mencukupi. Kerna ada sesetengah orang, rezekinya, gajinya, pendapatannya amat banyak, namun dirasakan masih tidak mencukupi untuk menampung keinginan dunianya. Ada sahaja yang tidak cukup. Namun bagi yang diberi keberkatan atas rezekinya, sedikit atau banyak, ianya sentiasa berlebihan dan kadang-kadang dikurniakan rezeki melimpah ruah dari sumber yang tidak disangka-sangka.
Tips nak tenang = sedekah, tips nak senang = sedekah :)
Justru itu, bersedekahlah sama ada di kala kita senang atau susah, secara terang atau sembunyi.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Kamu tidak akan memperoleh kebajikan (yang sempurna) sehingga kamu menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka di antara kamu ada yang kikir dan siapa yang kikir sesungguhnya dia hanyalah kikir terhadap diri sendiri. Dan Allah lah yang Maha Kaya sedangkan kamu orang-orang yang memerlukan-Nya."(QS.Muhammad :38)
2 perkara ini yang kita lakukan di bulan Ramadhan, MasyaAllah....hebat ganjarannya. Dan tambahan kepada 1 perkara lagi iaitu solat malam. Sungguh, anda akan merasakan keajaiban aura Ramadhan sekiranya ketiga-tiga perkara ini dapat dilakukan secara istiqamah. Dan ketiga-tiga amal ini, diharapkan akan berterusan dilakukan walaupun Ramadhan telah berlalu.
Ramadhan sudah hampir sampai ke penghujungnya. Kita tidak tahu apakah kita akan bertemu semula dengan Ramadhan. Sama-samalah kita panjatkan doa agar Allah SWT beri ruang waktu untuk kita bertemu dengan Ramadhan dan kehidupan kita dipenuhi dengan manfaat dan barakah sehingga akhir waktu kita bertemu dengan-Nya.
Allahu ta'ala a'lam
Semoga bermanfaat
No comments:
Post a Comment