Ramadhan hari ke-11
InsyaAllah
Ayat 72: Ini adalah kata-kata Sarah selepas beliau mendapat berita dari malaikat yang dia akan mengandung dan akan melahirkan anak.
قالَت يا وَيلَتىٰ أَأَلِدُ وَأَنا عَجوزٌ
Isterinya berkata: “Sungguh menghairankan, apakah aku akan melahirkan anak padahal aku adalah seorang perempuan tua,
Sarah amat terkejut apabila mendapat berita yang dia akan melahirkan anak. Ini adalah kerana umurnya waktu itu sudah tua. Waktu itu dikatakan yang umur beliau adalah 70 tahun. Kalau ikut kadar normal, itu bukanlah waktu untuk beranak lagi.
وَهٰذا بَعلي شَيخًا
dan ini suamikupun dalam keadaan yang sudah tua pula?
Bukan sahaja beliau sudah tua, tapi suami, iaitu Nabi Ibrahim juga sudah tua. Ada riwayat yang mengatakan Nabi Ibrahim waktu itu berumur 120 tahun.
إِنَّ هٰذا لَشَيءٌ عَجيبٌ
Sesungguhnya ini benar-benar suatu yang sangat aneh”.
Sarah mengatakan yang ini adalah perkara yang amat luar biasa. Kerana umur mereka berdua sudah melebihi umur normal untuk mendapatkan anak.
Ayat 73: Ini jawapan dari para malaikat yang telah menyampaikan berita gembira itu apabila Sarah macam tidak percaya yang dia akan mengandung.
قالوا أَتَعجَبينَ مِن أَمرِ اللَّهِ
Para malaikat itu berkata: “Apakah kamu merasa hairan tentang ketetapan Allah?
Malaikat tanya balik: apakah kamu rasa hairan dengan Qudrat Allah? Qudrat Allah tidak tertakluk kepada hukum alam biasa. Allah boleh buat apa sahaja yang Allah mahu. Urusan Allah boleh melampaui adat biasa. Walaupun sudah tua atau mandul, Allah tetap boleh menyebabkan beliau mengandung.
رَحمَتُ اللَّهِ وَبَرَكاتُهُ عَلَيكُم أَهلَ البَيتِ
rahmat Allah dan keberkatan-Nya, dicurahkan atas kamu, hai ahlulbait!
Semua yang diberikan itu adalah sebagai Rahmat dariNya. Kalau Allah nak beri, tidak ada sesiapa yang boleh halang.
Ahlal bait itu merujuk kepada isteri Nabi Ibrahim. Oleh itu, ahlil bait bukan merujuk kepada anak cucu sahaja seperti yang dikatakan oleh puak Syiah.
إِنَّهُ حَميدٌ مَجيدٌ
Sesungguhnya Allah Maha Terpuji lagi Maha Pemurah”.
Allah boleh beri apa sahaja kepada makhluk yang dikehendaki dengan segala rahmat, kerana Dia Amat Pemurah sekali.
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Ibn Kathir
No comments:
Post a Comment