Bagaimana kita mahu memperbetulkan pendapat orang bahawa kita mempunyai duit yang banyak, boleh buat apa sahaja, boleh beli apa sahaja yang kita inginkan, boleh travel mana-mana sebab kita banyak duit dalam poket?
Tengok senario di bawah:
A: Mengeluh..."gaji naik pun, dah awal habis sebab kereta meragam, motosikal meragam, semua mintak duit, rumah di Kedah nak kene bayar, rumah di sini pun mintak duit jugak."
B: "Alhamdulillah ada pergerakan gaji bulan nie, boleh lah menyimpan lebih untuk waktu waktu kecemasan."
C: "Bulan ni nak travel lagi, nasib baik gaji naik sikit. Boleh cover kos travelling."
D: "Nasib baik bulan ni gaji naik, boleh shopping handbag..."
E: "Ehh..gaji naik ke?" Kawan-kawan pulak kata, "hmmm....ni memang dah terlebih duit ni sampai tak perasan gaji naik. Entah-entah, gaji masuk pun dia tak perasan sebab gaji bulan lepas masih ada lagi."
Dan senario di atas dihadapi oleh mereka yang makan gaji, bekerja tak kiralah bebannya berat mana, tapi menerima gaji statik dari majikan.
Ada yang belum sempat nak hujung bulan, gaji bulanan dah habis. Ada pula yang cukup cukup makan. Ada juga yang berlebih dan gaji bulan baru akan lebih disimpan untuk kecemasan. Kenapa situasi ini berbeza beza sedangkan beza gaji antara mereka bukannya seperti langit dan bumi.
Untuk kita memahami situasi ini, kene tahu perbelanjaan bulanan mereka. Ada yang mempunyai hutang melebihi 60%, sehinggakan keperluan asas selama sebulan tidak mencukupi. Ada yang hutang hanya 30% daripada pendapatan. Dan kita tidak seharusnya melihat kepada pendapatan seseorang di dalam menilai kemampuan mereka. Lihatlah pada jumlah hutang yang mereka ada.
Contoh 1: Seorang staf yang mempunyai anak seramai 3 orang, isteri seorang, rumah ada 2, kereta nissan serena, motosikal kawasaki ninja. Gaji, tidak sampai RM5k sebulan. Isteri bekerja, juga gajinya tidak sampai RM5k sebulan. Perbelanjaan yang tetap secara bulanan - ansuran kereta, motosikal sekiranya ada, ansuran rumah, belanja persekolahan anak-anak, yuran tadika/tempat asuhan, belanja rumah secara mingguan atau bulanan. Yang ini kita anggarkan sekitar RM7k sebulan. Tinggal lagi beberapa ribu untuk perbelanjaan lain-lain. Walaupun ada lebihan sebenarnya, tetapi sentiasa mengeluh, wang nya tidak mencukupi. Simpanan? Untuk kecemasan? Untuk insuran?? Rasa-rasanya ade tak???
Contoh 2: Staf yang mempunyai gaji lebih kurang sama dengan contoh 1. Menerima gaji lebih kurang RM5k sebulan. Ada 2 rumah, 1 kereta, masih bujang, tiada tanggungan anak-anak, insuran dan purata perbelanjaan wajib yang perlu dibayar secara bulanan adalah RM4k. Baki RM1k dimasukkan di dalam tabung yang pelbagai - travel, kecemasan, sedekah, orang pinjam duit dan sebagainya. Kereta dah habis bayar dan masih menggunakan kereta kecil yang sama walaupun godaan dari pelbagai sudut yang memujuk untuk membeli kereta baru.
Kalau dilihat pada kedua-dua contoh ini, perbelanjaannya lebih kurang sama, malahan yang contoh ke-2, belanjanya lebih sebab semuanya dibayar seorang. Manakala yang telah berkeluarga, suami dan isterinya bekerja, pendapatan nya lebih kurang 2 kali ganda. Namun perbelanjaannya juga lebih kurang 2 kali ganda. Namun, kenapa watak pada senario di contoh 1 sentiasa tidak cukup wang untuk hidup?
Ada orang boleh hidup dengan gaji RM2k atau kurang dari itu. Kenapa??? - semak beban hutang mereka dan bagaimana mereka menguruskannya.
Ada orang yang mempunyai pendapatan RM100k sebulan, tetapi mengalami keberhutangan yang serius. Kenapa??? Semak juga komitment bulanan mereka bagaimana.
Bila kita bergaji tinggi, kita cenderung untuk memiliki yang lebih besar dari apa yang kita ada. Kereta perlu ditukar kepada yang lebih besar, sesuai dengan gaji yang diterima dan kereta juga menentukan status seseorang (bagi kebanyakan orang la). Bagi saya, as long as boleh digunakan dari Point A ke Point B dan sampai dengan selamat, kereta apa-apa pun boleh. Rumah pula, perlu rumah yang besar dan selesa, lebih lebih lagi yang mempunyai keluarga yang ramai. Perbelanjaan bagi rumah dan kereta merupakan perbelanjaan tetap bulanan yang paling besar. Namun, bagi yang tidak pandai menguruskan kewangan, perbelanjaan lain-lain lebih besar dari perbelanjaan tetap tersebut.
Banyak duit adalah menguntungkan bagi yang pandai menguruskan kewangan. Dengan duit tersebut, simpanan akan dilebihkan, pelaburang akan bertambah dan sekaligus akan menambah $$$ tersebut. Keupayaan berbelanja akan lebih besar, begitu juga keupayaan untuk menggandakan wang tersebut juga akan lebih besar. Bagi yang tidak pandai menguruskan kewangan, banyak mana pun duit yang anda ada, sama ada duit perniagaa atau duit gaji, sekiranya anda tidak pandai menguruskan wang tersebut, tidak tahu mana prioriti dan mana yang tidak, bersedialah untuk menjadi penghutang tegar sehingga mati.
Tidak penting sama ada gaji anda sedikit dari kawan-kawan anda yang lain atau ahli keluarga anda, yang lebih penting adalah peratus hutang anda. Sekiranya kawan anda yang bergaji 3 kali ganda dari anda mempunyai tahap keberhutangan lebih 60% sedangkan anda hanya mempunyai beban hutang sebanyak 30%, sebenarnya anda lebih kaya dari kawan anda. :)
Dan perlu juga diingatkan, zahirnya anda mampu menunjukkan pada dunia bahawa hidup anda bahagia, senang dan terurus segalanya, hakikatnya anda lah yang tahu bagaimana kehidupan sebenar anda. Orang yang mempunyai keberhutangan yang serius, malam tidurnya tidak nyenyak, siang hidupnya tidak aman, mukanya sering berkerut memikir hutang-hutang yang perlu dibayar ketika hidupnya, bagaimana lah pula nanti bila dia sudah tiada. Kasihan pada yang tinggal terpaksa menguruskan dan melangsaikan hutang yang ditinggalkan itu.
Berhati-hatilah dengan kehidupan dunia yang penuh tipu daya. Semoga kita semua dilindungi Allah dari beban hutang yang melampau.
Allahul Musta'aan
No comments:
Post a Comment