Kita sudah sampai di Fasa ke-2 Ramadhan, Alhamdulillah. Tidak lama lagi, kita akan berada di 10 Ramadhan yang terakhir.
Sepanjang 16 hari berpuasa, apa yang telah kita capai selain dari keadaan fizikal tubuh badan kita yang sedikit ringan dari biasa disebabkan sepanjang hari berpuasa dan melakukan aktiviti aktiviti seperti biasa? Adakah kita semakin fasih membaca Al-Quran? Kalau bacaan kita sudah sedia fasih dan lancar, adakah kita tadabbur dengan Al-Quran? Adakah amalan sedekah kita meningkat sepanjang Ramadhan atau biasa biasa sahaja? Adakah jiwa kacau kita semakin tenang dan aman di bulan Ramadhan? Adakah kita telah memperbanyakkan zikr kita? Adakah kita memperbanyakkan doa-doa kita terutama pada waktu mustajab berdoa? Adakah kita semakin menjadi hamba atau sedang sibuk menyiapkan persiapan hari raya? Adakah kita semakin rajin atau semakin malas?
Soalan-soalan yang ditujukan kepada kita sendiri di bulan Ramadhan Mubarak ini. Mari kita tilik tilik dan muhasabah hati dan iman kita. Ramadhan inilah bulan di mana kita berlumba-lumba untuk mengerjakan kebaikan, taubat sebanyak yang mungkin dan melatih diri untuk menjadi hamba.
Selepas Ramadhan, kita akan lihat hasil latihan pada bulan Ramadhan itu pada diri kita sendiri sama ada kita berjaya ataupun tidak melatih nafsu kita.
“Katakanlah: Wahai para hamba-Ku yang melampaui batas terhadap dirinya sendirinya, janganlah kalian berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah Mengampuni semua dosa dan Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS. Az-Zumar: 53)
“Bertaubatlah kepada Allah, wahai orang-oran beriman sekalian agar kalian beruntung.” (QS. An-Nur : 31)
Allahul musta'án.
Semoga Allah redha kita sebagai hamba-Nya. Semoga kita menjadi hamba Allah yang sentiasa bertaubat. Aameen.
No comments:
Post a Comment