Ho Chi Minh City - ini kali ke-3 saya ke sini. Alhamdulillah.
Kali pertama membawa diri sendiri dan meninjau-ninjau apa yang menariknya di sini pada tahun 2013 rasanya.
Kali ke-2, menjadi pemandu pelancong/ travel planner tidak berbayar kepada kawan-kawan sekampung saya
dan...kali ke-3 ini pula, menjadi pemandu pelancong/travel planner kepada rakan sepejabat. 2 orang dengan penerbangan lebih awal, dan kami ber-6 dengan penerbangan yang lain. Sebelum itu, segala informasi telah diberikan kepada yang terdahulu agar mereka tidak sesat dan disesatkan :)),
Dan semuanya, merupakan percutian bajet. Kali ini ahli-ahli rombongan hanya mahu melakukan aktiviti membeli belah. Jadinya tiada lawatan ke Sungai Mekong dan tempat-tempat lain. Saya layankan sahaja :))
Tiket kapal terbang telah ditempah terlebih dahulu untuk mendapatkan tiket yang paling murah. Penerbangan pergi dan balik hanya menelan belanja kurang dari RM250.00 seorang. Penambahan beg kargo dan makan akan dilakukan kemudian lebih kurang 2 minggu sebelum terbang. Ini membolehkan yang lain mengumpulkan wang belanja masing-masing secara beransur-ansur. Hotel pula ditempah secara online lebih kurang 2 bulan sebelum penerbangan dan biasanya hotel akan menawarkan diskon yang lumayan untuk tempahan secara atas talian.
Kos tiket penerbangan 2 hala < RM250.00 seorang
Kos beg kargo 25kg = RM50.00 seorang
Kos makan semasa penerbangan = RM15.00
Kos Hotel lebih kurang = RM150 seorang untuk 3 hari 2 malam
Tambang ERL dari Putrajaya ke KLIA2 = RM6.20 untuk sehala
Makanan untuk bekalan - pelbagai roti = RM12.00
Semasa penerbangan, masing-masing mempunyai pilihan sama ada untuk makan ataupun tidak. Saya memilih untuk tidak makan memandangkan telah mengalas perut dengan roti sebelumnya. Jimat lagi :)
Setibanya di Ho Chi Minh, kami mengambil khidmat teksi untuk ke hotel. Kos Teksi bagi 6 orang adalah 500k Dong. Seorang dalam 84k Dong, lebih kurang RM16 seorang.
Setibanya di Hotel, kami check in dahulu sebelum meneruskan acara wajib membawa pelancong iaitu menunjukkan tempat-tempat shopping di sekitarnya. Panjang lebar pesanan-pesanan saya kepada semua. Antaranya:
- Berhati-hati dengan penarik beca di kawasan sekitarnya - mereka boleh menyebabkan kita kehilangan 1juta Dong :))
- Berhati-hati ketika membeli belah, dan jaga dompet masing-masing kerana ada juga berlaku kecurian dan kecopetan ketika pelancong sedang sibuk membeli belah dan tawar menawar;
- Sekiranya membuat aktiviti tawar menawar, pastikan anda hendak membeli barangan tersebut dan setelah mendapat harga terbaik semasa sesi tawar menawar, anda perlu membeli barangan tersebut sekiranya tidak mahu di tengking dan dimarahi penjual;
- Makanlah di restoran yang anda rasa yakin untuk makan dan perlu diingatkan bahawa harga makanan di HCM adalah mahal. Kos Nasi Goreng lebih kurang RM10.
- Jangan lupa mencuba Kopi Vietnam dan saya rasa kopi tersebut antara yang tersedap di dunya :))
- Apabila hendak menggunakan perkhidmatan teksi, Vinasun merupakan antara teksi yang boleh dipercayai. Saya sarankan kepada mereka hanya menaiki teksi Vinasun sahaja.
Memandangkan kami tiba di District 1, kawasan Benh Thanh agak lewat, Benh Thanh Market pun sudah mula tutup, dan pasar malam pula dibuka agak lewat, kami meneruskan perjalanan ke Saigon Square dahulu dan jalan-jalan disekitarnya. Setelah menunjukkan jalan dan memberikan pesanan yang panjang lebar, saya percaya, mereka boleh berjalan sendiri secara berpasangan. Masing-masing sudah tidak sabar untuk "explore" keunikan HCM. Saya pula, menemani seorang rakan pejabat membeli belah. Ini merupakan kali pertama beliau ke sini....terujaaa sehinggakan sehingga malam, macam-macam yang dibeli :))
Duit poket untuk shopping, terpulang lah kepada anda sendiri. Ada yang bawa RM1000 untuk shopping di sini dan ada juga yang kurang. Bagi yang bertujuan untuk berniaga, memang banyak RM yang akan dibelanjakan memandangkan kain cotton di sini sangat murah, tudung-tudung berjenama pun murah dan memang akan balik modal sekiranya menjualnya di Malaysia nanti. :))
Kos belanja saya pada hari pertama:
Kopi Ais Kaww = RM3.00
Air Kelapa = USD1
Souvenir dan hadiah-hadiah = yang banyak sedikit belanjanya :))
Keesokan hari nya, ada yang mahu ke Benh Thanh Market dan kawasan sekitarnya dan ada yang mahu ke China Town.
Saya menemankan yang mahu ke China Town untuk memborong kain-kain. Dari hotel, kami menaiki teksi ke China Town pada paginya.
Kos Teksi dari hotel ke China Town = 101k dong untuk 4 orang
Kos kain cotton di China Town murah sedikit dibandingkan dengan di Benh Thanh. Dengan pengurangan kos tersebut, bolehlah mereka berbelanja lebih :)) Di sini, anda boleh mencuci-cuci mata, memborong kain-kain sutera Vietnam, kain cotton yang pelbagai jenis, kain shiffon, kain jersey / jeans, kain lycra, kain lace dan sebagainya. Sebut sahaja jenis kain, semuanya ada di sini :))
Hampir semuanya memborong kain, ada yang memborong sehingga lebih 100 pasang. Geleng kepala saya melihat mereka memborong dan memilih rekaan-rekaan kain yang sesuai :))
Selepas selesai memborong, kain-kain tersebut akan dihantar ke hotel oleh pekedai. Untung kan, lepas membeli belah di Chu Bin Tay (China Town) ini, kami meneruskan jejak ke Russian Market dengan menaiki teksi juga.
Kos Teksi dari ChinaTown ke Russian Market = 101k dong untuk 4 orang.
Di Russian Market ini lebih kurang style shopping complex, seperti Saigon Square. Cumanya di sini, kebanyakan barang-barang yang dijual adalah barangan keperluan outdoor, hiking, climbing, jeans, beg-beg hiking, camping dan baju-baju. Saya sempat menyambar waterproof tracksuit, sarung tangan, dan kot kerja. :))
Selepas semuanya berpuas hati, kami kembali ke District 1 dengan menaiki teksi.
Kos teksi dari Russian Market ke Hotel = 40k Dong untuk 4 orang
Hari semakin menggelap, kami kembali ke hotel dahulu untuk rehat sekejap sebelum meneruskan misi di Pasar Malam. Suasana di luar sudah meriah memandangkan hujung minggu. Lorong hotel kami dipenuhi dengan rakyat Malaysia dan kebanyakannya bertujuan untuk shopping samada shopping raya dan sebagainya.
Kos Kopi o Kaww Vietnam = 20k Dong
Mangga = 20k Dong
Makan malam saya di Restoran Hajjah Bosiroh dengan kos sebanyak 100k Dong, lebih kurang RM19.00 :)) memang mahal kos makan di sini.
Makan malam hari ke-2. Sedap juga sup nie :))
Warna warni HCM -sneak peak sepanjang berada di sana menjadi travel guide :))
Antara makanan kami di Restoran Hajjah Basiroh HCM :)
Di pasar malam - ramaila yang memborong. Saya hanya melihat-lihat sahaja mereka memborong. Dah 3 kali ke sini, keterujaan itu semakin mengurang dan saya hanya membeli sedikit souvenir untuk anak-anak buah di pejabat, dan yang banyaknya buah tangan untuk keluarga di kampung :))
Beg Go Yard ini menjadi trending di HCM tahun ini. Kebanyakan pembeli dari Japan dan Korea. Saya pula tengok beg nie seperti tiada perasaan :))
Aktiviti membeli belah kami berakhir pada jam 12 tengah malam :))
Hari ke-3 dan hari terakhir, kami menghabiskan sedikit masa dengan packing dan aktiviti menimbang. Yang membeli belah bertujuan untuk berniaga, pastikan anda mengambil luggage sehingga maksima iaitu 40kg bagi Airasia. Itupun tidak mencukupi dan 2 orang dari kami terpaksa menumpang kargo orang lain. Saya jelaskan kepada mereka, untuk memberi keadilan kepada yang ditumpang, yang menumpang perlu membayar harga kargo tersebut dan mereka bersetuju. Yang ditumpang pun berpuas hati dengan cara tersebut. Alhamdulillah. Ini baru 8 orang, bagaimana pula lah sekiranya rombongan seramai 1 bas. Macam-macam perangai akan ditemui dan dihadapi.
Hari terakhir, sebahagian besar kami masih sempat lagi me-nyopping :))
Jam 12 tengahari check-out dan memperkemaskan barang masing-masing serta menimbang beg untuk 1 grup. Jam 1 tengahari kami meneruskan perjalanan ke lapangan terbang.
Kos Teksi = 200k Dong untuk 6 orang
Sebelum ke lapangan terbang lagi, saya beri penerangan kepada semua mengenai kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku dan tips & tricks ketika check in. Alhamdulillah semuanya faham dan mengikuti prosedur dan semasa check in di kaunter, kami tidak menghadapi masalah bagi beg-beg yang dimasukkan di dalam kargo termasuklah beg-beg tumpang. Alhamdulillah.
Teringat insiden tahun lepas semasa check in beg-beg di lapangan terbang :))
Selesai urusan imigresen dan kastam di HCM, kami rehat dan solat sementara menunggu kapal terbang. Minum kopi dulu dengan kos USD3. 3 kali ganda dari di District 1 :))
Di dalam kapal, kami berasa nikmatnya dapat makanan Malaysia. Makanan di dalam kapal telah dibeli terlebih dahulu sebelum kami bertolak ke HCM. Dan segala urusan di dalam kapal berjalan lancar dan ketibaan kami di Malaysia mengikut jadual yang telah ditetapkan. Alhamdulillah.
Setibanya di KLIA2, awal-awal lagi saya berpesan kepada semua agar tidak berjalan di dalam kumpulan untuk mengelakkan dari di soal kastam. Lagipun barang-barang kami semua di dalam beg yang kecil walaupun banyak. Alhamdulillah, ke semua barangan kami seramai 6 orang melepasi kastam dan tidak dikenakan bayaran. 2 orang yang terdahulu, telah maklumkan bahawa mereka telah dikenakan cukai Kastam sebanyak RM50.00 seorang.
Barang-barang kami yang dah beranak pinak. Barang-barang saya ja masih lagi 2 beg :))
Ada yang balik dengan kereta, saya dan 3 orang lagi naik ERL ke Putrajaya.
Kos ERL KLIA2 ke Putrajaya = RM6.20
Kos tempat letak kereta = RM6.00
Letihnya la nak drive balik ke rumah dengan beg yang berat ni...teringat pula dengan anak-anak tangga 3 tingkat untuk sampai ke pintu rumah....nangessss
Bila flashback balik semua urusan-urusan menjadi Travel guide nie...saya senyum sendirian. Macam-macam kerenah ada - ada yang kedekut, ada yang pemurah, ada yang berkira, ada yang langsung tidak berkira, ada yang "i follow" ja, ada yang nak ikut sendiri, ada yang keraskepala, ada yang macam-macam lagi. Tapi kali ini, urusan nya lebih dipermudahkan, dari urusan pembelian tiket, penempahan hotel bagi 8 orang dan semuanya. Ahli-ahli rombongan pun ada yang memberi lebih mungkin prihatin dengan usaha dan penat lelah saya dalam menguruskan percutian mereka. Ada juga yang membayar ngam-ngam sahaja nilai tiket, hotel dan sebagainya.
Dari semua itu, kita sebenarnya boleh tahu, travel buddy yang macamana kita boleh ajak selalu, yang "appreciate" usaha kita di dalam menyenangkan urusan percutian mereka bersama kita. Selalu saya pujuk hati saya bahawa apresiasi dari manusia bukanlah yang kita harapkan, dan saya doakan agar Allah SWT terima usaha saya ini sebagai satu amal yang boleh membantu saya di sana kelak. Aameen
Kita biasanya akan kenal kawan kita apabila kita menjelajah bersama. Begitu juga mereka, masa inilah mereka akan kenal sikap kita sebenarnya, dan kita pula akan kenal sikap mereka sebenarnya. Dan dalam masa yang sama, kita belajar erti sabar kerna setiap perjalanan akan ada ujiannya.
“I have found out that there ain’t no surer way to find out whether you like people or hate them than to travel with them.” – Mark Twain
Teringat saya dengan partner sebilik, "baru kenal c.bie macamana. kat ofis nampak garang..." ahahahaaaa. Tak sampai Malaysia lagi, dia dah tanya "bila lagi nak travel? nak ikut sekali..." :))
“To move, to breathe, to fly, to float; to gain all while you give; to roam the roads of lands remote; to travel is to live.” ― Hans Christian Andersen
No comments:
Post a Comment