Bab 18 dari Kitab Mukhtasar Munhajul Qaasidin membincangkan mengenai Latihan Jiwa kepada Hati.
Akhlak mulia merupakan sifat para nabi dan golongan as-siddiqiin. Manakala akhlak yang buruk adalah racun yang membunuh yang menyebabkan tuan punya hati tersebut menjadi rakan kongsi di jalan syaitan.
Di sini, dipaparkan beberapa jenis penyakit dan cara merawatnya secara ringkas, kerna ianya dirasakan sudah cukup menjelaskan hakikatnya, InsyaAllah.
Fasal 1: Kelebihan Akhlak Baik dan Kehinaan Akhlak Buruk:
Perkara ini telah disebutkan sedikit di dalam Bab 11. Sesetengah manusia yang dikuasai dengan sifat malas berusaha menganggap bahawa latihan pembersihan jiwa adalah satu kerja yang berat dan mendakwa bahawa akhlak tidak mungkin dapat diubaj seperti juga bentuk fizikal yang tidak boleh diubah. Jawapan kepada mereka yang bersifat malas itu - Jika akhlak tidak dapat diubah, bermakna segala nasihat dan pesanan tidak memberi apa-apa makna, erti dan faedah. Bagaimana seseorang boleh mendakwa bahawa akhlak tidak boleh diubah sedangkan kita menyaksikan bagaimana haiwan liar dapat dijinakkan, anjing boleh diajar, kuda boleh dilatih dan sebagainya. Apa yang berlaku adalah sebahagian tabiat dan perangai mudah dibaiki dan sebahagian yang lain amat sukar.
Firman Allah pada Al-Furqan ayat 67:
Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian. (Q.S. Al-Furqan: 67)
Antara bukti yang menunjukkan bahawa yang dikehendaki dengan usaha pembersihan jiwa adalah pada tahap bersederhana ialah sifat pemurah. Sifat ini mengimbangi sifat kedekut dan boros. Sifat kesederhanaan ini kadang-kadang lahir secara fitrah yang berupa anugerah daripada Pencipta.
Barangsiapa yang ingin menjadi pemurah, hendaklah berusaha menjadi pemurah dengan sentiasa memberi (sama ada dalam bentuk sedekah, hibah atau hadiah) agar perkara tersebut lama-kelamaan menjadi tabiatnya.
Kadang-kadang akhlak yang baik juga boleh diperolehi melalui pergaulan dengan orang yang baik. Tabiat atau sikap manusia adalah seumpama pencuri. Ia akan mencuri apa sahaja sama ada baik atau buruk.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, "Seseorang itu berada di atas agama temannya maka hendaklah seseorang dari kamu melihat dengan siapa dia bersahabat."~Hadis riwayat Abu Daud (4833) dan at-Tirmizi(2379) daripada Abu Hurairah r.a dengan sanad yang hasan.
Allahu Ta'ala A'lam
No comments:
Post a Comment