Bismillahirrahmaanirrahiim
Bab 17 membicarakan mengenai keajaiban hati.
Hati merupakan anggota paling mulia yang berada dalam diri manusia. Siapa yang mengenali hatinya, dia akan mengenali Tuhannya. Kebanyakan manusia tidak mengenali hati dan dirinya sendiri. Walaubagaimanapun, manusia selalu perasan bahawa mereka mengenali dan memahami hati masing-masing walaupun sebenarnya sebaliknya.
Hati mengikut fitrah asalnya boleh menerima hidayah. Hati juga dibekalkan dengan hawa nafsu dan syahwat yang mana keduanya menyebabkan hati tersasar dan menyimpang dari hidayat tersebut.
Pernah tak kita terfikir untuk menderma sebanyak mungkin wang dan harta yang kita ada, tetapi terhalang untuk berbuat demikian? Hati terhalang untuk membuat kebaikan disebabkan hawa nafsu dan syahwat tersebut.
Pencerobohan tentera lawan terhadap hati hanya berlaku secara menyelinap atau mencuri masuk sepetimana yang difirmankan Allah Ta'ala yang bermaksud:
"Dari kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tengelam" ~ Surah An-Nass:4
Ayat ini membawa maksud ~ Syaitan akan bersembunyi mengundurkan diri apabila seseorang itu mengingati Allah SWT tetapi ia amat senang hati apabila seseorang itu melupakan Allah. Kuncu-kuncu syaitan di dalam hati hanya dapat dihalau jika seseorang itu berzikir mengingati Allah SWT kerana mereka tidak akan menetap dengan tenang dalam keadaan tersebut.
Hati seumpama sebuah kubu. Laluan pintu masuk syaitan ke dalam jiwa adalah manusia itu sendiri. Antara laluan syaitan adalah:
- Hasad Dengki dan bersikap haloba;
- Perasaan marah, bernafsu dan bengis;
- Gemar berlebih-lebihan dalam menghiasi rumah, pakaian dan peralatan perabot;
- Terlalu kenyang kerana ianya akan menguatkan nafsu syahwat dan menjauhkan diri dari beribadat dan taat kepada Allah SWT;
- Perasaan tamak atau terlalu ingin agar diterima oleh orang lain;
- Terburu-buru dan tidak berhati-hati dalam segala segi;
- Sayangkan harta benda;
- Membawa orang awam kepada sikap fanatik dengan mazhab-mazhab tertentu;
- Membuat orang ramai terdorong untuk memikirkan zat Allah Ta'ala, sifat-sifatNya dan juga di dalam perkara yang tidak mampu difikirkan oleh manusia;
- Bersangka buruk terhadap saudara seagama; dan
- lain-lain sifat-sifat Mazmumah.
Senarai di atas merupakan hanya sebahagian daripada pintu masuk syaitan ke dalam hati manusia.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Hati itu umpama sehelai bulu ayam yang berpusing-pusing ditiup angin di tengah padang yang luas"~ Riwayat Ahmad(4/419, 408) dan Ibnu Abu Asim dalam Kitab as-Sunnah (227) daripada Abu Musa Asya'ari r.a dengan sanad yang sahih.
Keteguhan hati terhadap perkara baik atau buruk dan keadaannya yang terumbang ambing antara dua perkara tersebut terbahagi kepada 3 jenis:
- Hati yang dimakmurkan dengan taqwa, disucikan melalui proses latihan yang berterusan, dibersihkan dari akhlak yang buruk;
- Hati yang terabai atau terbiar yang sarat dengan hawa nafsu serta disaluti dan dicemari dengan segala jenis keburukan dan akhlak yang keji; dan
- Hati yang pada mulanya dipengaruhi oleh gelojak hawa nafsu yang mendorong ke arah keburukan, kemudian datang keimanan lalu mendorongnya ke arah kebaikan.
Surah Al-An'aam:125, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman."
Allahu Ta'ala A'lam. Semoga bermanfaat untuk semua.
"Sampaikanlah pada ummat ku walaupun satu ayat"
No comments:
Post a Comment