04 March 2015

Ekspresi : Perihal Keputusan SPM dan STPM

"Bila kamu tak tahan lelahnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya kebodohan.” - Imam Syafie 

Keputusan SPM telah keluar semalam dan keputusan STPM telah keluar 2 hari yang lepas. Bagi anak-anak yang berjaya TAHNIAH diucapkan. Bagi yang tidak mendapat keputusan yang memberansangkan, jangan kecewa dan teruskan usaha kerna kehidupan sebenar baru sahaja bermula.

Tidak dinafikan bahawa , keputusan peperiksaan menjadi salah satu langkah untuk berjaya. Berjaya atau tidaknya seseorang itu, bagi saya bukan bergantung kepada keputusan peperiksaan semata-mata. Banyak faktor lain yang menyumbang kepada kejayaan seseorang, antaranya faktor sikap, sokongan dari keluarga dan rakan sebaya, keadaan sekelliling. Yang paling penting adalah sikap. Bagaimana sikap kita menerima kegagalan dan menjadikan kegagalan itu satu kejayaan. Bagi anak-anak lepasan SPM dan STPM, sekiranya anda tidak mendapat keputusan yang diidamkan, jangan cepat kecewa. Peluang untuk berjaya bermula di situ. Peluang untuk belajar ke peringkat tinggi amat banyak sekali, sama ada di dalam akademik atau kemahiran. Yang penting, intai-intai peluang yang ada, jangan duduk berpeluk tubuh sahaja mengharapkan bantuan datang di depan mata.

Pelajar yang cemerlang, belum tentu berjaya di dalam kehidupan dan ada juga yang saya lihat cemerlang di dalam peperiksaan, tetapi kejayaan hanya yang biasa-biasa sahaja. Ada yang tidak cemerlang di dalam peperiksaan, tetapi menjadi kejayaan dalam kehidupan menjadi viral kepada masyarakat sekeliling. Sikap seseorang dan tindakan di dalam mengatasi sebarang masalah itulah yang lebih menentukan kejayaan seseorang.

Dan yang penting sekali, ketahuilah...kehidupan adalah satu proses pembelajaran yang panjang. Selagi kita bernafas di bumi Allah SWT ini, selagi itulah kita perlu belajar. Jangan sesekali kita merasa diri cukup pandai kerna ilmu Allah ini sangat meluas. 

Dari Abu Said'al-Khudri r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
"Amal yang utama di atas bumi ini tiga: Penuntut ilmu,jihad dan usaha kerja, kerana penuntut ilmu itu kekasih Allah, dan pejuang jihad waliyullah dan yang usaha pekerjaan siddiqullah(orang yang bersungguh-sungguh membenarkan kepada Allah)".~(Hadith diriwayatkan Abu Laith al-Samarqandi dalam Tanbih al-Ghafilin)

Carilah ilmu dengan tujuan untuk memperbaiki diri, sekaligus menjadikan kita lebih rendah diri dan bukannya untuk berlagak pandai atau ingin menunjukkan kita pandai dari orang lain. Kita mungkin mahir di dalam bidang kita, tetapi belum tentu kita mahir dalam segala bidang. 

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” – Surah Al-’Ankabuut 29 : 69

Akhir kalam, beruntunglah bagi kita yang sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri. Bagi anak-anak lepasan SPM dan STPM, teruskan belajar sama ada akademik, kemahiran atau dalam kehidupan kerna orang yang paling beruntung adalah orang yang mahu belajar dan memperbaiki diri dari semasa ke semasa.

“Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.” – Surah Al-Baqarah [2] : 269

Allahu Ta'ala A'lam

No comments: