23 January 2015

Readings : Mengurus Harta Pusaka oleh Wan Abdul Halim Wan Harun

"Orang yang mengambil atau memakan harta-harta pusaka tanpa persetujuan semua waris yang berhak, mereka boleh dikira sebagai mengambil harta pusaka secara haram ataupun memakan harta anak yatim"

Menakutkan! Secara tanpa kita sedar ada di kalangan kita sebenarnya telah mengambil harta pusaka secara haram.
Oleh itu, pentingnya bagi kita mempelajari ilmu faraid bagi mengelakkan pertelegahan mengenai harta pusaka. Yang terseksa adalah orang yang telah meninggalkan kita dengan harta yang ada. Pernah dengar cerita atau dialami sendiri, kerna tanah sekangkang kera, adik beradik bergaduh. Kerana rumah pusaka, adik beradik bermusuhan dan pelbagai lagi kisah-kisah benar yang dipaparkan di dalam media atau yang dialami sendiri.

Rasulullah bersabda:
"Pelajarilah al-Quran dan ajarkan ia kepada manusia!. Pelajarilah ilmu faraid dan ajarkanlah ia kepada manusia!. Sesungguhnya, aku adalah manusia yang akan digenggam (diwafatkan) dan sesungguhnya ilmu itu akan digenggam (dicabut). nanti akan timbul fitnah-fitnah sehingga tiba masanya apabila dua orang berselisih mengenai pembahagian harta pusaka, tidak ada orang yang dapat menyelesaikan antara kedua-dua mereka." ~ Hadis riwayat Ibn Mas'ud r.a

Menurut pengarang, definisi Ilmu Faraid adalah ilmu pembahagian harta pusaka yang juga dikenali sebagai:
  1. Ilmu pewarisan;
  2. Ilmu berkaitan harta peninggalan si mati.
Untuk mengetahui kaedah ilmu ini, 3 kombinasi diperlukan iaitu:
  1. Ilmu Nasab - ilmu keturunan yang berkaitan dengan keturunan si mati yang hakiki merangkumi ibu, bapa, datuk, nenek, anak lelaki, anak perempuan, saudara seibu sebapa, saudara sebapa, saudara seibu, bapa saudara dan sebagainya;
  2. Ilmu Fatwa - ilmu membuat keputusan mengenai waris-waris yang berhak sama ada secara fardhu atau Asabah dan lain-lain;
  3. Ilmu Matematik - ilmu yang berkaitan dengan pengiraan bahagian bagi setiap waris. Yang ini memerlukan pengiraan matematik yang terperinci.
Buku ini terbahagi kepada 4 bahagian dan 28 bab dan rumusan di atas hanyalah sehingga bab 2. Banyak lagi yang perlu dibaca dan dipelajari termasuk rujukan-rujukan kitab yang dimaklumkan penulis di dalam nota kaki. Sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut, bolehlah mencari buku ini.

No comments: