Pertama sekali saya perlu tekankan bahawa hutang itu akan mendatangkan kerisauan di dalam hati kita. Tidur malam tidak lena, makan terlebih kenyang disebabkan stress dan lebih teruk lagi, menyebabkan kehinaan pada diri sendiri. Oleh sebab itulah, hutang perlu dibayar dan perlu di minimakan di dalam kehidupan seharian kita.
Mula-mula sekali anda kena jujur. Senaraikan semua hutang yang anda ada sama ada hutang baik mahupun hutang jahat :
- Pinjaman PTPTN
- Pinjaman Perumahan
- Pinjaman Peribadi
- Pinjaman Kereta
- Kad Kredit
- Pinjaman ASB
- Pinjaman Ah Long
- Pinjaman Mak Ayah Adik Beradik Kawan2 dan sebagainya
Tips 1: Semak semua hutang-hutang anda. Kata kunci kali ini adalah "Prioritize".
Bagaimana anda hendak mengutamakan yang utama dari senarai hutang-hutang anda itu? Salah satu caranya adalah melalui mengenal pasti kadar keuntungan (interest rate) mana yang paling tinggi. Hutang tersebutlah yang perlu dilangsaikan terlebih dahulu tanpa mengabaikan hutang-hutang yang lain. Sebagai contoh: Hutang kad kredit lebih tinggi dari hutang PTPTN anda. Langsaikan hutang tersebut terlebih dahulu dengan membayar lebih dari minima atau bayar habis dan bayar minima hutang PTPTN anda.
Tips 2: Bayar lebih hutang anda. Sekiranya anda mempunyai pendapatan tambahan, gunakan sumber tersebut untuk menyelesaikan hutang-hutang anda. Langsaikan dahulu hutang-hutang anda sebelum anda berfikir dan berangan-angan untuk membeli sesuatu yang anda ingini yang menggembirakan anda buat sementara waktu.
Tips 3: Bayar kerap hutang anda. Cara yang bagaimana??? - Simpanan Mikro = kumpul secara harian dan buat bayaran secara mingguan atau 2 minggu sekali. Secara tidak langsung, kekerapan anda membayar hutang tersebut akan mengurangkan "interest" hutang anda.
Tips 4: Hentikan melanggan sesuatu yang tidak perlu seperti Astro. Bagi saya, ianya tidak perlu dan menonton TV secara berlebihan boleh merosakkan minda anak-anak kita. Melanggan majalah hiburan juga adalah sesuatu yang tidak perlu. Bil Astro dari tahun ke tahun tidak pernah turun, Ianya akan sentiasa naik. Saya sudah lebih sepuluh tahun menghentikan langganan Astro bil langganan tersebut boleh digunakan untuk membayar hutang-hutang yang lain. Free TV telah banyak disiarkan sekarang ini dan itupun tidak sempat untuk kita menonton semua rancangan.
Tips 5: Bawa bekal ke pejabat atau sekolah anak-anak anda. Bayangkan berapa RM yang boleh anda jimatkan dengan membawa bekal makanan. Sebagai contoh: purata belanja makan harian anda RM10. Dengan membawa bekal, anda mungkin boleh menjimatkan kos makan sebanyak 60%. Duit penjimatan tersebut boleh dimasukkan di dalam tabung hutang anda.
Tips 6: Elakkan membeli belah barang-barang yang tidak perlu walaupun tawaran diskaun hebat diberikan oleh kedai-kedai kegemaran anda, kecuali anda hanya membeli ketika terdapat tawaran diskaun hebat. Walaupun begitu, sekiranya barang-barang anda masih elok, buat apa anda membeli yang baru? Lagipun barang-barang baru akan secara tidak langsung menyemakkan almari anda dan rumah anda, sekaligus menambahkan hutang kredit anda sekiranya anda membayar kesemua barang-barang tersebut menggunakan kad kredit. "As much as you want that things so badly, remember that...no one can repay your debt except yourself".
Tips 7: Kemas rumah anda. Lelong barang-barang yang masih elok yang sebenarnya tidak diperlukan di dalam rumah, atau anda boleh sedekahkan kepada yang lebih memerlukan. Sedekah itu lebih baik.
Tips 8: Banyakkan sedekah. Wujudkan tabung Subuh atau tabung Jumaat dan sedekahkan nilai yang ada di dalam tabung tersebut pada yang memerlukan. Wujudkan juga tabung hutang bersebelahan tabung sedekah tersebut. Secara tidak langsung, anda cenderung untuk memasukkan baki wang anda untuk setiap hari di dalam kedua-dua tabung. Anda akan merasakan beban tidak begitu berat sekiranya anda menabung setiap hari. Ingat - simpanan mikro pada tips yang sebelumnya.
Tips 9: Maaf ya perokok-perokok sekalian. Berhentilah merokok! Jangan jadikan rokok makanan ruji anda. Sekiranya anda merokok, jangan pula anda mengadu mengenai kos kehidupan yang tinggi kerana anda mampu untuk membeli rokok yang amat mahal dari sehari ke sehari. Lebih baik anda berhenti merokok dan gunakan duit tersebut untuk menyelesaikan hutang-hutang anda.
Tips 10: Kurangkan hiburan di luar. Sekiranya anda keluar setiap minggu, kurangkan kepada 2 minggu sekali. Di sinilah diperlukan sedikit kreativiti di dalam berhibur bersama keluarga. Ada aktiviti-aktiviti yang tidak memerlukan belanja yang besar. Kata kunci di sini adalah = KREATIF
Tips 11: Sekiranya anda tidak mempunyai kereta dan hanya mempunyai motosikal, teruskan. Yang penting anda sampai ke destinasi yang hendak dituju. Saya dulu juga seorang rider kapchai dan saya suka menunggang scooter saya. Bagi saya, kereta amat besar dan menjadi pembaziran ruang sekiranya terdapat seorang pemandu sahaja, manakala yang lain kosong tiada penumpang. Saya hanya membeli kereta selepas terlibat di dalam kemalangan, itupun setelah di "brainwash", terpaksalah saya memberi kenderaan beroda 4 yang chomel, dan mengambil lesen memandu. Sehingga hari ini selama lebih kurang 10 tahun, saya masih memandu kereta chomel yang sama.
Tips 12: Barangan berjenama hampir tiada di dalam senarai "shopping" saya. Tiada Pandora, Beg LV, Prada, Coach, Tudung Fareeda dan lain-lain yang menjadi koleksi saya. Jam di tangan saya hanyalah berharga lebih kurang RM30. Saya tidak kaya, saya hanya dapat menyimpan lebih untuk menyelesaikan hutang-hutang yang saya ada. Sekarang ini saya hanya mempunyai Pinjaman Perumahan sahaja. Walaubagaimanapun, semuanya terpulang kepada anda sendiri. Sekiranya barangan berjenama memuaskan hati anda, silakanlah membeli. Tetapi jangan mengadu terhadap kenaikan barang-barang yang diluar kawalan anda. Dan jangan lupa membayar semua hutang-hutang anda itu.
Tips 13: Banyakkan berdoa agar ditetapkan hati untuk tidak terpikat kepada dunia dan harta benda di dalam nya. Doa juga memainkan peranan yang penting di dalam kehidupan kita. Banyakkan berdoa agar kita sentiasa istiqamah di dalam melangsaikan hutang-hutang kita. Jangan kita bebankan orang yang kita tinggalkan nanti dengan hutang-hutang kita apabila kita mati nanti. Kehidupan akan lebih bahagia tanpa hutang yang jahat!
Tips 14: Solat Dhuha. Amalkan solat Dhuha setiap hari. Ambil sedikit masa siang anda sebelum Zohor untuk menunaikan solat Dhuha sekurang-kurangnya 2 rakaat. Ajaibnya solat Dhuha, hanya yang mengamalkannya merasainya.
Tips 15: Bila hutang anda berkurangan dari sehari ke sehari, lebihkan simpanan dan pelaburan. Jangan lebihkan berbelanja. Sekuranya-kurang selepas ini, anda dapat membuat lebih banyak aktiviti-aktiviti yang memerlukan RM seperti melancong, menolong yang lebih susah, menambah saham akhirat anda, menambah pelaburan anda yang sekaligus boleh menambah RM anda.
Pandangan Islam dalam hal hutang, Nabi SAW bersabda :-
" Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban Syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)" ( Riwayat Muslim, 6/38)
Lebih buruk lagi apabila terdapat sesetengah individu yang meminjam dengan niat untuk tidak memulangkan kembali. Sebagaimana Sabda Nabi SAW :
"Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya" ( Riwayat Al-Bukhari, 2/83 )
Jangan jadikan berhutang satu tabiat. Ianya akan memusnahkan kehidupan kita. Sekiranya kita berhutang, cepat-cepatlah dilangsaikan.
Semoga Allah swt redha kita sebagai hamba-Nya. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment