24 July 2012

Ramadhan Reflections - Day 4

Puasa menurut pandangan sains dan perubatan.

Ibadah puasa khususnya pada bulan Ramadan mempunyai hikmah yang tersendiri jika ditinjau daripada perspektif ilmu kesihatan dan perubatan. Apatah lagi dari sudut kerohanian Malah, pakar-pakar perubatan bukan Islam turut mengakui puasa adalah satu kaedah perubatan yang mujarab kepada sistem tubuh manusia. 

Antaranya Dr Mac Fadon dari Amerika Syarikat (AS) yang menyatakan, puasa seperti tongkat ajaib yang dapat menyembuhkan penyakit yang membabitkan perut. Boleh dikatakan semua ahli perubatan di dunia ini menyatakan berpuasa menyihatkan tubuh badan manusia, malah kesihatan mental dan kekuatan rohani akan turut berganda dengan berpuasa.

Satu kajian lain yang telah dilakukan oleh seorang pakar perubatan dari AS, Dr Alan Cott menyatakan puasa mempengaruhi darjah kecerdasan seseorang. Beliau juga melakukan satu uji kaji ke atas sekumpulan orang yang berpuasa dan satu kumpulan yang tidak berpuasa. Hasilnya menakjubkan kerana mereka yang rajin berpuasa itu memperoleh markah jauh lebih tinggi berbanding yang tidak berpuasa.

Seorang pakar kesihatan; Dr. Lonny J. Brown (Ph.D) berkata, “ Kebiasaan masyarakat hari ini apabila diserang suatu penyakit mereka akan segera mengambil ubatan bagi meredakan kesakitan.Kini sudah tiba masanya untuk kita mengamalkan sesuatu yang berbeza iaitu dengan mengamalkan puasa apabila sakit. Puasa adalah penawar dan perangsang kepada perubahan yang melibatkan metabolisme tubuh badan dan membantu tugas detoksifikasi serta membaiki dalaman tubuh”. (Berkenaan puasa dan detoksifikasi, anda boleh merujuk kajian yang dibuat oleh Prof. Shin Hyun-dae) (Kyung Hee Medical Center)

Dr. E. Kazim didalam bukunya yang bertajuk; Fasting and your Biological Rythms menyatakan bahawa, ketika seseorang sedang berpuasa, sejenis kimia natural akan terhasil bukan sahaja memberi kesan penenang (tranquilizing) bahkan menjadikan minda lebih damai dan gembira. Menurut sebuah kajian yang lain, puasa mampu memberi kesan positif kepada tidur seseorang. Amalan berpuasa juga terbukti dapat menjadikan fikiran lebih focus dan tajam. 

Perhatikan ungkapan klasik yang diberitakan dari Saidina Ali Bin Abi Talib karamallahu wajhah dibawah;
“Tiga perkara yang menguatkan ingatan dan menghilangkan balgham; iaitu bersugi gigi, berpuasa dan membaca al-Quran”

Saintis dan doktor-doktor telah membuktikan bahawa puasa mempunyai banyak hikmah dan kebaikan kepada tubuh badan. Maka, apakah kita punya alasan untuk tidak berpuasa sedangkan orang bukan Islam telah mengiktiraf melalui kajian mereka bahawa puasa dapat menguatkan tubuh badan manusia disamping menguatkan mental dan rohani seseorang itu.

Merugilah orang-orang Islam yang tidak berpuasa dan rugilah mereka di dunya dan juga di akhirat sana.

ALLAHU TA'ALA A'LAM.

No comments: