13 July 2012

Hadis-Hadis Lemah & Palsu Berkaitan Dengan Bulan Ramadhan

Saya sertakan bersama artikel yang disediakan oleh: Saudara Mohd Hairi Nonchi

(Pendidikan Dengan Sains Sosial, UMS) mengenai hadis-hadis lemah dan palsu berkaitan dengan Bulan Ramadhan. Tidak kira hari yang ke berapa di dalam bulan Ramadhan, kesemua hari-hari tersebut adalah mulia dan kita sewajarnya memuliakan semua hari di dalam Ramadhan. Marilah kita perbanyakkan saham akhirat kita, marilah kita sama-sama bersihkan jiwa kita dari sifat-sifat mazmumah. Inilah bulan dimana kita berpeluang untuk menyerah diri sepenuh jiwa dan raga kepada ALLAH SWT. Sama-samalah kita ya. Dan inilah juga bulan di mana saya mengimpikan sekiranya sudah sampai ajal kematian saya, ALLAH SWT berbelas kasihan untuk mencabut nyawa saya di dalam bulan yang penuh barakah ini dan juga di Tanah Suci...InsyaALLAH :-)


Disediakan oleh : Mohd Hairi Nonchi (Pendidikan Dengan Sains Sosial)

“Seandainya hamba-hamba itu mengetahui apa yang ada pada bulan Ramadhan, nescaya umat berangan-angan agar Ramadhan setahun penuh. Sesungguhnya,syurga dihiasi untuk Ramadhan dari hujung tahun ke tahun berikutnya”

Hadis ini telah diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah 1886, Ibnu al-Jauzi dalam kitab al-Maudhu’at 2/188, Abu Ya’la dalam Musnadnya sebagaimana di dalam al-Mathalib al-‘Aliyah (qaf 46/alif – ba/nashkah manuskrip) dari jalan Jarir bin Ayub a-Bajali dari Sya’bi dari Nafi’ bin Bardah dari Abu Mas’ud al-Ghifari. Hadis ini bertarafmaudhu’ (palsu). Kecacatannya berpangkal kepada Jarir bin Ayyub.Ibnu Hajar menyebutkan biografinya dalam Lisan al-Mizan 2/101 dan berkata: “Dia terkenal dengan kelemahannya”.Kemudian Ibnu Hajar menukil ucapan Abu Nu’aim mengenainya :“Dia pemalsu hadis”. Manakala dari al-Bukari, beliau berkata: “Dia meriwayatkan hadis mungkar” dan dari al-Nasaa’i: “Dia matrukul hadis (ditinggalkan hadisnya)”. Ibnu al-Jauzi menghukuminya sering memalsukan hadis.

“Wahai manusia, kalian telah dinaungi bulan yang agung, bulan yang di dalamnya ada suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Allah menjadikan puasa pada bulan itu sebagai kewajipan dan solat malam sebagai sunnah. Barangsiapa bertaqarrub (mendekatkan diri kepada Allah) di dalamnya dengan suatu kebaikan, maka dia seperti menunaikan suatu kewajipan pada bulan lain (selain ramadhan)... Ramadhan adalah bulan yang awalnya adalah rahmat, pertengahannya adalah ampunan dan akhirnya adalah kemerdekaan daripada neraka...”

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah, no: 1887, al-Muhamili dalam Amalinya, no: 293, al-Ashbahani dalam at-Targhib (qaf/178, ba/nashkah manuskrip) dari jalan Ali bin Zaid bin Jad’an dari Sa’id bin al-Musayyib dari Salman. Sanad hadis ini dha’if, kerana kelemahan Ali bin Zaid. Ibnu Sa’ad berkata: “Dia dha’if, tidak dapat dijadikan hujah”. Imam Ahmad bin Hanbal berkata: “Dia tidak kuat” Ibn Ma’in berkata: “Dia dha’if”. Ibnu Abi Haithamah berkata: “Dia dha’if dalam segala hal”. Ibnu Khuzaimah berkata: “Aku tidak berhujah dengannya kerana hafalannya buruk”. Demikian dalam Tahzibut Tahzib 7/322-323. Ibnu Hajar berkata dalam al-Athraf: “Tidak diperselisihkan tentang Alibin Zaid Ja’dan, dia adalah dha’if”. Ibnu Abi Hatim menukil dari ayahnya (Abu Hatim) di dalam I’lalul Hadith1/249: “Hadis ini mungkar”.

“Puasalah kalian, nescaya kalian sihat”

Ini adalah potongan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Adi dalam al-Kamil 7/2521 dari jalan Nahsyal bin Said dari ad-Dhahhak dari Ibnu Abbas r.a. Nahsyal adalah matruk (tertolak), dia berdusta dan ad-Dhahhak tidak mendengar langsung dari Ibnu Abbas r.a. Diriwayatkan pula oleh Thabarani dalam al-Ausath (1/qaf – 60/alif – Majmu’ al-Bahrain). Demikian juga Ibnu Bukhait dalam Juz’unya sebagaimana dalam Syarah al-Ihya’ 7/401 dari jalan Muhammad binSulaiman bin Abu Daud dari Zuhair bin Muhammad dari Suhail bin Abu Salih dari Abu Hurairah r.a. Sanad hadis ini adalah dha’if. Abu Bakar al-Athram berkata: “Aku mendengar Ahmad berkata: Mereka (orang-orang Syam) meriwayatkan beberapa hadis mungkar dari Zuhair”. Abu Hatim berkata: “Hafalan Zuhair buruk”. Hadisnya ketika di Syam lebih mungkar daripada hadisnya di Iraq kerana hafalannya buruk. Al-Ajali berkata: “Hadis-hadis yang dirwayatkan oleh penduduk Syam darinya tidak menakjubkan aku”. Demikian dalam Tahzib al-Kamal 9/417.

“ Tidur orang yang berpuasa adalah ibadat, diamnya adalah tasbih, amalnya dilipatgandakan (pahalanya), doanya dikabulkan dan dosanya diampuni ”

Hadith ini adalah hadis maudhu’ (palsu). Hadis ini diriwayatkan oleh al-imam al-Baihaqi dalam kitabnya Syu’ab al-Imam, kemudian dinukil oleh al-Suyuti dalam kitabnya al-Jami’ al-Shaghir1404/1981, 2/678. Menurut al-Imam al-Suyuti hadis di atas berdarjat dhaif. Namun kenyataannya ini telah menyelisih pandangan para ulama’ tahqiq yang lain yang lebih cenderung mengatakan bahawa ianya adalah hadis palsu. Tambahan pula, imam al-Suyuti yang menukilkan hadis tersebut daripada imam al-Baihaqi tidak menyebut akan komentar yang telah dilakukan oleh imam al-Baihaqi ke atas beberapa rawi yang terdapat dalam sanad tersebut yang antara lainnya menyebut bahawa di dalam sanad hadis tersebut terdapa beberapa rawi yang dianggap dha’if dandha’if jiddan (tersangat dhaif), antaranya Ma’ruf bin Hisan (dha’if)dan Sulaiman bin Amr al-Nakha’i (sangat dha’if).

Imam Ahmad bin Hanbal berpendapat bahawa Sulaiman bin Amr al-Nakha’i adalah pemalsu hadis. Yahya bin Ma’in mengatakan : “Sulaiman bin Amr al-Nakha’i dikenali sebagai pemalsu hadis” bahkan di dalam kesempatan lainnya beliau mengatakan: “Sulaiman bin Amr adalah manusia yang paling dusta di dunia ini”. Imam al-Bukhari mengatakan: “Sulaiman bin Amr adalah matruk (tertolak)”. Yazid bin Harun mengatakan: “Siapa pun tidak halal meriwayatkan hadis dari Sulaiman bin Amr”. Imam Ibnu Adiy menuturkan: “Para ulama’ sepakat bahawa Sulaiman bin Amr adalah seorang pemalsu hadis”. Ibnu Hibban mengatakan: “Sulaiman bin Amr al-Nakha’i adalah orang Bagdhad, yang secara lahiriahnya, dia adalah seorang yang salih, tetapi ia memalsukan hadis”. Imam al-Hakim tidak meragukan lagi bahawa Sulaiman bin Amr adalah pemalsu hadis.

“Orang yang melakukan solat solat tarawih pada malam pertama, akan diampuni segala dosanya sehingga jadilah dia bagaikan seorang anak yang baru keluar dari perut ibunya ... (sehinggalah) .... Pada malam ketiga puluh, Allah berfirman : Makanlah buah-buahan syurga, mandilah dengan air Salsabil dan minumlah dari telaga al-Kautsar.....”

Hadis mengenai kelebihan bagi setiap malam solat Tarawih yang disandarkan kepada ‘Ali bin Abi Talib r.a. ini dinukilkan daripada kitab Durrat al-Nashihin (bab Kelebihan Puasa) susunan Utsman bin Hasan bin Ahmad asy-Syaakir al-Khaubawiyyi pada sekitar kurun ke-13 Hirah. Para ulama’ Hadis dan ulama tahqiq (penganalisa hadis) mengatakan bahawa hadis ini adalah palsu. Kepalsuannya dapat dinilai menerusi beberapa sudut, antaranya:
  1. Hadis ini tidak dapat dikesan sumber periwayatannya. Ia tidak dibukukan oleh mana-mana imam hadis di zaman awal Islam seperti Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud dan lain-lain. Pengarangnya bukan sahaja gagal mengemukakan mana-mana tokoh yang meriwayatkan hadis ini, malah pengarangnya sendiri bukan seorang ahli hadis yang boleh dipertanggungjawabkan atas riwayat ini.
  2. Hadis ini tidak memiliki isnad (barisan para perawi yang mendengar dan meriwayat daripada siapa hadith tersebut diperolehinya – yakni dari Ali bin Abi Talib). Isnad dalam ilmu hadis sangat penting kerana ia adalah bagai tali yang mengikat antara sahabat yang mengkhabarkan suatu hadis dan tokoh terkemudian yang membukukannya secara formal. Berkata Ibnu Syihab az-Zuhri (w 124H): “ Isnad adalah sebahagian dari agama, jikalau tidak ada isnad maka sesiapa jua boleh berkata-kata (apa sahaja yang dikehendakinya lalu dianggapnya sebagai hadis)” (Dr Mustafa as-Siba’i – as-Sunnah wa Makanatuha, ms. 57). Setiap riwayat wajib mempunyai isnad, iaitu barisan perawi-perawi hadis yang membawa riwayat atau hadis tersebut. Dari isnad inilah dapat dianalisa status sesuatu riwayat/ hadis, sama ada ia sahih atau sebaliknya. Dan sememangnya salah satu daripada sifat hadis maudhu’ adalah ia tidak memiliki isnad seperti hadis di atas.
  3. Dalam teks hadis ini terkandung beberapa keanehan. Pertama, adalah beberapa pertanyaan para sahabat tentang keutamaan solat tarawih di malam-malam Ramadhan padahal sepertimana yang kita ketahui nama atau istilah “solat tarawih” tidak pernah dikenali di zaman Nabi s.a.w. Kedua adalah ganjaran yang diberikan di malam ke-4, di mana disebut bahawa seseorang itu akan mendapat pahala sebagaimana seorang yang membaca kitab Zabur, Taurat, Injil dan al-Quran. Hal ini dimungkiri kerana zaman Nabi, telah sedia dikenal pasti melalui nas-nas al-Qur’an dan ajaran baginda s.a.w bahawa kitab-kitab Zabur, Taurat dan Injil telah pun ditukar dan diubahsuai maksud kandungannya sehingga ia tidak lagi dikira sah sebagai kitab Allah. Maka bagaimanakah mungkin seseorang itu akan diberi ganjaran pahala apabila dia membaca kitab yang telah diselewengi kebenarannya?
  4. Hadis fadhilat ini menjanjikan ganjaran yang sangat berlebih-lebihan sehingga sukar untuk diterima kebenaran. Malah, sifat hadis sebeginilah yang dikenal pasti oleh para ahli sebagai memiliki ciri-ciri hadis maudhu’. Dr. Ajaj al-Khatib telah mengarisi hakikat ini di dalam bukunya Usul al-Hadith, ms. 519 : “Antara ciri matan (kandungan teks) hadis maudhu’ tersebut memuatkan balasan yang berlipat ganda atas suatu amal kecil atau (memberi) ancaman yang sangat berat atas tindakan yang tidak seberapa. Ini biasanya banyak terjadi dalam hadis-hadis yang diriwayatkan oleh tukang cerita”. Justeru, kita lihat hadis ini telah menjanjikan ganjaran yang sangat berganda atas suatu amalan sunat dan ganjaran tersebut melebihi apa-apa amalan lain yang lebih mulia, sekalipun yang wajib dan fardhu.
  5. Hadis ini juga memiliki sifat yang sangat sukar dicerna oleh akal seorang mukmin yang sihat lagi dewasa. Hadis ini seakan-akan sebagaimana yang telah dibayangi oleh al-Imam Ibnu Jawzi (w.597H) dalam bahagian muqaddimah dari kitabnya al-Maudhu’ath: “Bila engkau melihat suatu hadis yang bertentangan dengan akal atau yang menyimpang dari nas yang sahih, atau yang bertentangan dengan prinsip, maka ketahuilah bahawa hadis itu maudhu’ (palsu)”
Demikianlah beberapa buah hadis mengenai ramadhan berdarjat dha’if dan maudhu’ yang sangat masyhur disebarkan dalam masyarakat kita. Mungkin ada pihak yang beranggapan bahawa sekalipun hadis-hadis ini terkenal dengan sifat-sifat maudhu’ atau kedha’ifannya, namun tidaklah menjadi kesalahan untuk menyebarkannya kepada orang awam dalam rangka mengajak mereka kepada kebaikan kerana ia mengandungi objektif-objektif yang baik dan terpuji. Sungguh, pendapat ini adalah tertolak dan disanggah kerana menyebar hadis-hadis yang sudah jelas akan kepalsuan dan kedhai’fannya adalah haram hukumnya mengikut ketentuan al-Qur’an dan al-Hadis yang sahih.

Ini adalah kerana, hadis palsu sebenarnya adalah suatu kedustaan, apatah lagi kedustaan tersebut disandarkan kepada agama yang hak miliknya hanya pada Allah s.w.t. Hanyalah Allah sahaja yang berhak menyatakan sesuatu mengenai urusan agama-Nya, melalui wahyu al-Qur’an dan melalui lisan Nabi dan Rasul-Nya, Muhammad s.a.w. Oleh itu, orang yang sengaja menyebarkan hadis-hadis palsu dalam keadaan dia menyedari akan kepalsuannya, maka dia termasuk ke dalam golongan orang-orang yang berdusta ke atas baginda s.a.w sebagaimana sabdanya:

“Barangsiapa yang menyebutkan sesuatu (hadis) dariku sedangkan aku tidak pernah menyebutnya, maka dia telah menempah tempat duduknya di dalam neraka” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari – no: 109)

“Sesiapa yang meriwayatkan satu hadis mengenaiku sedangkan dia (sudah) mengetahui kepalsuannya maka dia tergolong (dalam kalangan) orang-orang yang berdusta”(Diriwayatkan oleh Muslim 1/222 – no :1)

Di antara hadith-hadith dhaif dan maudhu’ yang tersebar di dalam bulan Ramadhan ini ialah:
  • Daripada Abu Mas‘ud al-Ghifari berkata: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda bermaksud:
“Jika hamba-hamba Allah mengetahui apa yang ada pada bulan Ramadhan, tentulah mereka mengharapkan supaya bulan Ramadhan sepanjang tahun. Seorang lelaki dari Khuza‘ah berkata: Ceritakanlah kepada kami mengenainya. Lalu Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya syurga itu dihiaskan kerana bulan Ramadhan mulai dari awal tahun, sehingga apabila datang hari pertama bulan Ramadhan, angin bertiup dari bawah ‘Arasy lalu daun-daun syurga berdesiran. Melihat keadaan ini, lantas berkatalah para bidadari: Ya Tuhan kami, jadikanlah untuk kami di bulan ini suami-suami yang akan menyejukkan mata kami dengan mereka dan akan menyejukkan mata mereka dengan kami. Rasulullah saw bersabda lagi: Tiada seorang hamba pun yang berpuasa Ramadhan melainkan dikahwinkan dengan seorang isteri dari bidadari yang berada di dalam sebuah khemah dari mutiara besar yang berongga yang disifatkan oleh Allah sebagai: “Bidadari-bidadari yang jelita, putih bersih, dipingit dalam khemah”. Setiap seorang wanita dari bidadari itu mempunyai tujuh puluh perhiasan yang tiada berbeza warnanya antara satu sama lain, dan diberikan kepadanya tujuh puluh jenis harum-haruman yang baunya tidak berbeza antara satu sama lain. Setiap seorang wanita itu mempunyai sebuah katil yang dibuat daripada yakut merah yang bertatahkan mutiara. Di atas setiap katil terdapat tujuh puluh permaidani yang sebelah dalamnya daripada sutera halus. Di atas tujuh puluh permaidani itu terdapat tujuh puluh katil berhias. Setiap seorang wanita itu mempunyai tujuh puluh ribu pelayan yang terdiri dari kanak-kanak lelaki dan tujuh puluh ribu kanak-kanak perempuan yang akan menguruskan keperluannya. Tiap-tiap seorang kanak-kanak itu mempunyai sebuah dulang dari emas yang padanya ada jenis makanan yang suapan akhirnya mempunyai kelazatan yang tidak terdapat pada suapan yang pertama. Kepada suaminya diberikan sedemikian juga di atas katil dari yakut merah. Ini hanyalah ganjaran bagi tiap-tiap hari puasanya dari bulan Ramadhan selain dari kebajikan-kebajikan lain yang dikerjakannya”.

Hadith ini telah diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah (no. 1886) dan Ibn al-Jauzi di dalam kitabnyaal-Maudhu‘at: 2/188-189) daripada sumber Jarir bin Ayub al-Bajli, daripada al-Sya’bi, daripada Nafi’ bin Burdah, daripada Abu Mas‘ud al-Ghifari.

Hadith ini berada di martabat maudhu’ (palsu), ia telah direka oleh Jarir bin Ayub. Al-Imam Ibn Hajar di dalam Lisan al-Mizan (2/101) menyebut tentang Jarir bin Ayub: “Terkenal dengan lemah”. Kemudian beliau memetik kata-kata Abu Nai’m tentang Jarir: “Adalah dia (Jarir) seorang yang memalsukan hadith”. Ibn al-Jauzi juga telah menghukum beliau sebagai seorang yang memalsukan hadith .

  • Daripada Salman al-Farisi ra, bahawasanya Nabi saw berkhutbah kepada kami pada akhir bulan Sya’ban dan Baginda saw bersabda:
“Wahai sekelian manusia, telah memayungi kamu satu bulan yang agung, bulan yang padanya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Allah telah menjadikan puasa dibulan ini wajib, dan berqiyam pada malamnya sunat, maka barangsiapa yang berbuat kebajikan padanya dengan satu kebajikan adalah serupa dengan orang yang menunaikan fardhu pada selainnya. Dan barangsiapa yang menunaikan perkara fardhu pada bulan ini, menyamai seperti menunaikan tujuh puluh fardhu di bulan-bulan lain. Ia adalah bulan sabar dan sabar ganjarannya adalah syurga. Ia adalah bulan tolong-menolong, bulan yang ditambah padanya rezeki kepada orang yang beriman. Barangsiapa yang memberi makan pada bulan ini kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa, maka amalan ini adalah pengampunan bagi dosa-dosanya, dan memerdekakannya daripada neraka, dan baginya pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurang pahala mereka sedikitpun. Mereka lalu bertanya: Ya Rasulullah! Bukan semua kami yang mampu menjamu orang yang berbuka puasa?. Lalu Rasulullah saw bersabda: “Allah akan memberi ganjaran ini kepada orang yang menjamu mereka yang berbuka puasa walau dengan seteguk susu, atau dengan sebiji tamar atau dengan secangkir air. Dan barangsiapa yang mengenyangkan seorang yang berpuasa, maka Allah memberikanya minum dari al-Haudh, iaitu minuman yang ia tidak akan dahaga sampailah ia masuk syurga. Ia adalah bulan yang awalnya adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan, dan akhirnya adalah pembebasan diri dari neraka. Maka perbanyakkanlah pada bulan ini dengan empat perkara kebajikan. Dua perkara kamu akan mendapat keredhaan dari Tuhan kamu dan dua perkara lagi kamu tidak dapat tidak mesti melakukannya. Adapun dua perkara yang kamu akan mendapat keredhaan Tuhan kamu ialah syahadah “La ilaha illallah” dan kamu beristighfar padanya. Dan dua perkara lagi yang kamu tidak dapat tidak mesti melakukannya ialah memohon syurga dan kamu meminta supaya dijauhkan daripada neraka”.

Hadith ini diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah (no.1887) melalui perawi Ali bin Zaid bin Jad‘an daripada Said bin al-Musaiyib daripada Salman. Sanad hadith ini adalah dhaif (lemah) disebabkan oleh Ali bin Zaid bin Jad ‘an. Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam kitabnya Tahzib al-Tahzib (7/322-323) mengemukakan hukuman beberapa orang ulamak terhadap Ali bin Zaid ini, antaranya:
- Ibn Sa’d berkata: “Padanya terdapat kelemahan, dan aku tidak berhujah dengannya”.
- Ahmad bin Hanbal berkata: “ Tidak kuat”.
- Ibn Ma ‘in pula berkata: “Dha‘if”.
- Ibn Khaithamah berkata: “Dha‘if dalam semua perkara”.
- Ibn Khuzaimah berkata: “Aku tidak berhujah dengannya disebabkan keburukan hafalannya”.

Ibn Abi Hatim pula di dalam kitabnya ‘Ilal al-Hadith (1/249) telah menukil pendapat ayahnya yang menyatakan bahawa hadith ini adalah “Hadith Munkar”. Pendapat ini juga disokong oleh Syiekh Muhamad Nasirudin al-Albani yang turut menyatakan bahawa hadith ini adalah Munkar.

  • Hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas: “Berpuasalah kamu, nescaya kamu beroleh kesihatan”.
Hadith ini adalah potongan hadith yang telah diriwayatkan oleh Ibn ‘Adi di dalam kitabnya al-Kamil fi Dhu‘afa’ (7/2521) melalui silsilah Nahsyal bin Sa‘id daripada al-Dhahak daripada Ibn ‘Abbas. Nahsyal adalah seorang yang “Matruk”, dan al-Dhahak tidak pernah mendengar hadith ini daripada Ibn ‘Abbas.

Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut di dalam kitabnya Taqrib al-Tahzib bahawa: “Nahsyal bin Said….. adalah ‘matruk’, dan Ishaq bin Rahuyah telah menyatakan bahawa dia adalah pendusta”. Al-Hafiz al-‘Iraqi pula di dalam kitabnya Takhrij Ahadith fi Ihya’ Ulum al-Din(3/87): “Hadith ini telah diriwayatkan oleh al-Tabrani di dalam kitabnya al-Awsat dan oleh Ibn al-Qayyim di dalam kitabnya al-Tibb al-Nabawi daripada Abu Hurairah dengan sanad yang dha ‘if”.
(Salim al-Hilali, Sifat al-Saum al-Nabi fi Ramadhan, (Bierut: Dar Ibn Hazm, cetakan 7, 2001) hal. 108-112)

Inilah beberapa contoh daripada hadith-hadith yang dhaif dan maudhu’ mengenai fadhilat dan kelebihan puasa dan bulan Ramadhan yang tersebar di kalangan masyarakat.

Hadith palsu tentang fadhilat solat terawih
Selain daripada contoh-contoh yang telah disebutkan di atas, terdapat juga hadith-hadith dhaif dan maudhu’ lain yang menyentuh tentang fadhilat sembahyang terawih secara khusus. Antara yang termasyhur ialah hadith yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Talib tentang kelebihan tertentu pada setiap malam solat terawih.

Hadith popular pada bulan Ramadhan ini yang menyebut tentang fadhilat setiap malam solat terawih ini adalah maudhu’. Ibn al-Qayyim al- Jauziyah di dalam kitabnya “al-Manar al-Munif” telah menyenaraikan beberapa kriteria untuk mengenali hadith-hadith maudhu’ tanpa melihat dan menyemak kepada sanadnya (pengkajian terhadap silsilah rawi). Antara kriteria tersebut ialah apabila sesuatu hadih itu menyebut tentang kelebihan dan ganjaran yang terlalu banyak apabila melakukan amalan yang kecil, dan dosa dan hukuman yang terlalu berat untuk kesalahan yang kecil yang mana ianya tidak disebut oleh Rasulullah saw. Hal ini disebut sebagi al-Mujazafat. (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif (Beirut:Dar al-Kutub al-Ilmiyah, 1988), hal.47)

Maka hadith ini mempunyai kriteria tersebut. Sebagai contoh, pada malam ke-17, disebutkan bahawa ganjarannya ialah Allah swt akan mengurniakan kepada orang yang sembahyang terawih pahala sekelian para Nabi. Cuba perhatikan apakah komentar Imam Ibn al-Qayyim dalam perkara ini. Beliau berkata: ((Seolah-olah pendusta yang jahat ini (pembuat hadith palsu ini) tidak mengetahui jika seseorang yang selain daripada Nabi bersembahyang dengan umur Nabi Nuh saja, tidak akan ada seorang Nabi pun yang dapat menandinginya)). (al-Manar al-Munif, hal.46).

Dr. Yusof al-Qaradhawi di dalam kitabnya Kaifa Nata’mul ma’a al-Sunnah al-Nabawiyah juga telah menjelaskan bahawa terdapat 3 neraca yang perlu dipegang oleh setiap Muslim supaya ia terselamat dari penyelewengan dan tafsiran secara jahil tentang hadith:

1- Memastikan kethabitan/kesahihan sesebuah hadith berdasarkan timbangan ilmiah oleh para ulamak hadith.
2- Memastikan kefahaman yang betul terhadap maksud sesebuah hadith.
3- Memastikan sesebuah hadith itu tidak bercanggah dengan nas/dalil yang lebih kuat darinya iaitu al-Quran dan hadith-hadith lain yang lebih kuat kedudukannya.
(Al-Qaradhawi, Kaifa Nata ‘amul ma’a al-Sunnah, cet. 2, 1996, hal 33-34).

Berbalik kepada hadith popular tentang fadhilat setiap malam solat terawih ini, ternyata ianya gagal untuk melepasi neraca pertama iaitu tidak thabit atau tidak disahihkan oleh mana-mana ulamak hadith. Hadith ini kemungkinan direka oleh puak Syi’ah untuk menonjolkan maqam ketinggian Ali bin Abi Talib yang didakwa oleh imam-imam Syi’ah bahawa beliau banyak menerima hadith-hadith khusus yang tidak pernah diriwayatkan oleh sahabat-sahabat lain.

Hadith ini juga mungkin bertujuan memikat golongan awam yang tidak mengetahui pelbagai kisah dan riwayat. Ia direka oleh penglipurlara jahat supaya masyarakat jahil terpukau dan asyik mendengar ceritanya. Penglipulara ini giat aktif di zaman Imam Ahmad bin Hanbal. Hadith ini juga mungkin direka oleh ahli zuhud dan tasawuf yang menyeleweng bertujuan membangkitkan keghairahan orang awam supaya giat beribadat tanpa ilmu. Inilah penjelasan yang telah diberikan oleh Syeikh Mustafa al-Siba’ie di dalam kitabnya “al-Sunnah wamakanuta fi al-tashri’ al-islami”.

Demikianlah beberapa hadith yang diutarakan di dalam tulisan ini sebagai contoh. Di sana masih terdapat banyak lagi hadith-hadith dhaif dan maudhu’ lain yang disebarkan kepada masyarakat. Tidak dinafikan bahawa sebahagiannya mengandungi makna yang benar dan sesuai dengan syariat malah bertepatan pula dengan kajian yang dilakukan oleh manusia. Contohnya tentang kelebihan dari sudut kesihatan apabila seseorang berpuasa, telah terbukti melalui kajian saintifik. Namun, sejauh mana kebenarannya sekalipun ia masih tetap tidak dibenarkan untuk disandarkan kepada Rasulullah saw. Soalnya bukan untuk menafikan kebenaran fakta tersebut, tetapi ianya untuk mengelakkan dan menghapuskan pendustaan ke atas Rasulullah saw. Jika dalam hal ini diizinkan, maka ianya akan membuka ruang kepada golongan yang lain untuk akan turut mencipta hadith atau berhujah dengan hadith palsu yang berkaitan dengan urusan mereka lalu disandarkan kepada Rasulullah saw. Jangan dianggap bahawa dusta ke atas Rasulullah ini sama sahaja dengan dusta yang dilakukan kepada orang lain. Rasulullah saw bersabda (bermaksud): ((Barangsiapa yang sengaja melakukan pendustaan ke atasku, maka siapkanlah tempat duduknya di dalam api neraka)). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Justeru, marilah seluruh umat Islam untuk kita berhati-hati di dalam urusan agama ini. Renungilah pesanan al-Imam Abdullah ibn Mubarak: “Untuk mengetahui hadith sahih memerlukan kepada penelitian, sedangkan hadith dhaif begitu mudah untuk didapati”. Semoga Allah swt mengampuni dosa-dosa di atas kesalahan yang dilakukan disebabkan kejahilan atau kealpaan seorang manusia. Akhirnya, semoga matlamat ketaqwaan daripada ibadah puasa ini akan diperolehi dan menjadi bekalan untuk menempuhi kehidupan dunia ini seterusnya mencapai kejayaan hakiki di akhirat kelak.

ALLAHU TA'ALA A'LAM.

No comments: