Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
Banyak episod di dalam buku ini yang menyentuh perasaan saya, betapa kita hamba ini belum lah benar-benar beriman selagi belum diuji oleh Allah SWT tatkala susah dan juga senang. Kali ini, saya ingin menarik perhatian pembaca mengenai episod:
Cantik, perhambaan moden yang menyeronokkan
Bab ini seakan mengetuk hati seorang wanita saya agar jangan menjadi seperti merak yang hidupnya hanya memikirkan kecantikan diri. Cantiknya lebih, manfaatnya tidak setara. Terbangnya rendah tidak setinggi mana tetapi lagaknya mendabik dada. Merak hanya ada kecantikan yang dimodal untuk dibanggakan...jika harga diri merak adalah pada cantiknya semata, apakah kita wanita, insane yang lebih mulia harga dirinya lebih rendah dari merak kerana menggantungkan diri pada kecantikan paras rupa???
Tradisi memperhambakan wanita sepatutnya sudah lenyap. Wanita bukan hamba. Mereka adalah khalifah Allah di bumi ini yang nilai diri mereka terletak pada sejauh mana mereka dapat melaksanakan tujuan Allah menciptakan mereka, bersama lelaki yang turut dinilai dari sudut yang sama. Lelaki dan wanita ada peranan masing-masing bersesuaian dengan acuan Allah di dalam penciptaan setiap mereka. Subhanallah!
Maha Suci Allah yang menjadikan manusia sebaik-baik kejadian!
Dunia hari ini kembali menjadikan wanita hamba. Wanita menjadi hamba kepada kerakusan dunia yang inginkan wanita sentiasa cantik...dan untuk apa sebenarnya kecantikan itu??? Untuk dipaparkan dan dibanggakan serta dijilati kecantikan tersebut oleh mata-mata yang memandang???
Wanita hari ini, mereka sendiri yang merampas kemuliaan kewanitaan tersebut. Wanita sendiri yang mahu dirinya dinilai pada rupa paras yang diperagakan. Wanita sendiri yang mahu dinilai pada mulus dan gebunya kulit, kelentikan bulu mata, gaya rambut, kaki yang gebu dan montok, leher yang jinjang, bibir yang mulus atau jenama pakaian, beg, kasut yang semua itu bukan dirinya yang sebenar. Akhirnya wanita terpaksa berbelanja besar dan bekerja keras untuk dilihat tinggi secara duniawi dan mahu dilihat cantik di mata manusia yang memandangnya. Kasihannya wanita seperti ini!
Wahai wanita yang berjiwa tinggi, tinggikan kemuliaan kita dengan diri yang sebenar. Diri kita adalah akhlak kita, hikmah kita,kebijaksanaan kita, hati budi kita, yang pastinya terhasil daripada keimanan kita. Keluarlah dari perhambaan. Jangan hambakan diri kepada manusia yang juga hamba seperti kita. Namun, ianya bukan kerja mudah, semudah mengucapkannya.
“Be yourself, but be the best of yourself” – pesan Ustaz Hasrizal di dalam bukunya ini.
No comments:
Post a Comment