15 May 2012

Adakah nasib seseorang ditentukan oleh kiraan tertentu dari nujum-nujum moden zaman ini?

Bismillahirrahmanirrahiim,

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci bersih), maka ibu bapalah yang bertanggungjawab sama ada menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani,” (Riwayat Muslim).

Saya mulakan dengan hadis ini, agar setiap kita mengetahui, sedar dan peduli bahawa setiap diri kita dilahirkan fitrah, suci bersih dari segala dosa. Mudah-mudahan jua bila kita kembali kepada al-Khaliq Yang Maha Mencipta kita dari setitis air mani, kita kembali di dalam keadaan fitrah jua.

Masih ada lagi yg percaya benda-benda macam nie - penentu berjaya atau tidak, kaya atau tidak, nasib baik atau tidak seseorang itu bukan terletak pada lokasi tahi lalat di badan atau di muka, bukan terletak kepada tarikh lahir seseorang itu, bukan juga terletak pada hari seseorang itu dilahirkan, dan macam-macam lagi perihal nujum pak belalang.

Saya percaya, keperibadian seseorang itu, bagaimana seseorang itu "behave" dan berperangai samada baik atau buruk, terpuji atau keji, nasib kaya atau miskin dan banyak lagi, sebahagiannya bergantung kepada sikap dan perangai seseorang. Persekitaran bagaimana dibesarkan, disekolahkan, persekitaran tempat tinggal sehinggalah persekitaran tempat bekerja. Pengaruh dari kawan-kawan, keluarga, dan media juga memainkan peranan penting, begitu juga cara didikan dari ibubapa, guru-guru, keluarga dan kawan-kawan.

Apakah perasaan anda, sekiranya anda punya anak yang mana setiap ibu bapa inginkan anak-anak mereka berjaya dunya mahupun akhirat nanti. Tiba-tiba, datanglah nujum-nujum moden ini membuat pengiraan tarikh lahir anak anda dengan pelbagai cara dan menterjemahkannya dengan mengatakan bahawa anak anda ini sebegitu dan sebegini perangainya. Dan tiba-tiba juga, didikan anda menjadi tidak bermakna kerna anak anda itu telah diterjemahkan perangai dan kelakuannya sebegitu rupa.
Kebanyakan dari kita mengatakan hanya suka-suka..."saje je", tetapi saya percaya, kadang-kadang dari tilikan tersebut kita percaya juga walaupun sedikit. Oleh itu, hati-hati ya kawan-kawan. Peringatan untuk diri saya jua.

Adakah kita mahu nasib kehidupan kita ditentukan oleh kiraan matematik dari nujum-nujum moden ini??? Hati-hati dengan Syirik Khafi!

Semoga Allah S.W.T melindungi kita semua dari melakukan syirik secara terang-terangan dan juga secara sembunyi, samada kita sedar ataupun tidak. Aaamin.

Dalam suatu riwayat hadith daripada Siti Aisyah radhiya Allahu anha, beliau berkata: Rasulullah pernah ditanya oleh orang ramai tentang golongan al-kihan ( tok nujum). Maka Baginda Rasul menjawab; “ Golongan ini bukannya hebat” . Lantas mereka berkata “ Wahai Rasulullah ! Sesungguhnya golongan ini memberitahu kami sesuatu perkara dan ia adakalanya menjadi kenyataan (berlaku)” Lalu Rasulullah menjawab “ Kalimah (berita) yang dinyatakan itu merupakan satu kebenaran yang disampaikan oleh jin ke telinga al-Kihan (tok nujum) dan kemudiannya mereka mencampur adukan kalimah (berita) tersebut dengan seratus bentuk penipuan” ( Hadith Muttafaqun alahi).

Nabi SAW bersabda (daripada sebahagian isteri-isteri Nabi SAW):
“Sesiapa yang mendatangi nujum (tukang tilik) dan bertanya kepadanya, tidak akan diterima solatnya selama 40 malam.”
(Hadis Sahih Riwayat Muslim No. Hadis: 4137)

Nabi SAW bersabda lagi (daripada Abu Hurairah R.A):
“Sesiapa‫‬‫‬ yg mendatangi tukang tilik/ahli nujum dan mempercayainya, maka sesungguhnya dia‫‬‫‬ telah mengingkari apa yang telah diturunkan kpd‫‬‫‬ Muhammad”
(Sahih At-Targhib wa At-Tarhib, No Hadis 3047, Sahih Al-Jami’, No Hadis 5939)

Dulu masa masih jahil, horoskop Aries saya baca dan kadang-kadang percaya dengan tilikan tersebut. Rupa-rupanya membaca itu sahaja sudah tidak diterima solat selama 40malam, apatah lagi percaya. Bila kita rasa doa kita tidak dimaqbulkan Allah, cepat-cepatlah muhasabah diri kita sendiri, takut-takut solat kita tidak diterima, doa kita tidak didengar. Semoga Allah SWT menerima taubat saya dan taubat kita semua yang telah percaya kepada tilikan.

Allahu Ta'ala A'lam.

No comments: