Bertudung: adakah bermakna sudah tutup aurat?
“Saya dah bertudung. Adakah itu masih tidak mencukupi?”
“Kolotlah kalau pakai tudung labuh dan panjang. Macam ustazah. Aku bukannya baik sangat pun. Cukuplah aku pakai tudung macam nie. Fesyenabel dan bergaya memang sesuai untuk wanita berkerjaya seperti aku nie..”
“ishk, rimaslah pakai tudung panjang-panjang..”
“InsyaAllah terbukak hati nanti, aku pakai la tudung. Sekarang nie macam tak terbuka lagi hati…”
“orang bertudung pun bukannya baik sangat pun. Ramai jugak yang hati busuk, berzina dan buat jahat…”
“ada yang bertudung tapi tidak solat. Ada yang bertudung tapi berzina. Ada yang bertudung tapi masih bergaul bebas. Ada yang bertudung tapi merokok."
Pernah dengar tak kenyataan-kenyataan di atas? Saya selalu juga dengar samada secara live atau di media-media atau terdengar di mana-mana.
Hakikatnya, adakah bertudung itu sudah memadai untuk kita menutup aurat kita?
Apakah penafsiran dan pemahaman kita mengenai tudung?
Cuba bayangkan kalau sedari kecil kita dibesarkan di dalam suasana keluarga Islam, seawal sekolah rendah lagi kita sudah bertudung, sehingga ke sekolah menengah, tudung kita itu sedikit demi sedikit menjadi semakin panjang lebih-lebih lagi dihantar ke sekolah agama. Apabila habis SPM, kita ditawarkan di universiti dan bebas merencanakan diri sendiri, bebas juga berpakaian, bebas juga berkawan dengan sesiapa sahaja. Sebahagian dari kita, Alhamdulillah terus istiqamah, tetap dengan tudung labuhnya yang menutupi auratnya. Sebahagian kita yang lain pula, sedikit demi sedikit semakin singkat tudungnya, sekadar menutupi yang perlu sahaja…kadang-kadang berlengan pendek menampakkan kemontokan lengan masing-masing dan baju yang menampakkan seluruh susuk tubuh kita itu. Sebahagian yang lain pula, hanya menjadikan tudung sebagai uniform. Bila diluarnya mahkota di kepala dilepaskan bebas begitu jua dengan aurat-aurat yang lain. Zaman remaja, zaman belajar, kadang-kadang keseronokan mengatasi segala tanpa kita berfikir panjang natijahnya.
Bagi saya, bertudung tidak semestinya menutup aurat, tetapi menutup aurat itu bertudung iaitu dengan menutup rambut kita. Menutup aurat bukan sahaja kita bertudung melindungi mahkota rambut kita dari didedahkan kepada orang yang tidak sepatutnya, tetapi juga menutup aib yang ada pada diri kita. Menutup aurat itu juga bermaksud menutupi aib seluruh badan kita dengan berpakaian yang longgar dan tidak menampakkan bentuk tubuh badan yang menggiurkan pria-pria di luar sana. Menutup aurat juga bermaksub kita menutup aib bukan sahaja di luar malahan di dalam jua, menutup aib perbuatan dan kelakuan kita, menutup aib dari kejahatan mulut, mata dan hati kita serta keseluruhannya.
Lantas, apa sebenarnya tujuan kita bertudung?
Adakah disebabkan dari kecil lagi bertudung, maka kita masih lagi bertudung sehingga sekarang ini? Atau…
Adakah disebabkan terpaksa, maka zaman persekolahannya kita bertudung dan bila habis zaman sekolah, kita bebas mengikut apa sahaja yang kita mahu dengan rambut fesyen semasa dan sebagainya? Atau…
Adakah disebabkan kawan-kawan kita bertudung, disebabkan malu dengan mereka, maka kita pun bertudung? Atau…
Adakah disebabkan kita benar-benar mahu mengikut syari’ah dan suruhan Allah SWT, serta melindungi diri dari fitnah, lantas kita menutup aurat kita dengan bertudung?
Jawapannya…hanya kita sendiri sahaja yang boleh menjawab nya dengan sejujurnya….
“Jagalah aurat kita,seumpama kita menjaga nyawa kita,seumpama kita menjaga harta kita,seumpama juga kita menjaga keluarga kita. Ianya umpama harga diri kita dan terlalu mahal untuk didedahkan”
Bagi yang bertudung, ingatlah…tudung di kepala kita tidak membuahkan rasa kehambaan kita kepada Allah SWT sekiranya kita masih lagi bermusuh-musuhan, mengadu domba, bergaul bebas, umpat mengumpat dan benci membenci dan sebagainya. Tetapi kelebihannya kita bertudung adalah dosa membuka aurat kita itu berkurang dari yang membuka aurat. Pun begitu, ianya bukanlah tiket untuk kita merasa bangga, ujub dan takabbur kerana kita sudah bertudung dan orang lain tidak bertudung, dosa kita pun kurang dari yang tidak bertudung sedangkan hal-hal dosa yang lainnya masih banyak yang kita lakukan. Dan bukan juga yang berniqab, berpurdah dan bertudung labuh itu melambangkan kuatnya iman mereka….tidak sama sekali, kerna kekuatan iman seseorang itu bukanlah terletak pada cara berpakaian sepenuhnya. Yang membezakan antara seorang manusia dengan manusia yang lain adalah Taqwa dan sukar untuk kita menilai taqwa diri sendiri apatah lagi orang lain. Bertudung biarlah menutup aurat dengan sebaik-baiknya.
Peringatan untuk diri saya sendiri jua, “hidayah itu datangnya dari Allah SWT, tapi hidayah itu perlulah kita cari dan bila kita mendapat hidayah tersebut, bertaubatlah dan tidak mengulangi dosa-dosa yang telah lalu kerna sesungguhnya Allah SWT itu Maha Pengasih dan Maha Pengampun. Berusahalah dan berazamlah untuk kita menambah redha Allah SWT ke atas diri kita sendiri kerana saya percaya, setiap dari diri kita mengimpikan untuk memasuki Jannah di sana nanti”
Saya berdoa agar kita sentiasa di dalam peliharaan Allah SWT, sentiasa diberi tunjuk jalan yang benar dan sama-sama kita menjadi hamba yang sentiasa dikasihi dan dicintai Allah SWT…Aaamin.
Allahu Ta’ala A’lam
No comments:
Post a Comment