18 September 2011

Tuhan masih mencintaiku...

Rasanya dah lama tak membaca novel. Novel Tuhan masih mencintaiku ini adalah hasil karya Lily Haslina Nasir. Sudah lama tidak membaca hasil karya Lily Haslina dan pandangan pertama saya apabila melihat kulit buku ini, mungkin mengisahkan cinta ketika berada di luar negara. Namun, anggapan saya silap...jangan tertipu dengan model di kulit muka novel ini. :-)

"Jika aku rasa susah, ada lagi orang yang lagi susah" - itulah yang Azrul Rasyid rasakan ketika dia sama-sama turun padang menjayakan program Prihatin. Azrul Rasyid merupakan seorang editor tersohor di ruangan hiburan Akhbar Dinamik beralih arah ke meja Prihatin. Rupa-rupanya untuk membuat kebajikan itu amat besar cabarannya dan tidak semudah yang disangka. Beralih dari hiburan kepada sesuatu unit yang bertentangan rupa-rupanya ramai yang menunggu untuk membalas dendam di atas segala gossip-gossip yang telah Azrul terbitkan di dada akhbar. Lebih tertekan lagi apabila umum mengetahui dan bercakap-cakap mengenai sejarah hitam ibunya.

Khalida Atikah - digelar gadis lindungan Ka'abah di pejabat. Seorang gadis yang lurus dan digelar selurus Lebuhraya Utara-Selatan rupa-rupanya seorang gadis yang kuat dan memberi semangat dan kekuatan buat Azrul Rashid untuk meneruskan penghijrahan.

Berjayakah Azrul di dalam perjalanan menuju jalan Tuhan dengan segala macam dugaan dan cabaran atau, dia bakal tersungkur di tengah jalan???

Novel penuh pengajaran: yang di atas tak selamanya berada di atas, akan ada masanyer tersungkur dan jatuh jua ke bawah. apa sahaja keburukan dan kejahatan yang kita lakukan pada manusia lain, akan sampai masanya kita akan mendapat balasan setimpalnya samada di dunia mahupun di sana kelak.


Sinopsis:
Azrul Rasyid mengalami perubahan 360 darjah dari segi sikap dan peribadi. Namun berhijrah dari kelaziman kepada sesuatu yang baru, segar dan lebih putih tidak semudah yang disangkakan. Ketika inilah ramai mengambil peluang membalas dendam dan memulangkan paku buah keras kepada Azrul. Hubungan dengan Khalida Atikah ada pasang surutnya. Dari meja hiburan yang sentiasa mengintai dan mengekori artis dan bermain dengan gosip, Azrul Rasyid, Khalida dan rakan lain sudah membuat tim baru. Mereka menyelongkar kisah getir masyarakat yang lebih menginsafkan. Malah Azrul dan Khalida berpeluang menyaksikan sendiri kegetiran pelarian perang sewaktu membuat liputan akhbar. Azrul berusaha mengumpul dana dan derma dari artis kenalannya dahulu untuk membantu mereka yang memerlukan. Akan tetapi ramai mempertikaikan... duit artis, duit hasil nyanyian. Apakah layak dijadikan sumbangan ke arah kebaikan?

Hidup peribadi Azrul Rasyid juga tertekan apabila kisah sejarah hitam ibunya menjadi buah mulut ramai. Baru kini Azrul memahami betapa sakitnya diri apabila difitnah dan dijadikan bahan gosip. Dia akhirnya mendapat tahu dia bukan anak kandung orang tuanya. Dia adalah anak yang tidak diingini. Ibunya satu ketika dahulu dirogol oleh bekas kekasih biarpun sudah bergelar isteri orang. Masalah bertambah sukar apabila yang kenangan bersama arwah Nureen sering menganggu tidurnya. Dosa silam tidak terbasuh dengan air mata biarpun saban malam dia menekur di sejadah memohon ampun. Cik Latifah yang sudah keluar dari wad sakit jiwa kembali mengganas. Dendamnya sampai mati!

Hanya kekuatan iman dan ketabahan yang luar biasa membantu Azrul Rasyid bangkit dari puing-puing luka cerita lama.

No comments: