30 March 2020

Bedah Buku : Imam Syafie ~ Pejuang Kebenaran

Sebelum kelahiran Imam Syafie, ibunya telah bermimpi melihat sebutir bintang keluar dari perutnya lalu naik ke langit. Kemudian bintang itu pecah lalu bertaburan jatuh ke bumi. Cahaya daripada bintang itu menjadikan muka bumi ini terang benderang. Bapanya juga bermimpi perkara yang sama, menurut bapanya Idris, beliau bermimpi melihat sebutir bintang yang putih berkilauan keluar dari perut isterinya lalu naik ke angkasa. Kemudian bintang itu jatuh lalu cahayanya menerangi muka bumi ini.

Nama sebenar Imam Syafie ialah Muhammad Bin Idris Bin Abbas Bin Uthman bin Syafie Bin Said Bin Abdul Yazid Bin Hasyim Bin Abdul Mutalib Bin Abdul Manaf.

Imam Syafie adalah berasal dari keturunan arab Quraisy. Nasabnya berkait dengan Nabi Muhammad saw.

Beliau dilahirkan di Kota Gaza Palestin pada bulan Rejab 150 Hijrah. Ada yang mengatakan pada malam beliau dilahirkan itu Imam Abu Hanifah (Imam Hanafi) meninggal dunia akibat diracun oleh Khalifah Abu Jaafar al-Mansur dari Bani Abbasiyah sewaktu Imam Hanafi berada dalam penjara. Beliau dipenjara , diseksa dan dirotan kerana tidak mahu memberikan kerjasama kepada Khalifah Bani Abbasiyah yang zalim itu dengan menolak tawaran untuk menjadi Hakim kerajaannya.

Imam Syafie telah menghafal Quran ketika berumur 9 tahun. Beliau berguru dengan Imam Ismail Kustantani yang terkenal sebagai ahli  dalam bidang Al-Quran.

Imam Syafie juga amat meminati syair dan puisi, beliau pernah berguru dengan Mas’ab bin Zubair seorang penyair terkenal dan mampu menghafal 10,000 rangkap syair kaum Bani Huzail.

Imam Syafie berguru dengan Imam Sufian Ainiah dalam ilmu hadis sehingga menjadi pakar dalam bidang hadis dan diberi kepercayaan oleh gurunya untuk mengajar menggantikannya sewaktu ketiadaannya.

Beliau juga mempelajari ilmu Fiqah dari Imam Muslim al-Zanji dan diberi kepercayaan untuk mengeluarkan fatwa. Memandangkan dia tidak mampu membeli alat tulis dan kertas, Imam Syafie menulis catatannya pada kulit kayu, pelepah, tamar dan kertas terbuang yang dibuang orang. Di dalam masa yang sama beliau mula membaca dan menghafal Kitab Muwatta’ yang dikarang oleh Imam Malik bin Anas kerana masih merasakan kurang ilmunya.

Imam Syafie juga pernah belajar ilmu peperangan dan bermain senjata dengan gurunya iaitu Amiruddin, seorang bekas tentera. Imam Syafie juga terkenal sebagai seorang pemanah yang handal.
Imam Syafie juga seorang yang zuhud dan mencintai ilmu.

Imam Syafie pernah mengembara ke Madinah yang mengambil masa selama 8 hari dengan menaiki unta sambil sempat mengkhatamkan Al-Quran sebanyak 16 kali untuk menemui dan berguru dengan Imam Malik yang ketika itu menjawat jawatan Mufti Kota Madinah. Imam Syafie belajar dari Imam Malik selama 8 bulan.

Selepas itu Imam Syafie merantau pula ke Iraq untuk belajar dengan anak murid Imam Hanafi iaitu Imam Muhamad al-Hassan dan Imam Abu Yusof. Beliau telah menghafal Kitab al-Awsat karangan Imam Hanafi dalam masa 3 hari saja telah mengejutkan kedua orang gurunya itu kerana biasanya murid-murid mereka yang lain mengambil masa paling kurang 1 tahun untuk menghafalnya.

Imam Syafie juga belajar ilmu firasat dengan Maulana Arif di Yaman. Di Yaman beliau berkahwin dengan wanita bernama Hamidah dari keturunan Khalifah Uthman Bin Affan. Mereka dikurniakan 3 orang anak.

Kerana kecintaannya terhadap ilmu, Imam Syafie telah merantau ke Madinah, Iraq, Yaman, dan Mesir di dalam menambahkan ilmunya.

Ketika seorang lelaki meminta beliau memberikan nasihat kepada mereka, Imam Syafie lantas naik ke atas mimbar dan berkata, "Wahai kaum muslimin, sesungguhnya tidak ada harta yang lebih mulia dan berguna selain daripada ilmu. Tidak ada yang lebih menguntungkan selain daripada adab sopan. Tidak ada yang lebih berguna selain daripada akal. Tidak ada yang lebih buruk selain daripada bersifat kedekut."

Oleh kerana kecintaan beliau yang begitu mendalam terhadap ilmu, jadi tidak hairanlah jika Imam Syafie telah menulis 142 buah kitab semasa hayatnya.

Imam Syafie meninggal dunia selepas waktu isyak, malam jumaat 28 Rejab tahun 204 Hijrah (tahun 820 M) di rumah Abdullah bin Hakam sewaktu berumur 54 tahun di bumi Mesir. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Bani Zaharah. Jenazah beliau pernah diarahkan untuk dipindahkan ke Baghdad oleh Abu Ali al-Hasan yang menjadi Perdana Menteri Iraq. 

Setelah digali mereka menemui batu bata yang tersusun membentengi liang lahad Imam Syafie. Selepas mereka memecahkan batu-bata itu, mereka amat terkejut kerana tercium bau yang sangat harum dari dalam liang lahad itu malah ada beberapa orang dari mereka yang pengsan.

Bila perkara ini diketahui oleh perdana menteri Iraq itu, maka beliau berasa terkejut dan kesal lalu membatalkan terus usaha memindahkan kubur itu. Pada 7 Rabiul Awal 608 Hijrah, al-Malik al-Kamil al-Muzaffar al-Mansur mengarahkan supaya membina sebuah kubah yang cantik di makam tersebut. Tidak lama kemudian sebuah masjid didirikan disitu dengan nama Masjid Imam Syafie. Makam Ulama hebat ini terus dikunjungi orang ramai hingga kini.

Semoga Allah merahmati Imam Syafie dan semua pejuang-pejuang kebenaran dan semoga Allah SWT merahmati kita dan sentiasa membuka ruang bagi kita untuk mencari ilmu. Allahu Ta'ala 'Alam.


No comments: