13 September 2016

Travellingbie : Itinery Penuh 9 hari 8 malam Tokyo termasuk menawan 3 puncak gunung di Tokyo dengan kos kurang dari RM2500.00

“Sejauh manapun aku mengembara, keseluruhan hidup pada hakikatnya adalah perantauan. Suatu saat aku akan kembali berjalan pulang ke asal. Kembali ke satu, yang esensial, yang awal. Yaitu menghamba dan mengabdi. Kepada Sang Pencipta.”Ahmad Fuadi, Rantau 1 Muara

Ramai yang bertanya pada saya, mahal tak Jepun?

Jepun sememangnya mahal. Kos sara hidup yang tinggi bersesuaian dengan gaji mereka yang sangat tinggi. Kalau fresh graduate boleh dapat pendapatan tahunan lebih kurang RM200k setahun, apatah lagi yang telah lama bekerja. Namun disebabkan kos hidup yang tinggi pendapatan tahunan yang tinggi kadangkala tidak dapat menampung kos sara hidup rakyat Jepun, sehingga ada dari golongan yang bekerja, masih lagi hidup bergelandangan di malam hari kerana tidak mampu menyewa rumah.

Namun, Jepun merupakan antara negara yang sangat saya sukai dari segi budayanya, manusianya, keindahan semulajadinya yang dijaga rapi sehinggalah pada makanannya.

Dari tahun lepas lagi saya mengintai tiket penerbangan murah untuk ke Jepun, terutamanya Tokyo. Entah kenapa saya teringat ingat dengan Gunung Fuji pada masa itu. Apabila Airasia menawarkan promosi tiket penerbangan "Free Seat", tangan saya ligat mencari peluang dan tiket yang paling murah. Dapat je tiket paling murah pada masa Gunung Fuji dibuka pada orang ramai, tanpa fikir panjang, saya beli dahulu bersama seorang rakan saya. Masa itu dah rancang dalam itineri untuk mendaki Gunung Fuji. Selepas membeli tiket penerbangan dua hala, saya dapatkan sedikit sebanyak maklumat mengenai Jepun terutamanya Fujisan.

Seawal 6 bulan dari tarikh berangkat ke Tokyo, perancangan telah dibuat bagi memastikan perjalanan teratur. Dari 2 orang sehinggalah kepada 11 orang yang mengikuti trip ini dan akhirnya tinggal 6 orang sahaja di dalam grup saya. Ada yang tidak dapat teruskan atas sebab peribadi. Ada juga yang punyai itineri sendiri sepanjang 9 hari di Tokyo.

Saya sediakan itineri yang lengkap dengan tempat ditujui beserta kos transport. Kajian bagi kos kos tersebut mengambil masa berbulan juga untuk disiapkan. Dengan bantuan dari rakan-rakan yang akan turut serta, itineri lengkap beserta kos anggaran disiapkan sebelum kami ke Tokyo. 

26 Ogos 2016, kami mulakan perjalanan kami secara backpacking.
Lokasi yang dirancang mengikut itineri adalah seperti berikut:

Hari 1: KL - Haneda Airport (Kos hari pertama termasuk tiket tren ERL Putrajaya ke KLIA2, kos wrapping haversack dan kos luggage 25kg dikongsi berdua)
Hari 2: Haneda Airport > Kawaguchiko Station  > Fuji Subaru Line 5th Station > Treking sehingga ke Mountain Hut Gansomuro di 8th Station
Hari 3: Mendaki ke Puncak Fujisan > Mengejar matahari terbit di puncak Fuji > Check-in Koe House di Kawaguchiko
Hari 4: Check out Koe House > Kawaguchiko Lake dan sekitarnya > Mount Kachi Kachi Ropeway > Naik bas ekspress ke Shinjuku > Check in Gyotoku Guesthouse
Hari 5: Harajuku dan sekitarnya
Hari 6: Asakusa dan sekitarnya > Euno dan sekitarnya 
Hari 7: Gunung Takao
Hari 8: Odaiba dan sekitarnya
Hari 9: Masjid Tokyo > Jimbocho > Haneda > Balik KL

Kos perbelanjaan selama 9 hari di negara matahari terbit ini lebih kurang RM2000 tidak termasuk tiket 2 hala KL-Haneda, cenderahati dan membeli belah.

Nota:
  1. Sekiranya anda tidak merancang untuk mendaki Gunung Fuji dan beberapa gunung yang lain di sekitar Tokyo, kos perbelanjaan akan berbeza. Begitu juga, sekiranya anda tidak mahu tidur di kabin hut semasa mendaki Fujisan, kos pendakian anda hanyalah bayaran masuk ke Fuji iaitu sebanyak 1000 yen = RM40.00, sekaligus kos perbelanjaan anda akan berkurangan;
  2. Saya sediakan "ration" yang mencukupi selama 9 hari di Tokyo, begitu juga dengan yang lain. Itupun ada yang berlebih. Bagi yang malas membawa bekal makanan yang berat berat, peruntukkan sahaja duit untuk makan.  Bekal makanan seperti Brahim segera, nasi himpit dan serunding untuk mengurangkan kos perbelanjaan makan. Makan di Jepun sangat mahal. Contoh set makanan yang kami makan adalah Halal Ramen Ouka yang berharga 1100 yen = RM44.00;
  3. Perancangan asal mengikut itineri adalah mendaki 4 gunung di sekitar Tokyo, walaubagaimanapun atas sebab sebab yang tidak dapat dielakkan, kami hanya mampu mendaki 3 gunung sahaja;
  4. Penginapan di Koe House telah ditempah seawal tahun memandangkan tarikh kami ke Kawaguchiko merupakan waktu puncak di mana ramai pendaki mendaki Gununf Fuji dan bermalam di Kawaguchiko;
  5. Penginapan di "mountain hut" di sekitar Fujisan pula dilakukan selepas Äidilfitri memandangkan tempahan mula dibuka pada bulan Julai 2016. Dengan bantuan kawan di Tokyo, kami membuat tempahan bersekali dengan grup beliau;
  6. Rumah penginapan di Gyotoku pula ditempah lebih kurang sebulan sebelum kami ke Tokyo. Sebelum itu beberapa kajian mengenai hostel yang sesuai dan murah telah dilakukan. Dan akhirnya kami membuat keputusan untuk menginap di Gyotoku Guesthouse yang mesra Muslim dan rumah tersebut sesuai untuk kami berenam. Anda boleh melayari laman web http://www.melancongkejepun.com/penginapan/guest-house-kami/guest-house-gyotoku untuk membuat tempahan
  7. Cuaca sepanjang kami berada di Tokyo terutamanya di Fujisan adalah kurang baik. Setibanya kami di 5th Station Fuji Subaru Line, hujan berpanjangan sehinggalah kami tiba di mountain hut. Memandangkan waktu tersebut merupakan peralihan musim dari Spring ke Autumn, "typhoon" , angin kuat dann hujan dijangka berlaku hampir setiap hari di beberapa kawasan termasuklah Gunung Fuji. Bagi yang berhajat untuk mendaki Gunung Fuji, anda bolehlah merancang pendakian anda sekitar Julai dan awal Ogos
  8. Kami tidak menggunakan Kad Suica atau JR Pass setelah mengambil kira lokasi aktiviti aktiviti kami sepanjang 9 hari di sana. Boleh je kalau nak gunakan Kad Suica sepanjang berada di sana, lebih mudah dan anda tidak perlu membeli tiket setiap kali anda menaiki tren.
  9. Buat salinan passport dan tiket penerbangan anda dan simpan di dalam tempat yang boleh dicapai atau simpan "softcopy" di dalam HP atau cloud. Sekiranya terjadi apa-apa kecemasan, anda mempunyai salinan yang boleh membantu anda. Alhamdulillah, sepanjang berada di sana, kami tidak mempunyai masalah kehilangan barang barang atau wang.
  10. Sekiranya anda mengembara di dalam grup yang agak besar, toleransi, kerjasama dan sabar sangat penting di dalam menjaga keharmonian sesuatu grup sepanjang kembara. Anda pastinya tidak mahu mood kembara anda dimusnahkan semata mata ada yang bersikap pentingkan diri sendiri dan sebagainya.
  11. Kami tidak sempat ke beberapa tempat seperti Tokyo Tower, Akihabara, Crossing Road Shibuya, Haciko Statue. Sekiranya anda bergerak berdua atau tiga orang, pastikan anda dapat "cover" semua tempat :)
  12. Gambar foto diambil menggunakan Sony Z5 sahaja. Sila minta kebenaran sebelum menggunakan gambar-gambar di dalam artikel saya. :)
Matahari terbit di puncak gunung Fuji
Trek turun
Pemandangan di Kachi Kachi selepas hujan berhenti
Tasik Kawaguchiko
Harajuku
Asakusa dari Observation Deck Information Center
Nakamise Street, Asakusa
Ameyayokocho di Euno
Gundam di Odaiba
Salah satu bilik di rumah penginapan Gyotoku
Masjid Tokyo terletak berhampiran dengan Stesen Yoyogi Euhara
Senibina dalaman Masjid Tokyo
Balik Malaysia dah :)
Pesanan saya, sebelum anda ke sesuatu tempat, buat kajian serba sedikit terutamanya mengenai itineri perjalanan dan kos perbelanjaan. Kajian / reseach sangat penting bagi memastikan masa anda tidak terbuang begitu sahaja. Lagipun, perjalanan anda sangat sekejap dan terhad. Peruntukkan sedikit lebihan duit untuk masa masa kecemasan dan sebagainya.

Sekiranya anda bergerak di dalam kumpulan, pastikan anda memberi sumbangan terutamanya dari segi tenaga kerja, membuat kajian/studi, membaca peta, laluan tren dan sebagainya. Jangan harapkan seorang sahaja untuk membuat semua kerja kerja tersebut. Bukannya anda membayar lebih kepada mereka yang menyumbangkan lebih tenaga atau merancang setiap perjalanan di dalam trip tersebut.

Untuk perincian mengenai trip Tokyo dan Fujisan selama 9 hari ini, anda boleh lawati entri blog di bawah:
  1. http://mymotivations.blogspot.my/2016/09/travelog-japan-day-1-2-mencari-semangat.html
  2. http://mymotivations.blogspot.my/2016/09/pendakian-gunung-fuji-menuju-puncak.html
  3. http://mymotivations.blogspot.my/2016/09/musafir-japan-hari-3-hiking-down-from.html
  4. http://mymotivations.blogspot.my/2016/09/musafir-japan-hari-4-exploring.html
  5. http://mymotivations.blogspot.my/2016/09/musafir-jepun-hari-4-kawaguchiko.html
  6. http://mymotivations.blogspot.my/2016/09/musafir-jepun-hari-5-dan-6-harajuku.html
  7. http://mymotivations.blogspot.my/2016/09/musafir-japan-hari-7-climbing-takaosan.html
  8. http://mymotivations.blogspot.my/2016/09/musafir-japan-hari-8-tokyo-teleport.html
  9. http://mymotivations.blogspot.my/2016/09/musafir-jepun-hari-9-last-day-in-tokyo.html

pssst:
Travelling memang letih, tapi...nak tulis entri ni lagi letih, siap kumpul sikit sikit maklumat di dalam entri tersebut, save as draft dan bila maklumat dah lengkap beserta gambar, baharulah publish.

“tapi, anakku, hidup senantiasa mengembara”Usman Awang, Duri Dan Api

No comments: