26 September 2016

Kewangan : Tips Cukup Duit Gaji

Pernah atau tidak anda berada di dalam situasi di mana duit gaji anda sentiasa tidak mencukupi? Dapat gaji hujung bulan, habis bayar hutang sana sini, bayar keperluan wajib untuk keluarga dan anak anak dan sebagainya. Gaji anda banyak mana pun, sekiranya anda tidak pandai menguruskan kewangan anda, anda akan sentiasa dihantui "hantu tidak cukup duit". Ada yang sampai meminjam pada adik beradik, keluarga lain, kawan kawan sehingga habiskan kawan kawan untuk dipinjamkan duit tersebut. Sebelum anda tenggelam dengan masalah kewangan, bukalah minda dan hati anda untuk melihat, mengkaji dan mempraktik tips cukup duit seperti tertera di bawah:


  1. Dapat gaji - simpan 10% dari duit gaji anda dahulu :: Ini peraturan wajib. Contoh: Anda menerima gaji bersih termasuk elaun sebanyak RM3000.00. 10% daripada gaji tersebut iaitu RM300.00. Yang ini wajib dan tidak boleh tidak. Awal pelaksanaannya memang akan susah disebabkan anda akan berasa anda kekurangan duit sebanyak RM300 sebulan. Walaubagaimanapun, anda akan dapati kekurangan sebanyak RM300 sebulan itu akan kurang bebannya dari semasa ke semasa. Manusia memang dijadikan fleksibel dan akan menyesuaikan diri dengan keadaan. Sekiranya anda boleh istiqamah di dalam melakukan eksesais ini, percayalah, anda akan dapat mengurangkan beban kewangan anda dari semasa ke semasa. Bayangkan anda menyimpan sebanyak RM300 sebulan. Setahun??? RM300 x 12 bulan = RM3600.00 setahun x 5 tahun = RM18000. Itu belum lagi termasuk dividen dan sebagainya. Sekiranya anda mendapat bonus tahunan atau dwi-tahunan, Alhamdulillah. Jangan rambang mata pulak. Rancang duit bonus anda itu dengan bijak dan berhemah.
  2. Bayar Hutang - Bila anda terima gaji, apakah perkara pertama yang anda akan lakukan? Bayar hutang atau belanja terlebih dahulu. Sekiranya anda melakukan pilihan pertama iaitu membayar hutang hutang anda, TAHNIAH! Sekiranya anda melakukan pilihan kedua terlebih dahulu, anda perlu tahu bahawa anda berada di tahap bahaya. Biasakan diri membayar hutang hutang dahulu sebelum anda berbelanja. Ini bukan bermaksud hutang-hutang anda yang mempunyai insuran seperti hutang rumah, kereta dan sebagainya. Hutang yang tiada insuran itulah yang perlu dilangsaikan cepat-cepat. Hutang rumah, kereta anda itu, anda masih juga perlu bayar mengikut jadual sekiranya anda tidak mahu pihak bank mengejar anda siang dan malam.
  3. Perancangan Kewangan - dapat gaji, anda perlu rancang kewangan anda. Bahagikan mengikut keperluan dan kategori. Contoh: Gaji bersih anda RM3000. 10% daripada RM3000 telah ditolak siap-siap. Baki = RM2700. Senaraikan hutang-hutang dan bil bil anda dahulu termasuk hutang PTPTN, hutang pinjaman peribadi, hutang rumah, hutang kereta, bil telefon, bil letrik, bil air, bil, bagi mak ayah dan sebagainya. Baki dari gaji anda itu, rancang pula kewangan yang tidak wajib termasuk makan minum, hiburan, tabung travel dan sebagainya. Sekiranya anda membuat perancangan, anda akan tahu ke mana duit gaji anda dihabiskan.
  4. Selepas anda merancang kewangan dan tahu ke mana duit tersebut dihabiskan, tindakan seterusnya adalah tindakan kawalan. Lihat kembali perbelanjaan anda, dan sisihkan mana mana perbelanjaan yang tidak penting, tidak terlalu penting dan sebenarnya tidak diperlukan. Contoh: Adakah anda memerlukan kereta yang besar, canggih buat masa sekarang? Kereta perlukan sport rim baru ke? Adakah anda memerlukan kerusi, perabot, langsir baru untuk rumah anda atau rumah sewa anda ke dan sebagainya? Anda perlu bijak membezakan kepentingan keperluan dan "nice to have".
  5. Minimumkan perbelanjaan. Contoh, bil telefon anda tidak perlu melanggan bil yang besar sekiranya anda hanya membuat beberapa panggilan telefon, dan anda hanya perlukan data yang besar sahaja. Pilih lah pelan telefon yang sesuai dengan anda dan ini mungkin akan dapat meminimakan perbelanjaan utiliti anda. Lagi satu, minimakan penggunaan elektrik dan air di rumah dan juga lihat mana mana keperluan yang boleh anda minimakan. Dengan penggunaan berhemah dan berjimat, anda mungkin akan terkejut melihat jumlah penjimatan yang akan anda terima setiap bulan.
  6. Selalu selalulah bersedekah dan menderma. Sedekah bukannya akan menguruskan dompet anda, tetapi dengan bersedekahlah anda akan menjadi kaya. Jangan tunggu duit banyak baru nak menderma, tetapi mendermalah sekiranya anda ingin menjadi kaya. 
Tidak ada manusia yang dilahirkan terus dengan masalah. Kadang kadang ada yang menjadikan masalah sebagai peluang. Ada juga yang menjadikan masalah sebagai alasan untuk tidak berubah dan ada juga yang mengambil jalan paling teruk iaitu lari dari masalah dan menambah masalah. Ada juga yang sehingga mati mempunyai beban hutang yang banyak dan ini merupakan senario yang sangat kasihan bagi individu tersebut. Apatah lagi apabila meninggal dunia, meninggalkan hutang yang banyak kepada keluarga yang ditinggalkan. Untuk mengelakkan situasi begini, belajarlah cara bagaimana anda boleh mengurangkan beban kewangan anda, sekaligus menyelamatkan anda dari tenggelam dengan masalah kewangan. Banyakkan membaca dan tambah ilmu anda serta keluarlah dari zon selesa anda.
Selamat berjuang dan selamat mencuba tip tip di atas.


No comments: