Tuesdays with Morrie, sebuah buku yang menceritakan mengenai Professor Morrie yang sedang berada di ambang kematian.
Bagaimana beliau melihat kematian yang sedang dihadapinya sebagai salah satu proses kehidupan yang akan menemui penghujungnya. Morrie bercakap mengenai kematian dan kehidupan bersama bekas pelajarnya setiap hari Selasa.
"Kawan lamaku...kamu datang juga akhirnya.."~ bisik Morrie kepada Mitch.
Professor Morrie disahkan mengidap ALS yang mematikan sedikit demi sedikit fizikalnya sehinggalah penyakit tersebut menamatkan riwayatnya dengan menyerang jantungnya.
Diambang maut adalah satu sebab untuk seseorang itu berdukacita. Menempuh hidup yang tidak gembira adalah satu perkara lain. Ramai yang datang berjumpa saya mengadu hidup mereka tidak gembira. Satu perkara yang pasti ialah budaya kita yang membuatkan masyarakat berasa tidak selesa. Kita mendidik perkara yang salah.
Mitch datang setiap hari selasa bertemu Professor Morrie dan pada hari itu kuliah kehidupan bermula antara mereka berdua. Morrie memaklumkan yang beliau banyak belajar dari penyakitnya itu.
Perkara penting dalam hidup adalah belajar bagaimana hendak memberi kasih sayang dan menerima kasih sayang. "Biar kasih sayang datang. Kita sangka kita tidak layak menerima kasih sayang, kita juga sangka jika kita menerima kasih sayang kita menjadi terlalu lembut. Namun, kasih sayang adalah satu-satunya perbuatan yang wajar."
Semua orang tahu mereka akan mati,tetapi tiada siapa yang mahu percaya....pelikkan! Jika kita percaya, kita akan lakukan semua perkara dengan cara yang berbeza.
"Sekali kamu belajar cara hendak mati, kamu akan belajar bagaimana hendak hidup." Orang yang sedang menempah maut sama ada melihat kematian dengan cara yang menyedihkan atau sebaliknya. Jangan bergantung kepada sesuatu kerana semua di dunia ini tidak kekal.
Konsep pengasingan emosi Professor Morrie, mengasingkan kesakitan, kesunyian dan segala yang menyedihkan dari perasaan dengan meluahkannya, menangis dan sebagainya dan setelah itu meletakkan segalanya ke tepi dan teruskan kehidupan.
Professor Morrie pernah bekerja di Chestnut Lodge, sebuah hospital mental selama 5 tahun. Sepanjang tempoh di sana, Morrie memerhatikan kebanyakan daripada pesakit diabaikan dan dinafikan hidup sempurnanya sehingga merasakan mereka tidak wujud. Mereka tidak berasa kasih sayang dan kekayaan yang mereka ada tidak dapat membeli kebahagiaan dan kepuasan hidup.
Penuaan bukan proses mereput. Ianya pertumbuhan. Ramai yang takut menjadi tua dan mereput sedangkan itulah proses kehidupan.
Selalu kita dengar "kalaulah saya muda semula. Kalaulah saya boleh kembali ke zaman sekian sekian...". Orang yang selalu memperkatakan begitu mencerminkan kehidupan mereka yang tidak pernah puas. Harapan, cita-cita, hajat yang tidak kesampaian. Hidup yang tidak jumpa pengertian hidup yang sebenar dan menjadi orang yang tidak pernah gembira dan bahagia.
Usah cemburu dengan usia muda orang yang lebih muda dari kita kerana kita pernah melaluinya. Jadilah seorang yang bijak bersesuaian dengan usia.
Prof Morrie mengeluh dengan menyatakan bahawasanya satu bentuk pembasuhan otak berlaku di negara dia dan juga di negara-negara yang lain. Malaysia juga tidak terkecuali. "Mereka mengulang-ngulang sesuatu perkara berkali-kali. Memiliki harta benda itu baik. Duit yang banyak juga baik. Hartanah banyak juga baik. Anak-anak yang ramai itu baik. Perniagaan itu baik. Kereta besar itu baik. Gaji yang banyak itu baik. Lebih banyak itu baik sehinggakan mereka memuja-muja banyaknya harta benda, kuasa dan memuja orang yang kayaraya dan banyak kebendaan. Duit bukan pengganti kasih sayang begitu juga dengan kuasa. Kita tidak akan puas dengan kebendaan. Apa yang lebih memuaskan adalah menawarkan kepada orang lain apa yang kamu dapat beri. - keprihatinan kamu, masa kamu, kebolehan kamu, kepandaian kamu dan sebagainya.
Sewaktu Mitch membawa Janine isterinya berjumpa Professor Morrie, beliau memberitahu "Saya banyak belajar mengenai perkahwinan. Kita akan diduga. Kita mengenali diri sendiri dan siapa pula pasangan kita, serta dapatkah kita menyesuaikan diri atau sebaliknya. Tetapi ada beberapa peraturan mengenai kasih sayang dan perkahwinan yang boleh diikuti. Sekiranya kamu tidak menghargai pasangan kamu, kamu akan menghadapi banyak masalah. Sekiranya kamu tidak tahu/mahu bertolak ansur, kamu akan menghadapi banyak masalah. Sekiranya kamu tidak mampu bercakap secara terbuka apa yang berlaku antara kamu, kamu akan menghadapi banyak masalah. Dan sekiranya kamu tidak ada nilai-nilai kesepakatan, kamu akan menghadapi banyak masalah. Nilai-nilai pasangan tersebut mestilah serupa. Dan yang paling penting di antara nilai-nilai itu adalah kepercayaan kamu terhadap pentingnya perkahwinan kamu. Saling sayang menyayangi atau hidup tidak bermakna."
Maafkan diri kamu sendiri sebelum mati. Kemudian maafkan orang lain.
Sepanjang kehidupan kita, adakalanya kita menyesali apa yang berlaku, menyesal berjumpa dengan orang yang melukakan hati kita, menyesal kerana melukakan hati orang lain. Menyesal dengan apa sahaja perkara buruk yang kita lakukan, menyesal kerana berdendam dengan seseorang sehingga tiada ruang kemaafan, menyesal kerana tiada luangkan masa bersembang dengan ayah yang telah tiada atau ibu yang sentiasa garang dengan kita sehingga kita takut untuk berbicara dengannya. Menyesal kerana tidak terlebih awal berbuat kebaikan dan sebagainya. Kesedihan, kekecewaan, kepatahan hati menyebabkan kita sendiri tidak mampu untuk memaafkan diri kita dan orang lain. Semakin kita menghampiri kematian, maafkan diri kita sendiri. Maafkan orang lain. Tidak semua orang akan dapat kesempatan untuk berbuat demikian. Tidak semua orang bernasib baik.
Selasa terakhir, minggu ke-14, Professor Morrie dan Mitch mengucapkan salam perpisahan. Itulah minggu akhir kelas mereka dan pada hari Sabtu merupakan hari pengijazahan bagi kelas mereka. Kuliah terakhir dengan tesis berkisar pengertian kehidupan berakhir. Namun, pembelajaran itu tidak pernah berakhir.
No comments:
Post a Comment