05 September 2015

Travellingbie : Rinjani Lombok: Day 3 - PELAWANGAN > PUNCAK RINJANI > PELAWANGAN

29 Ogos 2015 - Sabtu
"In the mountains there are only two grades: You can either do it, or you can't." — Rusty Baille.

Jam 12 tengah malam saya tersedar. Berdebar-debar dah nak mendaki Rinjani. Dengan persiapan ala kadar, keadaan fitness begitu tidak memberansangkan disebabkan kekurangan persediaan latihan fizikal. Saya banyakkan doa dan tawakkal padaNya. Jika ditakdirkan untuk sampai ke puncak, sujud syukur pada Allah swt. Kami bersiap-siap untuk ke puncak, Porter-porter dan guide masih belum bangun lagi. Kami yang terlebih semangat untuk menggapai puncak.

Jam 1 pagi, masing-masing telah siap. Chef menyediakan sarapan ringan buat kami sebagai alas perut ketika mendaki. Guide pula membawa bekalan yang secukupnya. Jam 1.30am, kelihatan kumpulan lain yang sudah bergerak untuk ke puncak. Kami memanaskan badan dahulu sebelum memulakan pendakian dan tidak dilupakan doa dipanjantkan agar semuanya berjaya menuju puncak. Pendakian kali ini memang dijangkakan akan lebih sukar dari semalam. Pendakian biasa ke puncak mengambil masa lebih kurang 4 jam. Pendakian seperti siput sedut seperti saya mungkin akan mengambil masa lebih lama. Tawakkaltu 'alallah!

Pendakian di dalam gelap mengingatkan saya kepada pendakian ke puncak Kinabalu pada tahun lepas. Perasaanya sama, cuma laluannya berbeza. Mujur juga saya dibantu oleh guide yang sabar seperti Dayat dan Zen. Mulanya Dayat yang mengiringi saya. Bagaimanapun, beliau perlu ke depan mengiringi team lain yang telah mula jauh ke depan. Yang tinggal di belakang bersama saya pula, guide dan sweeper yang sangat sabar, Zen. Bila saya berhenti, beliau pun berhenti tanpa berkata apa-apa. Bila saya bergerak, beliau akan bergerak bersama. Kadang-kadang saya mengarahkan Zen ke hadapan sehingga di satu tempat yang boleh berhenti, tunggu sahaja saya di situ. Kadang-kadang bila langkah Zen terkehadapan dari saya, sambil menunggu saya, beliau duduk berteleku sambil memanaskan badannya dengan rokok. Sepanjang pendakian, entah berapa batang rokok dihabiskan sementara menunggu pendaki tahap siput seperti saya ini. Kesabaran yang tinggi memang diperlukan bagi setiap malim gunung, apatah lagi memimpin dan menemankan pendaki yang sangat perlahan seperti saya. Ada ketikanya tahap mengantuk yang teramat sehinggakan saya terpaksa tidur sekejap di perbatasan trek yang curam sebelum meneruskan perjalanan. Tahap oksigen yang membataskan ruang udara keluar masuk dari rongga hidung juga menjadi salah satu faktor membataskan pergerakan.
Tiba waktu subuh dan matahari semakin meninggikan dirinya, saya minta izin untuk berhenti solat. Dalam jam hampir 6 pagi, tibalah di tempat yang agak selesa untuk solat. Berlatar belakangkan matahari terbit dan dengan pemandangan indah tasik segara, terasa kerdil diri ini dibandingkan dengan ciptaan Allah swt yang lain. Namun Allah swt telah menyempurnakan ciptaanNya yang bernama manusia dengan sesempurnanya. Maka nikmat Tuhan manakah yang kita dustakan ketika itu? Allahu...gigil dan sayu perasaan saya mengenangkan diberi peluang untuk menjadi hamba pada ketinggian 3000m atau lebih itu dan diberi kekuatan untuk berada lebih tinggi dari awan.
Pendakian diteruskan dan semakin sukar. Dengan dibantu tongkat sebatang, pendakian berbatu dan berpasir gunung berapi seumpama tiada penyudahnya. Puncak nya seperti hampir dekat dengan diri...nampak dekat di mata tetapi jauhnya di kaki. Sepanjang pendakian langkah kaki 2 tapak menjadi 1 tapak. Setiap langkah tanpa hati, akan menggelungsurkan kaki ke bawah. Langkah seumpama sia-sia dan punca melambatkan pergerakan. Yang paling awal sampai ke puncak sudah mulai turun. Pendaki yang turun seperti bermain ski memandangkan trek licin. Akibatnya kesan dakian dari pendaki lain hilang dan saya perlu mencari tapak yang baru dengan penuh hati. Hampir-hampir sahaja saya mengalah dan banyak kali jua saya menyatakan bahawa di tempat saya berdiri itulah puncak. Namun, guide saya sering menyatakan bahawa ada 500m, 400m, 300m lagi, 200m lagi untuk sampai ke puncak.
Dalam perjalanan menuju puncak, dan matahari semakin gagah memancarkan sinarnya, saya bertemu dengan team yang lain yang sampai lebih awal seawal 6pagi. Bertukar tongkat dengan k.farid dari 1 tongkat kepada 2 tongkat amat membantu perjalanan. Cuaca masih lagi sejuk walaupun cahayanya dan bahang matahari  semakun memeritkan muka dan terasa amat dekat di kepala. Saya memandang ke atas...sikit lagi, sikit lagi nak sampai walaupun treknya semakin sukar.
Jam 10pagi....dengan penuh susah payah dan gigihnya, akhirnya saya tiba di puncak. Terus menyujudkan diri pada Yang Maha Kuasa kerna memberi peluang untuk menikmati keindahan ciptaanNya yang tidak akan dapat dirasai dan dinikmati di tanah rata. Perasaannya....heartlesss n priceless. Tiada kata yang dapat mengungkapkan perasaan tersebut. Hanya yang sampai ke puncak mana-mana gunung sahaja yang memahami rasa indah ini. Alhamdulillah!
Jam 1030am - kami mulakan perjalanan menurun. Trek turun sangat selesa memandangkan ianya banyak menggunakan teknik sliding, seumpama bermain ski. Tiba pada ketinggian yang mana saya hampir-hampir putus asa, saya melihat semula ke atas. Trek yang hampir-hampir melenyapkan semangat saya telah saya tempuhi...seperti tidak percaya! MasyaAllah...indahnya perasaan dan pemandangan! Sekiranya diberi peluang sekali lagi, belum tentu lagi akan sampai lagi ke puncak.

Perjalanan turun mengambil masa separuh dari masa naik. Dan perjalanan yang licin itu kadangkala membahayakan kerana di kiri kanan trek merupakan gaung. Silap-silap terjatuh atau tersungkur, terus terjun ke gaung. Beberapa kali saya terduduk disebabkan keadaan trek yang licin berpasir dan berdebu. Kami sampai semula di Campsite Pelawangan pada jam 2pm. Alhamdulillah.
Sampai di campsite, bersihkan diri, solat dan makan tengahari serta minum petang. Bila dilihat puncak Rinjani dari jauh, seakan-akan mimpi di dalam mimpi. Usia sebegini, Allah swt masih memberi peluang untuk tadabbur bersama alam. Membesarkan keindahan ciptaanNya agar kita jadi lebih hamba padaNya. Pemandangan luar biasa indah begini tiada di tanah rata. Hanya yang mendaki sahaja yang dapat melihat keindahan yang sangat indah di atas sana. Alhamdulillah

Saya bernasib baik kerna tidak mengalami sebarang kecederaan teruk. Hanya mengalami kekejangan dan blister di kaki memandangkan kaki tersebut agak lama berada di dalam stokin dan kasut.
Itupun nanti bakal melambatkan pergerakan turun ke Sembalun.

"In a sense everything that is exists to climb. All evolution is a climbing towards a higher form. Climbing for life as it reaches towards the consciousness, towards the spirit. We have always honored the high places because we sense them to be the homes of gods. In the mountains there is the promise of... something unexplainable. A higher place of awareness, a spirit that soars. So we climb... and in climbing there is more than a metaphor; there is a means of discovery."    — Rob Parker.
Indahnya ciptaan Allah swt. Maka nikmat Tuhan manakah yang kita dustakan??? Allahu!

No comments: