07 July 2015

Ramadhan Journey Day 20

Muhasabah diri : Apabila keburukan telah bermaharajalela

Lā ilā ha illallāh
Apabila keburukan bermaharajalela, sesebuah tempat/kawasan/negeri akan dibinasakan walaupun di dalamnya terdapat orang-orang yang soleh.


Berhati-hatilah kita dengan tipu daya dunya.

Daripada Amru bin Auf r.a, dia berkata, "Rasulullah S.A.W mengutus Abu Ubaidah bin Jarrah ke Bahrain untuk memungut Jizyah (ufti) kerana Rasulullah telah mengadakan perjanjian damai dengan penduduk Bahrain dan mengangkat Ala' bin Hadrami sebagai gabenornya. Kemudian, Abu Ubaidah kembali dengan membawa harta daripada Bahrain.

Orang-orang Ansar mendengar kedatangan Abu Ubaidah, lalu melaksanakan solat Subuh bersama Rasulullah. Setelah solat, baginda berganjak, lalu mereka menghalanginya. Ketika melihat mereka, baginda tersenyum dan bersabda, "Aku tahu kamu telah mendengar bahawa Abu Ubaidah telah tiba daripada Bahrain dengan membawa harta ufti."

Mereka berkata, "benar, wahai Rasulullah." Baginda bersabda, "Bergembiralah dan berharaplah agar mendapatkan sesuatu yang menggembirakan. Demi Allah, bukan kefakiran yang aku bimbangkan kepada kamu, tetapi yang aku bimbangkan iaitu jika kekayaan dunia dilimpahkan kepada kamu semua sebagaimana telah dilimpahkan kepada orang-orang sebelum kamu, kemudian kamu akan berlumba-lumba mendapatkannya sebagaimana mereka berlumba-lumba dan akhirnya dunia itu menghancurkan kamu sebagaimana ia telah menghancurkan mereka." - ( Hadis Riwayat Muslim)

Cinta dunia, berasa selesa di dalamnya dan melupakan akhirat iaitu salah satu penyebab seseorang masuk neraka. Mereka yang menghambakan dirinya dengan dunia tidak mempunyai tujuan lain kecuali melampiaskan nafsunya dengan pelbagai macam kelazatan dunia tanpa ada batas sedikit pun. Mereka diperhamba oleh wanita, minuman keras, mencari harta dengan jalan yang haram, ingin disanjung, dan semua yang mengandungi kesenangan.

Allah berfirman di dalam Surah Al-An'aan, 6:31 yang bermaksud ~ "Dan kehidupan dunia ini, hanyalah permainan dan gurau senda. Sedangkan akhirat itu, sesungguhnya lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Tidakkah kamu mengerti?"

Dunia hanyalah semata-mata "la'ibun" = permainan dan "lahwun" = gurau senda.

Apabila manusia mempunyai pemikiran yang sama tentang perkara ini, maka tidak ada lagi kebenaran, keadilan dan tidak mempunyai keinginan untuk beribadah atau beramal soleh. Allah swt telah menjelaskan hakikat dunia dan memerintahkan kepada semua hamba-Nya agar lebih mengutamakan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia. - (Sa'id Hawwa, Al-Mustakhlas Fi Tazkiyatil Anfus, 1995:245)

Semoga Allah swt sentiasa mengiring kita ke jalan yang benar, jalan-jalan yang diredhai-Nya dan semoga Allah swt redha kita sebagai hamba-Nya.

Allahul musta'aan

No comments: