30 June 2015

Travellingbie : Kembara Acheh: Menyantuni Anak-Anak Pasca Tsunami Hari-1

Di dalam Al-Quran sebanyak 23 kali disebut perkataan ‘yatim’ dan penggunaan kata-kata yatim itu merujuk kepada kemiskinan dan kepapaan. Ertinya mereka yang berada dalam golongan yatim amat memerlukan perhatian dan pembelaan serta tanggungjawab dari kita semua masyarakat agar mereka boleh belajar dengan tenang, layak untuk hidup dan menikmati kehidupan serta bergembira seperti anak-anak lain yang mempunyai ibu dan ayah.

Allah swt berfirman yang bermaksud, "Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.” (QS. An-Nisaa:36) 

Allah telah berfirman dalam kitab-Nya, artinya, “Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil janji dari Bani Israil (yaitu): Janganlah kamu menyembah selain Allah, dan berbuat kebaikanlah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia, dirikanlah shalat dan tunaikanlah zakat. Kemudian kamu tidak memenuhi janji itu, kecuali sebahagian kecil daripada kamu, dan kamu selalu berpaling.”
(QS. al-Baqarah: 83).

Program Amal ke Aceh Tahun 2015 berlangsung pada tanggal 26 - 28 Jun 2015, menyantuni anak-anak yatim dan faqir di Banda Aceh. Alhamdulillah, Allah swt beri peluang dan kesempatan untuk menjayakan lagi program amal ini. Alhamdulillah 'ala kulli haal.

Kali ini peserta program seramai 40 orang termasuk penganjur dan peserta-peserta dari 3 negara iaitu Malaysia, Brunei dan Singapura. Program kali ini juga turut disertai oleh penyanyi tersohor Malaysia, Asmawi Ani dan penyanyi Singapura Dali Filsuf. Peserta-peserta program dari Malaysia pula, ada yang datang jauh dari Sabah, Kedah, Melaka dan Pulau Pinang serta sekitar Selangor dan KL. Ada yang datang menaiki bas, kereta dan kapal terbang. Sungguh kagum saya melihat kegigihan para peserta dari jauh ini untuk mengikuti program Amal Aceh 2015. MasyaAllah!

Jam 6 pagi kami berkumpul di hadapan balai pelepasan, sambil berkenal-kenalan antara satu sama lain dan juga menguruskan beg untuk dimasukkan di dalam kargo. Walaupun dimulai dengan ta'aruf yang tidak formal, terasa kemesraan menyelubungi keseluruhan jema'ah. Kami masuk ke balai pelepasan dengan do'a agar perjalanan kami kali ini diberkati dan dipayungi dengan rahmah Allah SWT serta dinaungi sayap-sayap Malaikat agar perjalanan kami terjaga.

Penerbangan dari KL ke Banda Aceh mengambil masa selama 1 jam 30 minit. Tepat jam 8 pagi, kami berlepas ke Aceh dan tiba di Bandara Sultan Iskandar Muda, Banda Aceh pada jam 830 pagi. Program 3 hari 2 malam ini padat dengan lawatan ke tempat-tempat bersejarah kesan bencana Tsunami dan menyantuni anak-anak syurga ini. Mudah-mudahan musafir kami kali ini lebih bermakna lagi.
Aceh, aku datang lagi...Alhamdulillah.

Selepas selesai urusan imigresen dan kastam, kami menaiki 2 bas kecil yang disediakan dan terus menuju ke destinasi pertama di Perkuburan Massal. Perkuburan Massal ini merupakan tempat di mana kebanyakan korban Tsunami di semadikan. 
Monumen Perkuburan Massal
Perkuburan Massal. Di sinilah puluhan ribuan mangsa Tsunami dikebumikan
Destinasi ke-2 kami - Monumen” “Kapal di Atas Rumah” yang terletak di daerah Lampulo, Banda Aceh, Kapal ini dihempas oleh gelombang Tsunami pada tanggal 26 Disember 2004 hingga tersangkut di rumah penduduk. Kapal ini menyelamatkan nyawa penduduk seramai 59 orang telah menjadi bukti penting betapa dahsyatnya musibah Tsunami tersebut. Melawat kesan dan bukti hidup Tsunami di sini amat mengesankan jiwa bahawa tiada yang lebih berkuasa di alam semesta kecuali Allah Ta'ala. Tidak ada sebab untuk kita merasa takbur, sombong dan riak serta merasakan bahawa kehidupan dunya ini "ana yang punya". 
Mendengar mama bercerita - mama merupakan saksi hidup bencana Tsunami
Bergambar kenangan di kapal terapung Lampulo
Mendengar cerita dari "mama" dan pakcik Saiful, saksi hidup Tsunami cukup mengesankan. kesempatan hidup untuk kali-2 amat bermakna buat mereka. Iktibar dari bencana Tsunami amat mengesankan buat mereka yang masih hidup sehingga kini. Walaupun 11 tahun telah berlalu, peristiwa Tsunami masih kekal terpahat di hati mereka sehingga kini. Pakcik Saiful berpesan kepada kami "Jangan pernah kita takut untuk membuat kebaikan walau dalam posisi apa sekalipun, walau dalam kesulitan sekalipun." Dia juga berkata, "kalau kita menanam padi, lalang pasti akan tumguh disekitarnya, tetapi kalau kita menanam lalang, jangan harap padi akan tumbuh." Begitulah  juga dengan kehidupan kita manusia di muka bumi ini. Berbuat baiklah selagi terdaya, di kala susah atau senang. Allah swt tidak hanya melihat berapa banyak yang kita sumbangkan untuk membantu orang lain, bahkan Allah swt memberi perhatian dan ganjaran yang lebih bagi hamba-hambaNya yang ikhlas memberi di kala susah atau senang. Allahu Akbar, Allahu Akbar wa Lillahilhamd.

Seterusnya, destinasi kami yang ke-3 adalah lawatan ke Muzium Tsunami Aceh - Muzium ini dibangunkan untuk merefleksikan pengunjung kepada bencana Tsunami. Dilihat dari reka bentuknya seperti gelombang Tsunami. "Gulungan air yang menjulang tinggi dan gelap" adalah gambaran yang sering diungkapkan oleh saksi hidup bencana Tsunami. Eksplorasi muzium ini bisa menyingkapkan bagaimana kejadian bencana tersebut dengan menyelusuri lorong gelap dengan dinding air yang sesekali memercikkan air ke kepala dan tubuh pengunjung. Malapetaka yang juga disebut sebagai "Krismas Tsunami" ini kerana terjadinya pada 26 Disember 2004 sehari selepas Hari Krismas dikenang sebagai Tsunami terdahsyat abad ini yang merenggut 230 ribu nyama di 11 negara termasuk Malaysia. Dari ruang besar sehinggalah ke lorong kecil, kami di bawa ke "sumur doa" yang pada ruang dindingnya terpampang nama-nama korban yang bencana Tsunami yang telah kembali menemui Tuhannya. Berkunjung ke muzium ini, memberikan rasa insaf kepada kami, bahawa tiada apa yang lebih berkuasa melainkan Allah swt jua. Sehebat sekuat mana pun manusia dengan kuasanya, tidak akan dapat melawan kuasa Maha Hebat Allah Ta'ala.
Sumur Do'a Muzium Tsunami Aceh
Destinasi ke-4 kami - melawat kubah masjid yang terpisah dari badannya yang dihanyutkan ombak Tsunami di Daerah. Kubah masjid ini yang seberat 80 tan telah dihanyutkan semasa bencana Tsunami sejauh 2.5 km dari tapaknya. Kubah masjid yang terletak di Desa Gurah, Peukan Bada, Aceh Besar ini. Kubah yang kini dikenali sebagai Masjid Al-Tsunami ini dulunya merupakan kubah masjid Jame' di Desa Lamteungoh, Peukan Bada, Aceh Besar kini menjadi tumpuan pengunjung mengambil iktibar dari ibrah Tsunami.
Kubah masjid yang dihanyutkan Tsunami beserta tapaknya sekali dan terdampar di tengah bendang.
Destinasi terakhir kami pada hari pertama, adalah Rumah Anak-anak yatim/Pesantren Hidayatullah. Pesantren ini mempunyai anak-anak yatim dan faqir miskin seramai 120 orang, dengan tenaga dewasa yang sedikit. Ustaz Mahyuddin yang merupakan pengetua pesantren tersebut di dalam ucapannya, memaklumkan bahawa anak-anak ini dibiayai makannya hanya dengan 5T selain nasi, iaitu Terung, Telur, Taugeh, Tauhu dan Tempe. Nasi sebagai makanan ruji dan lauknya hanyalah di dalam linkungan 5T sebagai lauk utama. Jarang-jarang anak-anak ini dapat makan ayam dan daging. Sekiranya dapat makan ayam atau daging, itulah makanan mewah yang pernah mereka rasa. Kali pertama saya ke sini, melihat keadaan persekitaran anak-anak ini, hati amat tersentuh sehingga tanpa sadar mengalirkan air mata yang jarang-jarang sekali keluar.
Selipar japang sahaja yang mampu
Kali ke-2 ini, terdapat sedikit penambahbaikan telah dibuat, bangunan hadapan pesantren tersebut telah dapat digunakan sepenuhnya walaupun hanya berlantaikan tiles. Anak-anak ini ada yang telah hafal 12 juzu' Quran, Alhamdulillah dan kali ini, mereka mendapat duit raya untuk tambang balik ke kampung lebih awal. berbanding tahun lepas, Syukur Alhamdulillah. Selepas sesi taklimat dan tazkirah dari wakil kami dan Ustaz Mahyuddin, kami iftar di dewan pesantren dan seterusnya solat dahulu dan seterusnya menyampaikan sumbangan infaq kepada semua 120 orang anak-anak yatim dan bagi pembangunan pesantren.
Iftar kami di Pesantren Hidayatullah
Muka anak-anak yang ceria menerima infaq dari kami
Allah Ta'ala berfirman yang bermaksud: "Bukanlah kebaikan bahwa kamu menghadapkan wajahmu ke arah Timur dan Barat, tetapi yang sebenarnya kebaikan ialah yang beriman kepada Allah swt. dan Hari Kemudian dan malaikat-malaikat dan Kitab dan nabi-nabi, dan memberikan harta atas kecintaan kepada-Nya, kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang musafir, dan mereka yang meminta sedekah dan untuk memerdekakan hamba sahaya; dan orang-orang yang mendirikan shalat dan membayar zakat; dan orang-orang yang menepati janji mereka bila mereka berjanji, dan mereka yang sabar dalam kesusahan  dan kesengsaraan, dan tabah dalam masa perang; merekalah orang-orang yang benar dan merekalah orang-orang yang bertakwa." (Q.S. 2:178)

Urusan kami menyampaikan amanah-amanah infaq dari kawan-kawan dan keluarga telah selesai separuhnya, Sumbangan yang disampaikan berjumlah Rp12 juta untuk 120 anak-anak yatim dan Rp30juta untuk pembangunan pesantren Hidayatullah. Alhamdulillah. Misi akan diteruskan pada hari ke-2 InsyaAllah.

Akhir destinasi kami selepas berbuka, adalah solat di Masjid Baiturrahman. Masjid yang ditunggu-tunggu oleh semua peserta. Damai dan tenang sahaja bila solat dan solat terawikh di sini walaupun dipenuhi ramai jema'ah. Masjid Baiturrahman ini merupakan salah satu keajaiban bencana Tsunami,  masjid yang terselamat dari musnah secara total semasa Tsunami berlaku. Inilah bukti Allah swt memperlihatkan kepada hamba-hamba-Nya bahawa rahmat Allah swt itu sentiasa ada dan Islam serta tempat yang dipenuhi cahaya keimanan juga sebenarnya merupakan keajaiban paling ajaib di dunia. Beruntunglah bagi manusia-manusia yang mengambil pengajaran dan diberi hidayah Islam dan iman selepas bencana Tsunami ini.

”Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia. Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar.” (QS.Fushilat:34-35)

Semoga kita semua berupaya menjadi orang-orang yang sabar dan mempunyai keberuntungan yang besar. Semoga Allah swt memberikan ruang yang lebih besar kepada kita untuk membuat kebaikan di dunya tidak kira sebesar atau sekecil manapun.
Hasil infaq dari semua peserta. Pengiraan pertama berjumlah 97.7 juta rupiah. Hari ke-2 nya bertambah lagi Alhamdulillah :)
Allahul Musta'aan
Semoga Allah swt redha kita sebagai hamba-Nya. InsyaAllah.

23 June 2015

Ramadhan Journey Day 6

Surah Al-Baqarah merupakan surah terpanjang di dalam Al-Quran dan di dalamnya mempunyai banyak doa-doa yang boleh kita amalkan di dalam setiap kali selepas solat. Antara doa-doa tersebut adalah:


رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ. رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَا أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

Ya Tuhan kami terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui". Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) diantara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadat haji kami, dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang. (QS. Al-Baqarah: 127-128)


رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka. (QS. Al-Baqarah: 201)



Artinya: "Ya Tuhan, limpahkanlah kesabaran atas diri kami, kokohkanlah pendirian kami, serta tolonglah kami dalam mengalahkan orang-orang kafir." (QS. Al-Baqarah: 250).


سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ

Kami dengar dan kami ta'at "Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali. (QS. Al-Baqarah: 285)


رَبَّنَا لاَ تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلاَ تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْراً كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلاَ تُحَمِّلْنَا مَا لاَ طَاقَةَ لَنَا بِهِ
وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنتَ مَوْلاَنَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Artinya: "Ya Tuhan, janganlah Engka siksa kami karena lupa atau bersalah. Ya Tuhan, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana telah Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami, ampunilah kamj, dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami dalam mengalahkan orang-orang kafir." (QS. Al-Baqarah: 286).

Penjelasan:
Ibnu Katsir dalarn kitab tafsirnya merangkum sepuluh hadis tentang keutamaan membaca doa diatas. Diantaranya hadis yang diriwayatkan dari sahabat 'Abdullah bin Mas'ûd, bahwa Nabi Saw. telah bersabda: "Barangsiapa yang membaca dua ayat yang akhir surah Al-Baqarah (ayat 285-286) setiap malam, maka dia akan mendapatkan keselamatan." (Tafsir Ibnu Katsîr Juz, I, hal.340).

Di dalam kita memanjatkan do'a memohon hajat dan meminta sesuatu kepada Allah SWT yang Maha Kaya, wajiblah bagi kita beretika di dalam berdo'a. Antaranya:
  1. Bertaubat sebelum berdoa, lalu menghadapkan diri kepada Allah swt dengan sungguh-sungguh dan khusyu';
  2. Disunatkan mengadap kiblat;
  3. Seelok-eloknya doa-doa itu diawali dan diakhiri pujian-pujian kepada Allah swt;
  4. Mengakui keagungan Allah swt dengan segala kerendahan diri dan hati;
  5. Mengucapkan doa dengan rendah hati dan suara yang sedang-sedang, tidak keras dan tidak terlalu mendayu;
  6. Tidak perlu berpantun, dan/atau dengan pengucapan berirama. Cukuplah dengan kata-kata yang baik yang mencerminkan kerendahan kedudukan kita sebagai hamba di hadapan Allah swt, serta sederhana dan tepat di dalam menginginkan sesuaru.
  7. Mengulang-ngulang doa sehingga dua atau tiga kali;
  8. Ditutup dengan bacaan solawat, kemudian dilanjutkan dengan bacaan - Subhaana rabbika rabbil 'izzati 'amma yashifuun. Wa salamun 'alal mursaliina wal hamdulillahi rabbil 'aalamiin yang bermaskud "Maha Suci Tuhan, yang memiliki kebesaran kesucian dari sifat rendah yang mereka sifatkan. Dan kesejahteraan itu atas Rasul yang telah diutus Tuhan. Dan puji-pujian hanyalah bagi Allah Tuhan sekalian alam".
Semoga Allah swt redha kita sebagai hamba-Nya. Allahul Musta'aan

22 June 2015

Ramadhan Journey Day 5

Firman Allah SWT : “Makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu, dan syukurilah nikmat Allah, jika kamu hanya kepada-Nya saja menyembah “. (An Nahl :114)

Maka, makanlah yang baik-baik sahaja sepanjang Ramadhan ini. Mudah-mudahan ianya berterusan sehingga selepas puasa.

Puasa kita hari ini merupakan puasa hari ke-5. Dah berapa Bazaar Ramadhan yang kita dah pegi setakat ini? Dah berapa juzuk Quran yang kita dah baca? Dah berapa banyak sedekah telah kita sumbangkan terang-terangan atau sembunyi-sembunyi? Dah berapa banyak makanan kita telah sedekahkan untuk orang yang berpuasa?

Bercakap mengenai makanan,ramai yang teruja untuk ke bazaar ramadhan kerana di sana lah, kita akan dapat melihat dan membeli pelbagai juadah yang jarang-jarang ada ketika bukan di bulan Ramadhan. Tepung pelita, kuih bongkol, bubur pedas dan bubur lambuk adalah antara makanan tersebut.

Sekiranya anda membeli makanan di bazaar dan mendapati tidak menepati selera anda, jangan mengatakan "tidak sedap" di hadapan makanan tersebut. Beradablah dengan makanan. Teringat saya semasa kecil, saya diajar dengan baik oleh kedua ibu bapa mengenai adab dengan makanan. Kalau sekiranya makanan tersebut tidak sedap, diam sahaja. Makanan yang berada di hadapan mata juga perlu dihabiskan. Makanan juga mempunyai jiwa. Bagi tukang masak, masaklah makanan tersebut dengan penuh kasih sayang dan dengan zikir. InsyaAllah berkat. Jangan mengutuk do hadapan makanan tersebut walaupun tidak sedap atau sangat tidak sedap. Diam sahaja dan tinggalkan makanan tersebut. Dalam kita menjamu selera juga kita boleh mendapat pahala yang banyak.

Sungguh...apa sahaja amal baik yang kita kerjakan di bulan barakah ini, insyaAllah akan dilipat gandakan oleh Allah swt pahala perbuatan itu. Maka, tidak mahukan kita merebut peluang keemasan ini? Lakukan buatlah perkara yang baik-baik sahaja sepanjang bulan Ramadhan.

Semoga ibadah kita semua diterima Allah swt. Aameeen.

21 June 2015

Ramadhan Journey Day 4

Bersahurlah, walau dengan seteguk air dan sebiji kurma. Begitulah kepentingannya bersahur.

Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: "Hendaklah kamu bersahur kerana di dalam bersahur itu ada keberkatannya".

Amalan bangun sahur ini membezakan antara puasa orang Islam dengan puasa orang Yahudi dan Nasrani (ahli kitab). Hal ini disebut dalam sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, yang bermaksud : “Perbezaan di antara puasa kami dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) ialah adanya makan sahur.”

Sahur adalah satu rahmat dan berkat yang dikurniakan Allah ke atas umat Islam. Anjuran bersahur itu dapat dilihat lagi dalam hadis Nabi bermaksud: “Makanlah sahur, sekalipun dengan seteguk air.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Dalam hadis lain, kelebihan ke atas orang yang bersahur itu ialah seperti sabda Rasulullah bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikatnya mengucapkan selawat (berdoa dan memohon daripada Allah akan keampunan dan keredaan) ke atas orang yang bersahur.” (Hadis riwayat At-Tabrani).

Selain disunatkan bersahur kita juga disunatkan untuk melambatkan waktu bersahur itu kerana amalan itu dilakukan oleh utusan Allah dan sahabat. Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sentiasa umatku dalam kebaikan selama mereka mahu bersegera berbuka puasanya dan mengakhirkan makan sahurnya.”

Jadi...apa alasan kita untuk tidak bersahur, sedangkan banyak hikmah dan pahala di dalam nya sekiranya kita bersahur.

Selamat berpuasa
Selamat bersahur
Selamat bersungkei
Selamat bertemu malam lailatul qadr
Selamat semuanya.

Allahul musta'aan
Semoga Allah swt redha.

19 June 2015

Ramadhan Journey Day 3

Surah Al-Imran, Verse 109:

وَلِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَإِلَى اللَّهِ تُرْجَعُ الْأُمُورُ

"And whatever is in the heavens and whatever is in the earth is Allah's; and to Allah all things return"

Bila membaca ayat ini, teringat nasyid Rabbani "Mana milik kita? Tiada milik kita. Semuanya Allah swt yang punya.."
Semua yang ada di langit dan bumi adalah kepunyaan Allah swt. Sedarlah wahai diri, kekayaan yang dimiliki bukanlah hak milik mutlak kita, anak-anak yang ramai bukanlah kepunyaan kita dan untuk kita banggakan. Segalanya datang dengan tanggungjawab yang berat yang perlu kita pikul dan akan dipersoalkan amanah-amanah tersebut di akhirat kelak. Apa yang akan kita bawa adalah bekal amalan.

Makanya, jadikanlah kekayaan yang ada sebagai jambatan ke syurga. Jadikanlah anak-anak yang ramai sebagai pemudah hisab kita di sana. Bagi yang tiada anak atau masih single mingle atau tiada anak yang ramai, beramal lah dengan harta yang ada, dengan cara.yang termampu? dengan kudrat yang ada serta bersabarlah dengan setiap kesulitan yang menimpa. Menjadilah kita hamba Allah swt yang sentiasa bersyukur dan kenang budi. Pulangkanlah semua yang kita pinjam dari Allah swt dengan keadaan yang baik dan sempurna. - mata, kaki, tangan dan seluruh anggota badan kita.

Semoga Allah swt redha kita sebagai hamba-Nya. Semoga Allah swt sentiasa mengampuni dosa-dosa kita.
Allahul Musta'aan
#muhasabahdiri #peringatanbuatdiri #Quran #RamadhanKareem #RamadhanDay3 #RamadhanMubarak

18 June 2015

Ramadhan Journey Day 2

Ramadhan Day 2- Allah swt berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat 212 yang bermaksud, " Kehidupan di dunia dijadikan terasa indah pada pandangan orang-orang kafir, dan mereka menghina orang-orang yang beriman. Walaupun orang-orang yang bertaqwa itu berada di kedudukan yang lebih tinggi daripada mereka pada hari Kiamat. Dan Allah memberi rezeki kepada orang yang Dia kehendaki tanpa perhitungan"

Dunia memang dijadikan begitu indah bagi manusia yang lalai. Hanya yang bertaqwa meletakkan dunya di hujung tapak kaki mereka dan menjadikan dunya tempat ternakan dan usaha yang membuahkan hasil ke syurga.

Semoga Allah swt redha kita sebagai hamba-Nya. Aameen

#Quran #RamadhanKareem #RamadhanMubarak #Ramadhan #RamadhanDay2 #muhasabahdiri #peringatanbuatdiri #refleksidiri

Ramadhan Journey Day 1

Allah swt berfirman di dalam Surat Al Baqarah ayat 148:

ﻭَﻟِﻜُﻞٍّ ﻭِﺟْﻬَﺔٌ ﻫُﻮَ ﻣُﻮَﻟِّﻴﻬَﺎ ﻓَﺎﺳْﺘَﺒِﻘُﻮﺍْ ﺍﻟْﺨَﻴْﺮَﺍﺕِ ﺃَﻳْﻦَ ﻣَﺎ ﺗَﻜُﻮﻧُﻮﺍْ ﻳَﺄْﺕِ ﺑِﻜُﻢُ ﺍﻟﻠّﻪُ ﺟَﻤِﻴﻌﺎً ﺇِﻥَّ ﺍﻟﻠّﻪَ ﻋَﻠَﻰ ﻛُﻞِّ ﺷَﻲْﺀٍ ﻗَﺪِﻳﺮٌ

Artinya : Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (sendiri) yang ia menghadap kepadanya. Maka berlomba-lombalah kamu (dalam berbuat) kebaikan. Di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.( Q.S Al- Baqarah : 148 )

Marilah kita berlumba-lumba di dalam mengerjakan kebaikan

#Quran #RamadhanDay1 #Puasa #LoveRamadhan #semogabermanfaat #SemogaAllahRedha #muhasabahdiri #peringatanbuatdiri #selfreminder

12 June 2015

5 perkara yang anda boleh buat untuk mengurangkan tekanan

Setiap dari kita akan melalui saat tekanan yang hebat di dalam hidup. Ada yang melalui tekanan tersebut berpanjangan dan ada yang bermusim. Ada juga yang jarang-jarang mendapat tekanan, tetapi sekali tertekan akan menyebabkan perubahan pada hidup. Ada juga yang mengambil jalan penyelesaian yang pendek untuk mematikan tekanan tersebut dengan membunuh diri, minum racun dan mencederakan diri sendiri.

Sebagai seorang Muslim, kita mempunyai cara yang sangat harmoni di dalam menghadapi tekanan, sama ada tekanan kerja, orang dan kehidupan, semuanya ada jalan penyelesaian. Pilihan kita adalah - memilih untuk menyelesaikan tekanan tersebut atau lari dari tekanan yang mengepung kita itu. The choice is yours!

Antara perkara yang boleh mengurangkan tekanan adalah :
  1. Bagi seorang Muslim, Solat merupakan salah satu terapi tekanan yang berkesan. Lengkapkan solat wajib dan perbanyakkan solat sunat. Setiap gerakan solat yang kita lakukan mempunyai khasiatnya tersendiri. "Pengulangan sujud dalam solat setiap hari paling minima dilakukan 34 kali. Bilangan tersebut dianggan bilangan yang tepat untuk meningkatkan aktiviti otot dan saraf tubuh serta menjaga keseimbangan antara sendi, khususnya tangan, paha. lutut dan kaki. Dengan aktiviti sujud juga, peredaran darah dalam tubuh boleh berjalan dan bergerak dengan mudah dari atas ke bawah. Selain itu meningkatnya lipatan tangan mampu melancarkan peredaran darah dari atas pergelangan ke bawah hingga mampu mencegah infeksi yang umumnya menyerang pergelangan tangan."- Dipetik dari Blog - http://perjalanantanpahenti.blogspot.com/2013/10/solat-terapi-diri-untuk-sihat.html                                       
  2. Perbanyakkan membaca Al-Quran - itulah pengubat hati kerna dengan mengingati Allah swt hati kita akan tenang. Allah swt berfirman, "“Hanya dengan mengingati Allah sahaja hati-hati menjadi tenang tenteram." (Surah Al-Ra’du: Ayat 28)
  3. Lakukan kegiatan luar - lari, mendaki, beriadah atau bersukan atau apa sahaja aktiviti yang mengeluarkan peluh. Bersenam dan melakukan aktiviti riadah di luar, di samping dapat mengeluarkan peluh dan toksin di dalam badan, ianya juga dapat membantu kita mengekalkan atau mendapatkan berat badan yang sesuai. Bersenam juga dapat mengelakkan dan mengawal kita dari penyakit. Melakukan senaman 30 minit sehari dapat mengurangkan tekanan yang kita hadapi setiap hari.
  4. Amal diet yang sihat - pengambilan pemakanan yang sihat juga dapat membantu mengurangkan tekanan. Kita mempunyai 7 hari dalam seminggu, apa salahnya sepanjang 5 hari dalam seminggu tersebut kita mengamalkan cara pemakanan yang sihat. Dengan pemakanan yang sihat, badan kita akan mempunyai nutrisi yang cukup untuk menghadapi tekanan.
  5. Cintai diri sendiri - tertekan disebabkan oleh orang lain??? It's not worth it! Cintai diri anda sendiri dan hargai orang lain. Namun, apabila ada orang yang tidak menghargai anda, janganlah rasa tertekan kerana manusia tidak semuanya sama. Setiap manusia mempunyai perangai dan tabiat yang berbeza. Terima perbezaan pendapat dan jangan berbalah sesama kita. Ianya akan lebih meningkatkan tekanan pada anda. Sekali lagi, cintailah diri anda kerana tiada orang lain yang akan lebih mencintai diri anda selain anda sendiri.
Hargai diri anda. Jangan biarkan tekanan menguasai anda sekaligus menghancurkan kehidupan anda.
Semoga kita semua bebas dari tekanan dunya!