31 December 2014

Salam Terakhir buat 2014, Ahlan 2015

2014

Tahun penuh cabaran dan dugaan bagi negaraku Malaysia amnya dan secara peribadinya, genap 2 tahun saya berkhidmat di tempat yang mencabar diri saya.

Permulaan bulan Mac 2014 diuji dengan kemarau sehingga membuatkan empangan air susut mendadak. 

Berikutan kemarau, jerebu yang teruk disebabkan kebakaran hutan sehingga menyebabkan Index Pencemaran Udara terlampau tinggi. Siang harinya seumpama suasana yang diselaputi dengan kabus tebal sehingga menjejaskan pandangan kita yang memandu.

Mac juga menyaksikan pesawat MH370 MAS hilang dari radar. Pesawat MH370 yang berlepas dari KLIA ke Beijing hilang dan gagal dikesan.Takziah kepada seluruh warga kerja MH370 dan penumpang. Malaysia diselubungi duka yang semakin mendalam.

Julai - Belum selesai lagi kes MH370, negara dikejutkan dengan tragedi MH17 yang ditembak dari jarak jauh di Ukraine. Semua anak kapal dan penumpang meninggal dunia. Takziah kepada seluruh warga kerja MH17 dan penumpang. Malaysia diselubungi duka sekali lagi.


Disember pula kita didatangkan dengan 2 musibah - musibah bah besar yang melanda negara terutamanya di Pantai Timur dan kehilangan pesawat Airasia QZ8501 penerbangan dari Surabaya ke Singapura.

"Bah" yang dikatakan terburuk bagi Malaysia masih lagi berlaku saat ini. Sumbangan demi sumbangan kami terima dari sekecil RM20 sehinggalah RM1000 untuk mengurangkan kesusahan mangsa banjir. Barangan keperluan dibeli dan dikumpulkan untuk pasukan logistik menghantar ke tempat bantuan. Satu hal yang saya puji rakyat Malaysia ini, apabila sebuah negeri atau kawasan atau banyak negeri / kawasan yang ditimpan bencana terutamanya bencana alam, ramai yang prihatin dan ramai yang membantu. Bantuan tersebut mungkin tidak akan sampai kepada semua mangsa memandangkan kerosakan infrastruktur yang teruk dan terdapat juga kawasan-kawasan yang tidak dapat dimasuki oleh pasukan-pasukan logistik biasa dan memerlukan bantuan dari askar dan sebagainya untuk menyampaikan bantuan. Saya berharap semua mangsa mendapat bantuan terutamanya makanan dan keperluan asas. Hanya doa yang mampu dipanjatkan dan pertolongan yang semampu kami kepada mangsa-mangsa banjir.

Hero-hero kami akan ke sana malam ini. Doakan keselamatan mereka. Semoga Allah swt sentiasa melindungi perjalanan mereka dan perjalanan ramai lagi "unsung heroes" yang lain. Doa kami bersama kalian.
Kita bantu selagi mana kita terdaya.

Allahul Musta'aan

Bagi kita yang hanya ditimpa dugaan sakit sekali sekala, bersyukurlah kerana kita masih belum diuji dengan ujian sehebat mereka yang diuji Allah dengan ujian-ujian di atas. Bersyukurlah kita kerna Allah swt masih lagi memberi peluang kepada kita untuk melihat ujian dan dugaan yang diturunkan kepada orang lain. Syukur...Syukur dan Syukur. Dalam syukur kita itu, luangkanlah masa kita yang ada untuk membantu mereka. Dalam membantu, muhasabahlah diri kita bahawa Allah SWT itulah Maha Perkasa dan Maha Berkuasa. Setiap apa yang menimpa manusia di dunia ini bukanlah secara kebetulan sahaja. Allah SWT jualah tempat kita memohon pertolongan di kala tiada siapa yang dapat menolong kita. Kepada Allah SWT sahajalah tempat kita bergantung harapan, tempat kita meminta dan kadang-kadang bantuan dari Allah SWT itu tanpa kita sedar, datang dari hamba-Nya sendiri.

Allah berfirman di dalam surah al-Qasas ayat 77 maksudnya:
“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat dan janganlah kamu melupakan kebahagiaanmu daripada(kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) seperti Allah berbuat baik kepadamu.
“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan.”

Allah berfirman dalam surah ar-Rum, ayat 41 yang bermaksud: “Telah nampak kerosakan di darat dan laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” 

Yakinlah bahawa percaturan Allah SWT itu Maha Adil dan Maha Saksama.
Muhasabah diri kita, muhasabahlah diri mengingatkan apa yang telah kita lakukan sepanjang tahun ini. Dalam muhasabah, InsyaAllah kita temukan jawapan kepada persoalan kita. Kembalilah kita ke jalan yang benar, jalan yang diredhai Allah SWT. 

Selamat Tinggal 2014, Tahun ujian dan teguran dari Allah SWT.
Selamat Datang 2015. Semoga kita berjaya mendidik hati kita dengan mengambil pengajaran dari ujian dan dugaan 2014. Semoga Allah SWT redha kita sebagai hambaNya.

Allahul Musta'aan

No comments: