Bacaan: WTF? 23 Hartanah sebelum 30 oleh Faizul Ridzuan
Buku yang wajib dibaca oleh semua yang berkira-kira hendak membeli rumah.
“The first step is the hardest”
Beli buku tapi tidak dibaca seumpama menyimpan duit di bawah bantal. Duit tidak berkembang, empunya duit tidak kaya-kaya.
Begitu juga lah dengan ilmu. Ilmu di dada tak banyak mana, tapi kalau dikongsi, InsyaAllah akan memberi manfaat kepada yang lain dan sekaligus pahala berganda buat empunya diri, InsyaAllah.
Buku ini mempunyai auranya tersendiri, berbeza dari buku-buku lain yang saya baca. Setiap buku mempunyai auranya tersendiri, yang bisa membuatkan pembacanya, sama ada menangis, ketawa, bersemangat, patah hati dan sebagainya.
WTF??? Buku yang menceritakan bagaimana seseorang yang tidak kaya, berjaya membina impian dan harapan untuk merubah kehidupan kepada yang lebih baik lagi. Tidak ada istilah mustahil. Yang penting kesediaan untuk merendahkan diri untuk belajar dan terus belajar. Tanpa ilmu, usaha akan menjadi sia-sia. Dengan ilmu dan pengalaman, penulis berjaya membina portfolio berjuta RM melalui hartanah. Dengan iltizam jugalah beliau bermula melabur dengan modal RM2000 sahaja dan seterusnya melangkah jauh ke hadapan menjadi seorang pelabur hartanah yang berjaya.
Anda dan saya bagaimana???
Apa yang telah dikorbankan oleh penulis untuk berjaya sejauh itu???? – cari dan baca buku beliau. Pasti anda akan menyesal sekiranya anda seorang yang mementingkan impresi orang terhadap anda, dengan menayangkan pakaian yang mengikut trend semasa, kereta yang mewah dan dimodifikasi, dan belanja-belanja tidak perlu yang lain.
Sekiranya anda masih belum memiliki rumah sendiri, carilah buku ini dan belajar dari pembacaan tersebut, dan seterusnya tanamkan iltizam untuk aplikasi ilmu yang ada di dalam buku ini.
Sekiranya anda telah mempunyai 1 buah rumah, dan masih ragu-ragu untuk membeli rumah ke-2 dan seterusnya, bacalah buku ini. Ianya akan memberikan anda cara bagaimana anda boleh membina portfolio hartanah anda sendiri.
Sekiranya anda seorang yang merasakan pendapatan anda hanya cukup-cukup makan sahaja dan tidak mampu disebabkan kos kehidupan yang semakin meningkat sekarang ini, bacalah buku ini dan belajar untuk menjadi seorang yang boleh menyesuaikan diri.
“Jika anda dilahirkan miskin, ia bukanlah kesilapan anda tetapi sekiranya anda mati dalam kemiskinan, maka ia adalah kesilapan anda sepenuhnya.”
Antara tips yang dikongsi di dalam buku ini:
a) Tetapkan matlamat anda;
b) Kumpul modal anda, kalau takde modal pun boleh beli rumah – teknik, teknik dan teknik;
c) Cari hartanah yang betul untuk dibeli;
d) Formula 100:10:1;
e) Lain-lain tu, dapatkan buku ini :)
Kadang-kadang saya geleng kepala apabila membaca buku ini. Kadang-kadang juga saya angguk-angguk bersetuju dengan apa yang diceritakan. Terdapat 10 kisah di dalam buku ini. Antaranya adalah Hartanah Pertama, Rancangan 3 juta, Networking networking & networking, Strategi, dan Perkara penting yang anda perlu tahu.
Apakah antara perkara penting tersebut? Salah satunya adalah Memahami Angka, COCR, Bagaimana untuk mula, ketahui kemampuan diri anda dan banyak lagi. Yang lain-lain tu, dapatkan dari pembacaan buku ini.
Buku asal adalah di dalam Bahasa Inggeris. Bagi yang peka dengan Bahasa dan ejaan, pembacaan anda mungkin akan terganggu sedikit dengan beberapa kesilapan ejaan dan tatabahasa di dalam buku ini. Walaubagaimanapun, secara keseluruhannya saya boleh katakan, ianya bagus untuk dimiliki oleh individu biasa yang ingin merubah nasib masing-masing dengan menceburi bidang hartanah ataupun yang baru bercadang untuk membeli rumah. Bagi saya, dalam apa jua bidang yang diceburi, ilmu adalah raja, selain dari pengalaman. Tanpa ilmu, anda mungkin akan kerugian ribuan ringgit, malahan puluhan ribu ringgit hinggakan ratusan ribu ringgit sekiranya anda tersilap langkah.
Cari ilmu, pelajari ilmu, aplikasi ilmu dan anda akan untung, InsyaAllah :)
No comments:
Post a Comment