17 July 2013

Refleksi Ramadhan 1434H – Hari 8 (17 Julai 2013)

Refleksi Ramadhan hari ini – mengimbas kembali tahun baru 2013 saya, dengan tahap stress yang semakin meningkat di pejabat, saya mengambil keputusan untuk mendatangi pusat senaman berhampiran dengan rumah. Mengenang-ngenang masa kursus 3 bulan di negara jiran, saya diserang hipertensi yang hampir kepada darah tinggi disebabkan kondisi kesihatan saya yang kurang sihat. Makan pun makanan yang kurang sihat sehingga menyebabkan saya berada di dalam kalangan manusia-manusia yang obese.



Rasulullah SAW juga sakit:
Dari Abdullah dia berkata; saya pernah menjenguk Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ketika beliau sedang menderita sakit, lalu aku berkata; "Wahai Rasulullah, sepertinya anda sedang merasakan sakit yang amat berat" beliau bersabda: "Benar, rasa sakit yang menimpaku ini sama seperti rasa sakit yang menimpa dua orang dari kalian." Kataku selanjutnya; "Sebab itu anda mendapatkan pahala dua kali lipat." Beliau menjawab: "Benar, seperti itulah, dan tidaklah seorang Muslim yang tertimpa suatu musibah (penyakit) atau yang lain, melainkan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya sebagaimana pohon menggugurkan dedaunannya." (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, ad-Darimi dan Ahmad)

Manusia akan lebih beringat apabila diserang penyakit sekurang-kurangnya sekali.
Dari Abu Hurairah dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam beliau bersabda: "Tidaklah seorang Muslim tertimpa suatu penyakit dan keletihan, kekhuatiran dan kesedihan, dan tidak juga gangguan dan kesusahan bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya." (Hadis Sahih Bukhari, manakala riwayat Tirmidzi dan Ahmad dari Abu Sa'id Al Khudri)
Nyata sekali saya, hambaNya yang banyak dosa. Ternyata Allah SWT beri ujian dalam pelbagai bentuk untuk saya ambil iktibar dan berubah kepada yang lebih baik.

Rasulullah SAW juga menganjurkan kita untuk berubat:
Seorang Arab Badwi datang dari arah ini dan ini, mereka lalu berkata, "Wahai Rasulullah, apakah boleh kami berubat?" Beliau menjawab: "Berubatlah, sesungguhnya Allah 'azza wajalla tidak menciptakan penyakit melainkan menciptakan juga ubatnya, kecuali satu penyakit, iaitu al-haromu (penyakit tua)." (Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad)

Makanya dengan azam untuk tidak mahu diserang hipertensi lagi dan diserang darah tinggi, saya mengambil keputusan untuk mendatangi pusat senaman dengan bayaran yang agak lumayan. Pada awalnya saya tidak memberitahu sesiapa kerana adakalanya tindakan saya dipandang remeh dan ada yang berpandangan saya hanya hangat-hangat tahi ayam sahaja.

Kadang-kadang saya ruqyah diri sendiri sepertimana sabda Rasulullah SAW:
Dari 'Utsman bin Abu Al 'Ash Ats Tsaqafi bahawa dia mengadukan kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam suatu penyakit yang dideritanya sejak ia masuk Islam. Maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda kepadanya: "Letakkan tanganmu di tubuhmu yang terasa sakit, kemudian ucapkan Bismillah tiga kali, sesudah itu baca tujuh kali: A'udzu billahi wa qudratihi min syarri ma ajidu wa uhadziru." (Aku berlindung kepada Allah dan kekuasaanNya dari penyakit yang aku derita dan aku cemaskan). (Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah, Ahmad dan Imam Malik)

Kali ini…saya nekad untuk menurunkan keberatan saya sekurang-kurangnya di tahap yang saya selesa. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu, permulaan bagi tindakan tersebut…betapa saya merana semata-mata untuk sihat. “No pain no gain”.

Saya kuatkan semangat untuk terus turunkan keberatan saya walaupun kadang-kadang saya perlu korbankan masa, wang dan tenaga untuk mencapai tahap-tahap tertentu. Sahabat saya juga hampir berkecil hati dengan saya kerana masa saya lebih banyak dihabiskan di pusat senaman. Selepas habis kerja, saya ke sana sejam dua, dan selepas itu terus kembali ke rumah di dalam keadaan kepenatan. Aktiviti-aktiviti ini berlarutan beberapa bulan. Saya membiarkan diri saya didera jasmaninya dan memaksa diri untuk terus kuat kerana memikirkan nikmat kesihatan itu mahal dan nikmat sakit itu lebih mahal, saya teruskan jua. Dek kerana terlalu focus di dalam mengembalikan kesihatan di tahap yang lebih baik, ada dikalangan sahabat saya yang berkecil hati. Itulah harga yang perlu saya bayar untuk sebuah kesihatan. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu keperitan rasa dan jiwa saya sepanjang proses tersebut. Ditambah lagi dengan fokus saya kepada kerja sehingga membuatkan saya mengabaikan perkara-perkara yang lain.

Makanan yang saya sukai juga perlu dilupakan. Aktiviti santai di rumah sudah hampir tiada. TV sudah mula dilupakan. Balik ke rumah hanyalah untuk tidur sahaja. Sekiranya ada ajakan kawan-kawan untuk aktiviti rehlah, saya penuhi juga sekiranya saya tidak mempunyai komitment yang lain atau komitmen dengan keluarga. Hari-hari penuh sahaja dengan aktiviti-aktiviti sehinggakan saya terlupa bahawa ada manusia-manusia yang memerlukan perhatian saya. Ya! Saya akui itu memang kelemahan dan kesilapan saya.

Kesilapan ini mengajar saya agar merendah diri belajar meminta maaf. Kalaupun bukan silap saya secara langsung, mungkin ada kesilapan saya secara tidak langsung atau yang tidak saya sedari. Kadang-kadang saya sedih kerana disalah ertikan, rupa-rupanya tiada manusia yang benar-benar memahami saya. Dan mungkin juga saya yang tidak cukup lagi belajar untuk memahami manusia-manusia yang lain.

Kesakitan yang saya tanggung jasmani dan ruhani tidaklah sebesar mana sepertimana kesakitan yang telah Rasulullah SAW tanggung semasa hidupnya. Jika kita rasa sakit, ingatlah kesakitan itu merupakan kaffarah, tidak kiralah sakit jasmani ataupun sakit ruhani. Makanya, wajiblah bagi kita mengubati kesakitan-kesakitan yang ada pada diri kita sendiri kerana Allah SWT telah beri pinjam kepada kita seluruh tubuh badan kita di dalam keadaan yang sihat. Makanya, kita perlu pulang kepada Allah SWT di dalam keadaan yang sihat jua. InsyaAllah.

Alhamdulillahi ‘ala kulli hal…
Allahu Ta’ala A’lam

No comments: