Kami sudah mengundi.
Suasana di tempat mengundi seumpama kenduri kawin cumanya tiada kompang yang dipalu. Semuanya berjalan dengan suasana harmoni, aman dan damai. Tiada kedengaran kata cerca nista atau provokasi dari mana-mana pihak. Petugas pula menyambut kami dengan senyuman. Alhamdulillah!
Dakwat kekal sebagaimana yang dinyatakan oleh SPR seperti dakwat pen yang biasa-biasa sahaja, berwarna biru dicalitkan di atas kuku jari kiri yang kedua. Tidak kira anda kidal ataupun tidak, dakwat tersebut akan dicalitkan di atas jari kedua tangan kiri. Bagi yang kidal seperti saya, perlu berhati-hati menandakan undi untuk mengelakkan kertas undi rosak. Selepas habis mengundi, dakwat di jari masih belum kering dan ini mungkin perlu diberi perhatian oleh SPR bagi PRU akan datang sekiranya mereka masih ingin menggunakan dakwat kekal seperti ini. Takrifan "kekal" ini berbeza mengikut pandangan masing-masing. Selepas mengundi ada yang mengeluarkan status keraguan dakwat kekal memandangkan dakwat tersebut boleh dihilangkan semerta dengan klorox atau pencuci pinggan mangkuk atau pencuci sabun biasa. Yang ini SPR perlu ambil perhatian memandangkan perkara-perkara sebegini akan menimbulkan kekecohan dikalangan pengundi.
Bagi saya pula, kesan dakwat kekal masih lagi ada di celah-celah jari walaupun telah dibasuh berkali-kali. Apa-apapun, tanggungjawab sebagai rakyat telah dilunaskan.
Bagi yang menang, jangan angkuh. Kemenangan tersebut datang bersama tanggungjawab dan amanah yang berat. Bersyukur dengan kemenangan dan mudah-mudahan ianya bukan istidraj dari Allah s.w.t.
Bagi yang kalah, jangan mengalah. Mungkin ini adalah kemenangan yang tertunda. Perancangan Allah lebih sempurna. Teruskan perjuangan membela agama, bangsa dan negarra. Muhasabah diri dan perbaiki segala kelemahan dan kekurangan diri. Mungkin selama ini perjuangan lebih bersifat individualistik, mengkayakan diri sendiri dan kroni-kroni, atau mungkin sekali jawatan yang diamanahkan itu digunakan untuk jalan yang salah dan tidak diredhai Allah s.wt.
No comments:
Post a Comment