Surah Al-Kahfi di dalam Juzu' 15
Kisah Teladan-Al Khidr dan Nabi Musa
Dalam kisah yang terkenal tersebut di dalam Al Quran , dalam surah Al Kahfi ayat 60-80, Nabi Musa as telah diperintahkan Allah swt supaya mencari Al Khidr di satu tempat pertemuan dua laut.
Kisah dikatakan berlaku disini
Setelah bertemu Al Khidr , Nabi Musa meminta izin untuk belajar dan mengembara bersamanya. Al Khidr berkata kepada Musa a.s ”Kamu tidakkan dapat bersama ku menanggung kesabaran…..”
Lantas Nabi Musa menjawab “Kau akan dapati diriku insyaallah , seorang yang sabar. Dan tidaklah aku akan menentang mu dalam apa-apa perkara”.
Al Khidir menetapkan syaratnya kepada Musa a.s dengan berkata “Sesungguhnya jika engkau mengikutiku , maka janganlah kau menyoalku akan sesuatupun sehingga aku mengemukakan penjelasan tentangnya”
Al Khidr menebuk kapal.
Maka mereka berdua pun berjalan. Sampai ditepi laut , mereka menumpang sebuah kapal kepunyaan penduduk kampung yang miskin, yang pemilik kapal itu mengenali Al Khidr. Tiba-tiba Al Khidr menebuk kapal itu dengan kakinya.
Al Khidr membunuh budak lelaki
Mereka berjalan lagi. Dalam perjalanan itu, mereka melalui sekumpulan kanak-kanak lelaki sedang bermain.Tidak semena-mena Al Khidr telah membunuh salah seorang budak lelaki yang sedang bermain-main itu.
Lantas perbuatan itu dibantah oleh Musa as. Jawab Al Khidr kepada Musa a.s “Bukankah aku dah kata ,kau tidak dapat bersabar”.
Setelah itu Musa a.s berjanji tidak akan lagi menyoal Al Khidr dalam apa-apa perkara. Jika ia berbuat demikian, maka tiada lagi alasan baginya untuk bersama dengan Al Khaidir.
Al Khidr menegakkan dinding hampir roboh
Akhir sekali mereka sampai di suatu kampung, di mana penduduk kampung tersangat kedekut dan tidak menghormati tetamu.
Musa dan Al Khidr telah meminta sedikit makanan dan tempat berteduh dari penduduk kampung tersebut, tetapi permintaan mereka ditolak.
Dalam keadaan penat dan lapar, mereka sampai dipenjuru kampung, dan di situ mereka menjumpai sebuah dinding yang condong hampir roboh. Lantas dengan tangannya, Al Khidr menolak dinding tersebut sehingga tegak kembali.
Dalam kehairanan , Musa menegur Al Khidr, “Kaum yang kita datang kepada mereka lalu mereka enggan memberi makan kepada kita, tidak pula mereka melayan kita sebagai tetamu. Kenapa tidak kau mengambil upah?”.
Lalu Al Khidr menjawab kepada Musa as, “Ini adalah perpisahan antaraku denganmu”.
Penjelasan Al Khidr
Sebelum berpisah Al Khidr telah menjelaskan kepada Musa a.s tentang apa di sebalik perbuatannya yang Musa a.s tidak dapat bersabar dengannya.
Apakah penjelasan Al Khidr? Di awal-awal penjelasannya , Al Khidr memberitahu Musa a.s bahawa apa yang dilakukannya adalah mengikut perintah Allah berdasarkan ilmu yang diberikan Allah kepadanya.
Bukanlah ia melakukannya sekehendak hatinya atau ia sombong dengan ilmu yang ada padanya.
Al Khidr berkata “Wahai Musa, sesungguhnya aku mempunyai ilmu dari ilmu Allah yang Dia telah mengajarkannya kepada ku yang tidaklah engkau mengetahuinya …”
Kemudian satu persatu diterangkan oleh Al Khidr tentang hakikat dari perbuatannya.
Pertama tentang kapal yang ditebuknya. Kapal itu kepunyaan seorang miskin.Di belakang sana ada seorang raja yang merampas setiap kapal yang dijumpainya.
Kapal si miskin tadi terselamat dari dirampas oleh raja itu kerana kapal itu berlubang.
Maka setelah raja itu pergi, pemiliknya yang miskin itu pun membaiki kapal itu dengan menutup lubang dengan kayu , dan dapat menggunakan kapal itu kembali untuk menyara hidupnya.
Kedua tentang budak lelaki yang dibunuhnya. Ibu bapa kepada budak lelaki itu adalah dua orang mukmin.
Budak lelaki itu bakal menderhaka kepada kedua ibu-bapanya dan kufur kepada Allah. Lalu budak lelaki itu dibunuh supaya kedua ibu-bapa terselamat dari angkara budak itu.
Allah menghendaki supaya kedua ibu-bapa yang mukmin mendapat anak yang lebih baik dan lebih kebaktian kepada kedua ibu-bapanya sebagai pengganti.
Ketiga tentang dinding condong yang dibaiki. Dibawah dinding tersebut terdapat khazanah kepunyaan dua orang anak yatim, yang ditinggalkan oleh bapa mereka yang soleh.
Allah menghendaki supaya kedua orang anak yatim tadi akan dapat mengeluarkan khazanah tersebut apabila mereka dewasa, berkat kesolehan bapa mereka.
Pengajaran dari kisah Al Khidr dan Nabi Musa
Dari kisah kapal yang ditebuk:
Seseorang hendaklah bersabar di atas sebarang kesulitan atau kesusahan yang dialami, seperti pemilik kapal yang ditebuk oleh Al Khidr.
Kerana di sebalik perkara yang kita benci atau tidak sukai seperti benda yang menyusahkan dan menyulitkan pada zahirnya terdapat banyak kebaikan dan manfaat yang kita tidak tahu tetapi Allah mengetahuinya.
Dari kisah budak yang dibunuh:
Seseorang hendaklah redha dengan takdir Allah, seperti berlaku kepada ibu-bapa mukmin dalam kisah ini.
Rasulullah s.a.w telah bersabda “Tidaklah Allah mentakdirkan terhadap seorang mukmin sesuatu takdir melainkan adalah baik baginya”.
Dari kisah dinding condong:
Jadilah seorang yang soleh. Kerana berkat ibadat seorang ayah yang soleh akan mendapat perlindungan dan belas kasihan Allah bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga untuk keturunannya di dunia ini dan juga di akhirat.
Akhir sekali pengajaran yang diperolehi ialah seseorang itu hendaklah tawaddu’ dengan ilmunya. Seperti Nabi Musa a.s begitu tawaddu’ , sanggup belajar dari Al Khidr, walaupun kedudukan sebagai seorang Rasul adalah lebih tinggi dari Al Khidr.
Begitu juga Al Khidr tawaddu’ dengan ilmunya. Al Khidr tidak mendabik dada dengan ilmunya. Malah ia sentiasa mengatakan bahawa segala tindakannya merupakan perintah dari Allah berdasarkan ilmu yang diberikan Allah kepadanya.
Sumber rujukan: Tafsir Al Quran oleh Abu Hanif
No comments:
Post a Comment