23 November 2007

Rakyat Malaysia Sakit Mental???

Salam 165
Tiga juta rakyat Malaysia disahkan sakit mental (Utusan Malaysia – 23 November 2007)

SUNGAI PETANI 22 Nov. - Sebanyak 16 peratus atau tiga juta daripada 26 juta penduduk di negara ini disahkan mengalami sakit mental dan jumlah ini adalah sesuatu yang membimbangkan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Katanya, penemuan data terbaru Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan bagi tahun 2006 mendapati kes gangguan mental di kalangan rakyat Malaysia meningkat sebanyak hampir 6 peratus berbanding kajian yang dijalankan 10 tahun lepas.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 20.3 peratus adalah di kalangan kanak-kanak dan remaja berusia bawah 16 tahun.

“Antara faktor tekanan jiwa di kalangan remaja adalah kerana gagal mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan, tekanan daripada keluarga dan sekolah, serta tiada sokongan masyarakat,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kesihatan Mental Sedunia peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Katanya, ada di antara murid sekolah tertekan kerana tidak mendapat semua A dalam peperiksaan dan kemudiannya mereka dihina dan dikatakan bodoh serta tidak berguna untuk hidup, jadi mereka mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan masalah iaitu dengan membunuh diri.

Chua berkata, daripada jumlah itu juga, sebanyak 11.2 peratus adalah pesakit di kalangan orang dewasa dan 19.5 paratus di kalangan warga emas yang berusia melebihi 70 tahun.

“Masalah kesihatan mental tidak boleh dipandang ringan, beban penyakit itu memberi kesan kepada masyarakat dan negara, dan kos perubatan untuk pesakit mental adalah semakin tinggi, manakala pesakit pula sering tidak mendapatkan rawatan awal kerana percayakan rawatan bomoh,” kata beliau.

Kes membunuh diri juga didapati semakin meningkat dengan sebanyak 20 hingga 30 orang daripada setiap 100,000 rakyat Malaysia membunuh diri setiap tahun.

MasyaAllah, ramainya yang menghadapi tekanan jiwa di Malaysia, belum lagi dihitung dan dijumlahkan seluruh dunia….

Adakah anda dan saya menghadapi tekanan jiwa? Adakah kita tergolong di dalam 16% dari penduduk Malaysia yang berpenyakit mental. Minta dijauhkan...!

Yang amat menakutkan adalah bila generasi-generasi yang baru sudah mula mengalami gangguan jiwa dan mental…bagaimanakah mereka hendak menjadi pewaris Negara dan memimpin Negara di masa akan dating sekiranya dari awal pertumbuhan kanak-kanak sudah mengalami penyakit jiwa? Besar dan beratnya tanggungjawab ibubapa masa kini di dalam mendidik anak-anak supaya menjadi pemimpin yang tegar pada masa akan datang. Saya tidak dapat membayangkan sekiranya pemimpin akan datang itu datangnya dari kanak-kanak yang mengidap penyakit mental…hancur dan musnahlah sesebuah Negara itu….!

Bagi saya jalan penyelesaian sudah berada di hadapan mata…kembali kepada jalan fitrah yang telah disampaikan kepada kita 1400 tahun dahulu…kembali kepada jalan yang berpandukan Al-Quran dan Al-Sunnah.

Konsep Ihsan, Iman dan Islam perlu dan wajib diterapkan di dalam setiap diri kita dan generasi-generasi kita…kecintaan kepada Allah dan Rasul adalah seperti makanan ruji yang perlu diisi di dalam hati kita. InsyaAllah kita tidak akan menjadi golongan 16% yang berpenyakit mental di Malaysia.

Semoga kita menjadi Rakyat Malaysia yang bebas dari tekanan jiwa dan minda. Aamin

No comments: