30 June 2015

Travellingbie : Kembara Acheh: Menyantuni Anak-Anak Pasca Tsunami Hari-1

Di dalam Al-Quran sebanyak 23 kali disebut perkataan ‘yatim’ dan penggunaan kata-kata yatim itu merujuk kepada kemiskinan dan kepapaan. Ertinya mereka yang berada dalam golongan yatim amat memerlukan perhatian dan pembelaan serta tanggungjawab dari kita semua masyarakat agar mereka boleh belajar dengan tenang, layak untuk hidup dan menikmati kehidupan serta bergembira seperti anak-anak lain yang mempunyai ibu dan ayah.

Allah swt berfirman yang bermaksud, "Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.” (QS. An-Nisaa:36) 

Allah telah berfirman dalam kitab-Nya, artinya, “Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil janji dari Bani Israil (yaitu): Janganlah kamu menyembah selain Allah, dan berbuat kebaikanlah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia, dirikanlah shalat dan tunaikanlah zakat. Kemudian kamu tidak memenuhi janji itu, kecuali sebahagian kecil daripada kamu, dan kamu selalu berpaling.”
(QS. al-Baqarah: 83).

Program Amal ke Aceh Tahun 2015 berlangsung pada tanggal 26 - 28 Jun 2015, menyantuni anak-anak yatim dan faqir di Banda Aceh. Alhamdulillah, Allah swt beri peluang dan kesempatan untuk menjayakan lagi program amal ini. Alhamdulillah 'ala kulli haal.

Kali ini peserta program seramai 40 orang termasuk penganjur dan peserta-peserta dari 3 negara iaitu Malaysia, Brunei dan Singapura. Program kali ini juga turut disertai oleh penyanyi tersohor Malaysia, Asmawi Ani dan penyanyi Singapura Dali Filsuf. Peserta-peserta program dari Malaysia pula, ada yang datang jauh dari Sabah, Kedah, Melaka dan Pulau Pinang serta sekitar Selangor dan KL. Ada yang datang menaiki bas, kereta dan kapal terbang. Sungguh kagum saya melihat kegigihan para peserta dari jauh ini untuk mengikuti program Amal Aceh 2015. MasyaAllah!

Jam 6 pagi kami berkumpul di hadapan balai pelepasan, sambil berkenal-kenalan antara satu sama lain dan juga menguruskan beg untuk dimasukkan di dalam kargo. Walaupun dimulai dengan ta'aruf yang tidak formal, terasa kemesraan menyelubungi keseluruhan jema'ah. Kami masuk ke balai pelepasan dengan do'a agar perjalanan kami kali ini diberkati dan dipayungi dengan rahmah Allah SWT serta dinaungi sayap-sayap Malaikat agar perjalanan kami terjaga.

Penerbangan dari KL ke Banda Aceh mengambil masa selama 1 jam 30 minit. Tepat jam 8 pagi, kami berlepas ke Aceh dan tiba di Bandara Sultan Iskandar Muda, Banda Aceh pada jam 830 pagi. Program 3 hari 2 malam ini padat dengan lawatan ke tempat-tempat bersejarah kesan bencana Tsunami dan menyantuni anak-anak syurga ini. Mudah-mudahan musafir kami kali ini lebih bermakna lagi.
Aceh, aku datang lagi...Alhamdulillah.

Selepas selesai urusan imigresen dan kastam, kami menaiki 2 bas kecil yang disediakan dan terus menuju ke destinasi pertama di Perkuburan Massal. Perkuburan Massal ini merupakan tempat di mana kebanyakan korban Tsunami di semadikan. 
Monumen Perkuburan Massal
Perkuburan Massal. Di sinilah puluhan ribuan mangsa Tsunami dikebumikan
Destinasi ke-2 kami - Monumen” “Kapal di Atas Rumah” yang terletak di daerah Lampulo, Banda Aceh, Kapal ini dihempas oleh gelombang Tsunami pada tanggal 26 Disember 2004 hingga tersangkut di rumah penduduk. Kapal ini menyelamatkan nyawa penduduk seramai 59 orang telah menjadi bukti penting betapa dahsyatnya musibah Tsunami tersebut. Melawat kesan dan bukti hidup Tsunami di sini amat mengesankan jiwa bahawa tiada yang lebih berkuasa di alam semesta kecuali Allah Ta'ala. Tidak ada sebab untuk kita merasa takbur, sombong dan riak serta merasakan bahawa kehidupan dunya ini "ana yang punya". 
Mendengar mama bercerita - mama merupakan saksi hidup bencana Tsunami
Bergambar kenangan di kapal terapung Lampulo
Mendengar cerita dari "mama" dan pakcik Saiful, saksi hidup Tsunami cukup mengesankan. kesempatan hidup untuk kali-2 amat bermakna buat mereka. Iktibar dari bencana Tsunami amat mengesankan buat mereka yang masih hidup sehingga kini. Walaupun 11 tahun telah berlalu, peristiwa Tsunami masih kekal terpahat di hati mereka sehingga kini. Pakcik Saiful berpesan kepada kami "Jangan pernah kita takut untuk membuat kebaikan walau dalam posisi apa sekalipun, walau dalam kesulitan sekalipun." Dia juga berkata, "kalau kita menanam padi, lalang pasti akan tumguh disekitarnya, tetapi kalau kita menanam lalang, jangan harap padi akan tumbuh." Begitulah  juga dengan kehidupan kita manusia di muka bumi ini. Berbuat baiklah selagi terdaya, di kala susah atau senang. Allah swt tidak hanya melihat berapa banyak yang kita sumbangkan untuk membantu orang lain, bahkan Allah swt memberi perhatian dan ganjaran yang lebih bagi hamba-hambaNya yang ikhlas memberi di kala susah atau senang. Allahu Akbar, Allahu Akbar wa Lillahilhamd.

Seterusnya, destinasi kami yang ke-3 adalah lawatan ke Muzium Tsunami Aceh - Muzium ini dibangunkan untuk merefleksikan pengunjung kepada bencana Tsunami. Dilihat dari reka bentuknya seperti gelombang Tsunami. "Gulungan air yang menjulang tinggi dan gelap" adalah gambaran yang sering diungkapkan oleh saksi hidup bencana Tsunami. Eksplorasi muzium ini bisa menyingkapkan bagaimana kejadian bencana tersebut dengan menyelusuri lorong gelap dengan dinding air yang sesekali memercikkan air ke kepala dan tubuh pengunjung. Malapetaka yang juga disebut sebagai "Krismas Tsunami" ini kerana terjadinya pada 26 Disember 2004 sehari selepas Hari Krismas dikenang sebagai Tsunami terdahsyat abad ini yang merenggut 230 ribu nyama di 11 negara termasuk Malaysia. Dari ruang besar sehinggalah ke lorong kecil, kami di bawa ke "sumur doa" yang pada ruang dindingnya terpampang nama-nama korban yang bencana Tsunami yang telah kembali menemui Tuhannya. Berkunjung ke muzium ini, memberikan rasa insaf kepada kami, bahawa tiada apa yang lebih berkuasa melainkan Allah swt jua. Sehebat sekuat mana pun manusia dengan kuasanya, tidak akan dapat melawan kuasa Maha Hebat Allah Ta'ala.
Sumur Do'a Muzium Tsunami Aceh
Destinasi ke-4 kami - melawat kubah masjid yang terpisah dari badannya yang dihanyutkan ombak Tsunami di Daerah. Kubah masjid ini yang seberat 80 tan telah dihanyutkan semasa bencana Tsunami sejauh 2.5 km dari tapaknya. Kubah masjid yang terletak di Desa Gurah, Peukan Bada, Aceh Besar ini. Kubah yang kini dikenali sebagai Masjid Al-Tsunami ini dulunya merupakan kubah masjid Jame' di Desa Lamteungoh, Peukan Bada, Aceh Besar kini menjadi tumpuan pengunjung mengambil iktibar dari ibrah Tsunami.
Kubah masjid yang dihanyutkan Tsunami beserta tapaknya sekali dan terdampar di tengah bendang.
Destinasi terakhir kami pada hari pertama, adalah Rumah Anak-anak yatim/Pesantren Hidayatullah. Pesantren ini mempunyai anak-anak yatim dan faqir miskin seramai 120 orang, dengan tenaga dewasa yang sedikit. Ustaz Mahyuddin yang merupakan pengetua pesantren tersebut di dalam ucapannya, memaklumkan bahawa anak-anak ini dibiayai makannya hanya dengan 5T selain nasi, iaitu Terung, Telur, Taugeh, Tauhu dan Tempe. Nasi sebagai makanan ruji dan lauknya hanyalah di dalam linkungan 5T sebagai lauk utama. Jarang-jarang anak-anak ini dapat makan ayam dan daging. Sekiranya dapat makan ayam atau daging, itulah makanan mewah yang pernah mereka rasa. Kali pertama saya ke sini, melihat keadaan persekitaran anak-anak ini, hati amat tersentuh sehingga tanpa sadar mengalirkan air mata yang jarang-jarang sekali keluar.
Selipar japang sahaja yang mampu
Kali ke-2 ini, terdapat sedikit penambahbaikan telah dibuat, bangunan hadapan pesantren tersebut telah dapat digunakan sepenuhnya walaupun hanya berlantaikan tiles. Anak-anak ini ada yang telah hafal 12 juzu' Quran, Alhamdulillah dan kali ini, mereka mendapat duit raya untuk tambang balik ke kampung lebih awal. berbanding tahun lepas, Syukur Alhamdulillah. Selepas sesi taklimat dan tazkirah dari wakil kami dan Ustaz Mahyuddin, kami iftar di dewan pesantren dan seterusnya solat dahulu dan seterusnya menyampaikan sumbangan infaq kepada semua 120 orang anak-anak yatim dan bagi pembangunan pesantren.
Iftar kami di Pesantren Hidayatullah
Muka anak-anak yang ceria menerima infaq dari kami
Allah Ta'ala berfirman yang bermaksud: "Bukanlah kebaikan bahwa kamu menghadapkan wajahmu ke arah Timur dan Barat, tetapi yang sebenarnya kebaikan ialah yang beriman kepada Allah swt. dan Hari Kemudian dan malaikat-malaikat dan Kitab dan nabi-nabi, dan memberikan harta atas kecintaan kepada-Nya, kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang musafir, dan mereka yang meminta sedekah dan untuk memerdekakan hamba sahaya; dan orang-orang yang mendirikan shalat dan membayar zakat; dan orang-orang yang menepati janji mereka bila mereka berjanji, dan mereka yang sabar dalam kesusahan  dan kesengsaraan, dan tabah dalam masa perang; merekalah orang-orang yang benar dan merekalah orang-orang yang bertakwa." (Q.S. 2:178)

Urusan kami menyampaikan amanah-amanah infaq dari kawan-kawan dan keluarga telah selesai separuhnya, Sumbangan yang disampaikan berjumlah Rp12 juta untuk 120 anak-anak yatim dan Rp30juta untuk pembangunan pesantren Hidayatullah. Alhamdulillah. Misi akan diteruskan pada hari ke-2 InsyaAllah.

Akhir destinasi kami selepas berbuka, adalah solat di Masjid Baiturrahman. Masjid yang ditunggu-tunggu oleh semua peserta. Damai dan tenang sahaja bila solat dan solat terawikh di sini walaupun dipenuhi ramai jema'ah. Masjid Baiturrahman ini merupakan salah satu keajaiban bencana Tsunami,  masjid yang terselamat dari musnah secara total semasa Tsunami berlaku. Inilah bukti Allah swt memperlihatkan kepada hamba-hamba-Nya bahawa rahmat Allah swt itu sentiasa ada dan Islam serta tempat yang dipenuhi cahaya keimanan juga sebenarnya merupakan keajaiban paling ajaib di dunia. Beruntunglah bagi manusia-manusia yang mengambil pengajaran dan diberi hidayah Islam dan iman selepas bencana Tsunami ini.

”Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia. Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar.” (QS.Fushilat:34-35)

Semoga kita semua berupaya menjadi orang-orang yang sabar dan mempunyai keberuntungan yang besar. Semoga Allah swt memberikan ruang yang lebih besar kepada kita untuk membuat kebaikan di dunya tidak kira sebesar atau sekecil manapun.
Hasil infaq dari semua peserta. Pengiraan pertama berjumlah 97.7 juta rupiah. Hari ke-2 nya bertambah lagi Alhamdulillah :)
Allahul Musta'aan
Semoga Allah swt redha kita sebagai hamba-Nya. InsyaAllah.

No comments: