Wednesday, April 1, 2015

Kewangan : 5 cara untuk menghadapi tekanan GST di dalam kehidupan seharian

Cara untuk menghadapi tekanan GST di dalam perbelanjaan seharian

Umum tahu bahawa GST telah dilaksanakan pada hari ini, 1 April 2015 dan ianya bukan gurauan seperti yang digurau-guraukan.

Sebelum GST dilaksanakan lagi, ada juga kedai-kedai, restoran-restoran yang mengenakan caj GST. Tindakan kita sebagai pengguna, perlulah memaklumkan kepada pihak berwajib mengenai salah laku tersebut.

Selain mendengar keluhan-keluhan, membaca keluh kesah rakyat marhaen seperti kita ini di media social atau di mana-mana sahaja, kita secara individunya perlu menyelaras diri kita dan keperluan keluarga agar tidak dibebani dengan GST. Bagi saya, mana-mana cukai yang dikenakan kepada rakyat adalah bebanan. Walaubagaimanapun, manusia merupakan makhluk yang sangat pandai dan bijak serta genius di dalam menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran samada secara fizikal ataupun mental.

Apakah GST???

GST adalah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (Good and Service Tax). Di beberapa negara ia juga dikenali sebagai Value Added Tax (VAT) atau Cukai Nilai Tambah. Ia bukannya kerajaan telah menambah lagi cukai sedia ada atau mengenakan cukai ke atas cukai. 

Baru pagi tadi, saya membuat pindahan wang ke akaun selain dari akaun bank yang sama melalui Pindahan Giro dan saya mendapat, terdapat tambahan sebanyak RM0.01 sen daripada RM0.10 sen caj yang dikenakan. Selain daripada IBB Service Charge sebanyak RM0.10 sen, terdapat juga GST Debit charge sebanyak RM0.01. Nahh…ada tambahan kos di situ sebanyak RM0.01 sen. Walaupun tidak banyak, cuba bayangkan sekiranya 1 juta pelanggan yang membuat pindahan melalui Giro Transfer sehari??? Anda kiralah sendiri.

Uruskan kekerapan pengeluaran wang dari mesin ATM anda!

Sekiranya anda ingin mengeluarkan wang dari mana-mana mesin ATM, pastikan anda mengeluarkan wang tersebut dari bank kad ATM anda kerana selain daripada itu, anda akan dikenakan caj pengeluaran sebanyak RM1.00 dan caj GST sebanyak RM0.06 sen. Rugi lagi RM0.06 sen. Pengeluaran dari mesin ATM bank anda hendaklah tidak melebihi 4 kali pengeluaran kerana selepas itu anda akan dikenakan caj tambahan sebanyak RM1.00.

Aktifkan Sistem Sampul

Saya mendapati Sistem Sampul ini adalah salah satu sistem yang efektif di dalam menguruskan kewangan secara mingguan atau bulanan. Ideanya sangat senang, anda hanya perlu mencongak bajet perbelanjaan anda selama sebulan, bahagikan kepada 4 minggu dan masukkan di dalam 4 sampul mengikut mingguan. Contoh: Anda keluarkan wang dari Mesin ATM anda sebanyak RM2,000.00 dan masukkan di dalam 4 sampul tersebut. Setiap sampul akan mempunyai wang sebanyak RM500.00. Dan anda akan sedar dan berusaha untuk berbelanja mengikut peruntukan yang ada di dalam sampul tersebut, sekaligus dapat menguruskan kewangan mingguan atau bulanan anda secara lebih sistematik. Sekiranya terdapat lebihan di dalam sampul tersebut, berusahalan untuk tidak membelanjakannya atau masukkan baki wang tersebut di dalam sampul mingguan yang lain. Baki tersebut bolehlah anda gunakan sebagai “charity” atau sedekah amal jariah anda sekeluarga untuk bekalan di sana. Kalau tak banyak, sedikit sedikit pun tidak apa :)

Pilihlah Free-For-Life-Credit-Card

Kredit kad juga akan dikenakan caj GST bagi yuran tahunan. Sekiranya anda tidak boleh hidup dan menikmati kehidupan tanpa kad kredit, pilihlah Kad Kredit yang menawarkan Free-For-Life Credit Card. Sekiranya bank kegemaran anda tiada menawarkan pilihan tersebut, mintalah pengecualian dari bayaran tahunan setiap tahun. Bank biasanya akan meluluskan permintaan anda kerana mereka tidak mahu kehilangan pelanggan yang bagus seperti anda yang membayar hutang mengikut masa dan adakalanya membayar lebih dari yang dihutang. Ringankan mulut untuk meminta pengecualian. Anda tidak akan rugi apa-apa! Sekiranya bank kegemaran anda sukar untuk memberi pengecualian caj tahunan bagi kad kredit tersebut, inilah masanya untuk anda menukar kepada bank lain atau langsung terus tidak menggunakan kad kredit sepanjang hidup anda.

Uruskan Bil-bil bulanan anda

Saya percaya, semua kita mempunyai bil bulanan yang terdiri daripada bil utiliti, pinjaman perumahan, pinjaman kereta, pinjaman peribadi dan sebagainya yang perlu dibayar setiap bulan dan ianya kita rasakan merupakan bebanan kepada kita. Heyy…sekiranya tidak mahu bebanan, duduklah berkelana di dalam hutan…hehehehe (gurau sahaja).

Dahulukan pembayaran untuk bil-bil yang wajib, kemudian simpanan dan seterusnya baharulah berbelanja. Ingat tu…Simpan dahulu, baharulah belanja dan bukan sebaliknya. Sekiranya anda inginkan kehidupan yang tidak stress tanpa hutang, bayarlah hutang-hutang anda terlebih dahulu. Sekiranya anda mengetahui bahawa kemampuan anda terhad, hiduplah di bawah kemampuan. Beranganlah dahulu untuk memilik kereta seumpama Hummer, dan kereta mewah yang lain atau jenama barangan ternama. Berangan itukan PERCUMA. Sekiranya gaji anda RM5,000, berbelanjalah seperti orang yang mempunyai gaji RM4,000. RM1,000 tersebut anda simpan terlebih dahulu. Sekiranya gaji anda RM2,000, simpanlah dahulu RM400 atau paling minima RM200 sebelum anda membelanjakannya ke tempat lain. Ya! Yang penting, berbelanjalah di bawah kemampuan anda. InsyaAllah, hidup anda akan lebih tenang!

Beli Barangan Keperluan Anda Secara Borong

Yup, tips ini telah saya maklumkan di dalam entri-entri Pengurusan Kewangan sebelum ini. Tidak perlulah saya menerangkan lebih lanjut kerana tajuknya pun telah jelas :)

Walaupun kita merasakan bahawa GST membebankan rakyat, sebagai rakyat marhaen, adakah kita boleh membuat demontrasi menolak pelaksanaan GST ini, berdemo secara besar-besaran, mewujudkan kucar kacir di dalam negara? Rasanya tidak perlulah saya jelaskan. Apa yang boleh kita lakukan adalah membuat penyelarasan perbelanjaan kita seharian atau secara mingguan atau bulanan. Prioritize! Utamakan yang utama! Sekiranya sebelum ini kita selalu makan di luar, cuba-cubalah membawa bekalan makanan ke pejabat yang mana lebih jimat. Sekiranya sering membawa keluarga untuk rehlah di pusat membeli belah, cuba bawa mereka ke tempat-tempat rekreasi yang Percuma dan event-event mingguan yang menyediakan makanan dan minuman percuma dan sebagainya. Saya percaya, ramai dari kita yang mempunyai kreativiti yang terpendam. Ketika kegawatan dan kesusahan ini, keluarkanlah kreativiti anda itu untuk menguruskan kewangan anda agar lebih teratur dan sistematik. Elakkan diri dari mempunyai bebanan hutang yang terlampau. Percayalah! Kehidupan anda akan tenang tanpa hutang yang jahat. :)

Selamat menjalani kehidupan di bawah aras kemampuan.
Allahu Ta'ala A'lam
Post a Comment