Sunday, November 23, 2014

Bacaan: Maharaja Wang - Berhutang

Untuk membina kekayaan, berhutang adalah rahsianya.

Mula-mulanya saya tidak faham kenapa perlu berhutang, lebih2 lagi apabila Tuan pengarang buku mengatakan bahawa semakin besar hutang, semakin cepat menjadi kaya.

Mengapa mesti meminjam???
Sekiranya anda seorang yang kaya raya seperti Al-Bukhary atau Bill Gates, anda boleh membeli kebanyakan semuanya dengan tunai. Namun hakikatnya kita bukanlah mereka, apatah lagi waris mereka. Maka, untuk menggandakan kekayaan kita, kita perlu berhutang dahulu untuk mewujudkan kekayaan. Kebanyakan semua orang mempunyai modal yang terhad. Bezanya dengan yang sudah kaya raya adalah, had mereka lebih tinggi dari kebanyakan orang.

Berhutang adalah seperti membela seekor harimau atau banyak harimau. Sekiranya anda tahu apa yang anda lakukan, anda akan memperolehi pendapatan yang lumayan dan membuat keuntungan dengannya. Namun anda perlu berhati2 kerana kesilapan boleh memberi akibat yang sangat serius. Kebinasaan akibat hutang memberi kesan yang buruk dalam kehidupan.

Di dalam bidang hartanah, peminjam bagi hartanah akan menyedari bahawa keuntungan besar berdasarkan 2 andaian, iaitu 1) nilai hartanah meningkat dari semasa ke semasa, 2) peminjam membiat pembayaran gadaian bulanan dengan lancar. Yang ini dipanggil sebagai "a perfect assumption". Kita mengandaikan bahawa peminjam tidak menghadapi sebarang risiko dibuang kerja, tidak mampu bekerja dan sebagainya, serta tiada masalah di dalam komitmen untuk membuat bayaran bulanan.

Kita perlu tahu bila masanya kita perlu meminjam...
Kita perlu meminjam sekiranya kita tahu yang kita akan menjana lebih wang dengan pinjaman berkenaan. Kita meminjam apabila pulangan dari pelaburan melebihi kadar pinjaman. Contoh: kadar pinjaman = 6%. Kadar pulangan keuntungan pelaburan pula = 10% atau lebih.

Sekiranya anda tidak menjumpai pelaburan yang boleh menghasilkan pulangan yang tinggi berbanding faedah yang dikenakan..mmmmm usahlah meminjam. Anda hanya menjerut leher anda sendiri.

Bagi pendapat peribadi saya, pinjaman membuatkan saya tidak nyenyak tidur malam. Di hujung bulan saya berasa risau melihat penyata gaji yang berkurang disebabkan pinjaman peribadi ditolak dari gaji. Akhirnya saya nekad untuk melangsaikan pinjaman peribadi tersebut sebelum Aidilfitri yang lepas. Pihak bank pun pelik dengan tindakan pelanggannya yang seorang ini, kerana yang mereka terima kebanyakan dari pelanggan sebelum perayaan adalah permohonan pinjaman peribadi. Saya pula hendak melangsaikan hutang tersebut. Tapi, saya perlulah tegaskan di sini bahawa saya bukanlah seorang yang kaya. Saya bukannya jutawan...saya hanya mahu hidup bebas dari hutang. Apa yang saya berhutang sekarang ini hanyalah pinjaman perumahan dan saya berusaha untuk melangsaikan hutang tersebut secepat yang mungkin juga. Saya tidak begitu percaya untuk membuat pinjaman peribadi untuk melangsaikan hutang rumah. Ianya seperti mengorek lubang lain untuk menutup lubang yang lain. Kaedahya mungkin berbeza, tetapi nyatanya, masih ada 2 lubang yang menjadi beban kepada kita.

Saranan berhutang untuk menjana kekayaan ini mungkin tidak sesuai untuk saya. Saya masih seorang yang konvensional di dalam membuat pelaburan...


Post a Comment