Monday, March 31, 2014

KL-Jakarta-Bandung-KL Mac 2014 ~ Day 1

Penerbangan kami pada jam 7pagi membuatkan kami tidak lena tidur malam. Seawal pagi saya perlu ke ERL dan menaiki tren paling awal sekali untuk ke LCCT. Setibanya di LCCT pada jam 530am, dan bertemu dengan kazen. Proses pemeriksaan kastam dan imigresen berjalan dengan lancar. Musafir kami di Jakarta tanpa "checked in" bagasi. Jimat kos :)

Saya senaraikan RM dan Rp yang telah dibelanjakan pada hari pertama:
  1. RM5.50 - Tren ERL dan tiket bas dari Putrajaya Sentral ke LCCT;
  2. RM13.55 - beli roti di Cafe Expresso;
  3. RM12.00 roti canai sedap di dalam penerbangan AirAsia. Mungkin juga kerana berada di atas awan. Tetapi memang diakui roti canai tersebut sedap terutamanya kari ayam. Sekiranya anda menggunakan penerbangan AirAsia, cubalah roti canai tersebut :);
  4. Rp30,000.00 ~ Setibanya di Lapangan Terbang dan melepasi kastam serta imigresen, kami terus ke kaunter pertanyaan untuk bertanyakan cara untuk ke Mangga Dua. Dimaklumkan kepada kami untuk menaiki Damri / Bas ke Mangga Dua. Setibanya di luar, ramainya yang menunggu-nunggu ketibaan pelancong seperti kami. Ada yang terus menawarkan perkhidmatan teksi masing-masing sebelum kami sampai di kaunter bas dan ada juga yang mengekori kami. Kami hanya senyum dan menggelengkan kepala sambil menjawab kami mahu naik Damri. Ada yang menawarkan khidmat teksi dengan kadar Rp200,000.00 sambil mengatakan "kalau naik Damri kene tunggu lama". Mahalnya la. Hari ini bukan soal nya lama atau sekejap. Pengalaman menaiki pengangkutan awam di Jakarta yang ingin kami rasai. Bagaimana perasaannya menjadi lokal. Di kaunter Damri, kami bertanyakan kadar untuk ke Mangga Dua. Dengan kadar Rp30k seorang, kita boleh memilih untuk ke Mangga Dua dan destinasi-destinasi lain sekitar Jakarta. Kami dimaklumkan Damri Mangga Dua akan tiba lewat setengah jam. Kami berdua bercadang untuk masuk semula ke dalam kawasan airport dan rehat sebentar. Lebih kurang 20 minit kemudiannya kami keluar, Damri Mangga Dua masih belum tiba lagi. Jadinya kami mengambil keputusan untuk menaiki Damri ke Gambir dan dari sana menggunakan pengangkutan yang lain untuk ke Mangga Dua. Sambil menunggu Damri, saya bersembang-sembang kosong dengan penjaga kaunter. Beliau memaklumkan kadar tol telah naik sebanyak 2 kali. Sebab itulah kadar tambang Damri telah naik dari Rp20k kepada Rp30k. Dahsyat juga kenaikan bagi tahun ini sehingga 2 kali. Kalau ditempat saya, kenaikan tol yang jarang-jarang berlaku pun dah kecoh satu negara dan ramai betul yang nak menggulingkan kerajaan sedia ada. Di sini, kelangsungan hidup rakyatnya sangat tinggi. Ada di antara mereka akan berbuat apa sahaja untuk hidup demi kelangsungan hidup diri dan keluarga. Damri ke Gambir mengambil masa lebih kurang setengah jam. Di Jakarta, Damri/Bas ini mempunyai jalannya sendiri dan jalan tersebut tidak boleh dilalui oleh kereta. Walaupun keadaan macet terus di Jakarta, Damri/Bas masih bergerak selesa walaupun sedikit perlahan disebabkan macet. Kebetulan pula kami tiba di Jakarta hari Sabtu, memang keadaan sesak dan menyesakkan. Bagi yang tidak biasa dengan trafik yang luar biasa ini, memang akan pening kepala, rasa nak muntah dan macam-macam lagi rasa yang ada.
  5. Rp100,000.00 ~ Setibanya di Gambir, rupa-rupanya memang betul-betul berhenti di Stesen Gambir. Di sekelilingnya adalah Monas dan Masjid Istiqlal (agak jauh sedikit). Kami membuat keputusan untuk meninjau-ninjau tiket keretapi ke Bandung pada hari Isnin. Sekiranya anda menempah tiket tersebut secara online, setibanya di Stesen Gambir, anda hanya perlu check-in sahaja. Tetapi kami membeli tiket keretapi tersebut dengan cara biasa. Yang pertama yang perlu kami lakukan adalah mengisi borang tempahan tiket yang telah disediakan dan membawa borang tersebut ke kaunter jualan tiket. Kami memilih untuk  menaiki tren executive, memikirkan keselesaan dalam perjalanan yang panjang. Kadar tiket executive pula berbeza-beza sampai kami pulak yang kompius. Ada tiket yang harganya Rp100k, murah sedikit, tetapi gerabaknya berdekatan dengan enjin keretapi dan agak bising. Bagi kadar Rp110k, gerabak nya agak jauh dari enjin keretapi. Kami memilih untuk membeli tiket berkadar Rp100k, asalkan dapat jimat sedikit dan tempat duduknya selesa. Setelah membeli tiket untuk hari Isnin, solat dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke hotel.
  6. Rp3500 ~ Untuk ke Mangga Dua, dari Gambir, kami dimaklumkan agar menunggu Busway dari Harmoni yang terletak di luar stesen Gambir. Dengan kadar tambang hanya Rp3500 memang sangat murah. Tetapi tempoh perjalanannya yang mahal sekali. Dengan keadaan macet yang luar biasa pada hari Sabtu, perjalanan kami dari Gambir ke Mangga Dua mengambil masa beberapa jam dengan beberapa transit Busway yang perlu ditempohi dalam keadaan yang menyesakkan dengan orang ramai. Route : Gambir Harmoni >> Kota >> Tg Priok >> Mangga Dua Gunung Sahari. Nasib baik kami hanya membawa haversack dan beg sandang. Itupun dah cukup berat kerana sepanjang berada di dalam Busway kami berdiri dan keadaan di transit yang menyesakkan ditambah pula dengan keadaan cuaca yang jerebu memang membuatkan kepala masing-masing pening. Pengalaman yang tidak akan dapat ditempohi di KL. Kalau kita rasa kesesakan lalu lintas di KL teruk, di Jakarta 10x teruk rasanya;
  7. Rp15k ~ Mangga Dua Gunung Sahari ~ setelah beberapa jam berada di dalam Busway dan transit beberapa kali, akhirnya kami sampai ke hentian Mangga Dua Gunung Sahari. Dari sini kami perlu berjalan sejauh lebih kurang 500m untuk sampai di hotel. Hotel pula di belakang kawasan rumah-rumah kedai dan berdekatan sangat dengan Harco Mangga Dua (pusat membeli belah barangan elektrik dan komputer). Sebelum itu, kami singgah dahulu di convenience shop membeli apa-apa yang patut. Selesai check in hotel, rehat-rehat dahulu sebelum menjenguk-jenguk kawasan persekitaran. Kadar bilik kami adalah sangat murah, 2 malam dengan kadar tidak sampai RM100. Makanya seorang untuk 1 malam lebih kurang RM25.00. Lokasi hotel agak jauh sedikit dari jalan utama. Walaubagaimanapun, memandangkan kawasan perniagaan tersebut dipagari dan ada kawalan sekuriti, kami tidak berasa bimbang dengan keselamatan masing-masing. Cuma langkah berjaga-jaga sahaja yang perlu diambil perhatian, lebih-lebih lagi musafir seperti kami ini.
  8. Rp33k ~ Selesai solat maghrib, kami mengambil keputusan untuk meninjau-ninjau keadaan persekitaran. Tempat membeli belah disini beroperasi sehingga jam 5pm. Ada juga sehingga jam 8malam. Setibanya kami di Mangga Dua Square, tidak banyak kedai yang masih dibuka. Hanya beberapa kedai sahaja yang masih dibuka dan juga tempat makan. Kami makan malam di Es Teller sahaja. Kalau dahulu saya ke Es Teller, makanannya enak dan berasa, tetapi kali ini, kurang rasa dan juga perisanya.
  9. Rp40k ~ Balik dari Mangga Dua Square, suasana sudah semakin sunyi dan dalam perjalanan ke hotel, tidak putus-putus doa dibaca. Kami singgah sebentar di kedai eMart untuk membeli keperluan harian terutamanya air mineral dan yogurt untuk supper :)
Jumlah perbelanjaan kami hari ini....kiralah sendiri. Jimat dan menjimatkan :)

Hari ini, masa kami dihabiskan di dalam Damri dan Busway sambil menikmati keindahan macet. Banyak benda yang kami belajar sepanjang masa kemacetan tersebut ~ pengalaman berharga dan dalam masa yang sama beruntungnya kami menjadi warga negara sekarang ini walaupun banyak kekurangan.

I've learned that people will forget what you said, people will forget what you did, but people will never forget how you made them feel.~Maya Angelou
Post a Comment