30 November 2017

Travellingbie : Pesona Siguniang Day 2

15 Oktober 2017
“All journeys have secret destinations of which the traveler is unaware.” – Martin Buber

Hari ke-2 kami, dimulakan dengan aktiviti di Changping Valley untuk menyesuaikan badan dengan suhu yang sejuk di Rilong dan seterusnya semasa mendaki keesokan harinya nanti. 
Sungai di tepi perhentian stesen bas menuju ke Changping Valley
Changping Valley berada pada ketinggian 3000 mdpl. Dari Changping Valley, kami dapat melihat dengan jelas puncak adik beradik - The four sisters mountain dan puncak yang paling tinggi merupakan puncak yang tercantik sekali.

Sedikit maklumat mengenai Changping Valley: 
Altitud: sekitar 3000 - 3500 meters
Dibuka : sepanjang masa
Lokasi: sekitar 2 km arah timur dari  Bandar Ri Long (juga dikenali sebagai Bandar Gunung Siguniang), Xiaojin County of Ngawa.
Dicadangkan aktiviti hiking di sana : sekitar 1 - 2 hari
Musim terbaik dan cantik : Autumn -  anda boleh menikmati dedaun yang berwarna warni dan cantik sekali
Harga tiket:
Peak season (Apr. 1 to Nov. 30): RMB90/seorang
Slack season (Dec. 1 to next Mar. 30): RMB70/seorang
Tiket ke Changping Valley RMB90

Changping Valley to Bipeng Valley Trekking Map
https://www.3rdpoletour.com/assets/images/travel-guide/siguniangshan/changping-valley-bipeng-valley-trekking-map.jpg
Dari hostel, kami berjalan kaki sekitar 1km menuju ke tempat stesen bas untuk membeli tiket ke Changping Valley. Perjalanan waktu pagi sangat sejuk dan masing-masing memeluk tubuh kesejukan sambil berjalan. Perjalanan ke Changping Valley dengan menaiki bas mengambil masa lebih kurang 15 minit.

Sekitar jam 930am, kami sampai di pintu masuk ke Changping Valley dan mula treking ke dalam kawasan tersebut sepanjang 7km. Dengan altitud lebih dari 3000mdpl dan cuaca sejuk, jalan yang tidak mencanak itu pun boleh menyebabkan anda sesak / semput sekiranya tidak dapat mengawal pernafasan. 
Changping Valley
Tiada bas disediakan di dalam kawasan Changping Valley. Pilihan yang anda ada adalah dengan berjalan / treking atau menunggang kuda dengan kos sekitar RMB200 - RMB300.
Jalan jer...lepas tu boleh makan banyak :))
Hari ini, kami hanya treking sehingga ke air terjun dan kami tiba di kawasan air terjun sekitar jam 12  tengahari. Ketinggian air terjun sekitar 3438 mdpl dengan jarak 7km.
The team
Pemandangan - sangat-sangatlah cantik, MasyaAllah! Tiada kata yang dapat mengungkapkan keindahan tersebut. 
Allah SWT berfirman di dalam Surah An-Nahl : Ayat 15 yang bermaksud:
"Dan Ia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu; dan Ia mengadakan sungai-sungai serta jalan-jalan lalu lalang, supaya kamu dapat sampai ke matlamat yang kamu tuju."
Sekitar jam 1pm, kami turun dan tiba di pintu masuk valley lebih kurang jam 230 petang. Kami menaiki bas yang seterusnya untuk kembali ke perhentian stesen bas di Ri Long. 

Kebetulan bas tersebut melalui jalan ke hostel, tak perlulah kami berjalan jauh untuk kembali ke hostel. Tiba di hostel, makan tengahari dan rehat sekejap, dan seterusnya ke Bandar Ri Long untuk membeli keperluan asas dan sedikit souvenir. Bahasa memang menjadi salah satu cabaran di sini. Seumpama ayam dan itik berbahasa, pelbagai bahasa isyarat kami gunakan. Nasib baik ada aplikasi alih bahasa di dalam HP. Bolehlah sedikit sebanyak menolong kami untuk tawar menawar dan mendapatkan harga berpatutan. Buah-buahan di sana sangat segar dan rangup terutamanya epal hijau. Epal hijau boleh didapati dengan percuma di ruang rehat hostel. 

Dari bandar Ri Long kami berjalan kaki sekitar 5km untuk kembali ke hostel. Cuaca semakin sejuk tahap menggeletar dan kami tiba semula di hostel sekitar jam 630pm.

"Oo...Allah, make us become more nearer to you and make us become a better servant in this wholly world."

Travellingbie : Pesona Siguniang Day 1

“Jom naik Gunung Siguniang”, kata salah seorang kawan saya kepada saya tahun lepas

“Siguniang? Dekat mana tuuu?”, Pertama kali saya mendengar nama Gunung Siguniang. Bila Google, rupanya Siguniang terletak di China. China merupakan negara yang "least country to visit" di dalam senarai negara kembara saya. 😂 Walaubagaimanapun, apabila melihat gambar pemandangan Siguniang dan sekitarnya, tanpa teragak-agak, terus saya membeli tiket 2 hala.

Memandangkan juga Airasia mengadakan promosi ke destinasi tersebut, saya terus membeli tiket 2 hala tanpa berfikir panjang. Selepas itu, baharulah saya mencari maklumat mengenai gunung tersebut.

Tiket penerbangan dua hala dari Kuala Lumpur ke Chengdu telah dibeli lebih kurang setahun yang lalu dengan kos kurang dari RM1000 termasuk makan dan bagasi 20kg untuk dua hala.
Persediaan bagi perjalanan trip ini dilakukan agak lewat iaitu 1 minggu sebelum dengan membeli keperluan asas dan penting. Latihan juga dilakukan agak lewat iaitu sekitar 1 bulan sebelum penerbangan.

Kos persediaan agak banyak juga memandangkan ini merupakan gunung altitud tinggi yang pertama yang akan saya daki.

14 Oktober 2017, saya Bersama 3 rakan yang lain terbang ke Chengdu dengan penerbangan Airasia D7 320. Penerbangan mengambil masa lebih kurang 4 jam 35 minit. Setibanya di Chengdu, kami menunggu lebih kurang sejam untuk ketibaan 2 lagi rakan yang menaiki pesawat yang lain.
Semua ni junior-junior belaka :D
Di Chengdu, kami mengalami kesukaran berkomunikasi kerana pemandu hanya boleh bertutur Bahasa Mandarin. Lebih kurang jam 4 petang, kami ber-enam mula bergerak ke Rilong yang mengambil masa perjalanan lebih kurang 4 jam.

Sepanjang perjalanan dari Chengdu ke Rilong, hujan mula turun membasahi bumi dan perjalanan kami ke Rilong semakin mencabar. Suhu semakin menurun, altitud semakin tinggi dan cuaca semakin sejuk. Nasib baik kereta ada pemanas suhu bagi memanaskan badan kami. 
Kredit gambar yang dipinjamkan dari team yang lain - pemandangan menuju Rilong di siang hari
Rilong berada di ketinggian 3000 meter dari paras laut (mdpl) dan sudah semestinya akan berasa pening dan mengantuk sepanjang perjalanan disebabkan perubahan aras ketinggian yang mendadak. Perjalanan naik ke Rilong semakin mencabar dengan jalan yang berlingkar dan melalui cerun gunung, ditambah pula dengan suasana gelap dan berkabus.

Kami tiba di Rilong pada jam 7.30 malam disambut oleh rakan-rakan yang terlebih dahulu sampai di sana. Suhu di Rilong pada hari pertama adalah sekitar 7’c. Terkejut badan dengan cuaca sejuk.

Sekitar jam 815pm, kami ke cafe untuk makan malam. Cafe di hostel menyediakan makanan vegetarian kepada pengunjung yang datang.
Penginapan kami di Rilong amat selesa, Guesthouse Sun and Moon menyediakan penginapan yang selesa dengan kadar yang berpatutan. Tidur pun selesa di sini kerana katil yang disediakan mempunyai pemanas.

Selepas makan, masing-masing berehat untuk aktiviti keesokan harinya yang pasti akan memenatkan.

“All travel has its advantages. If the passenger visits better countries, he may learn to improve his own. And if fortune carries him to worse, he may learn to enjoy it.” – Samuel Johnson