22 March 2015

Riadah : Hot Air Balloon Putrajaya

Sneak peak pada hari kejadian. Tak larat nak buat journal :))
 
 

16 March 2015

Ekspresi : Peribahasa seperti "mendapat pisang terkopek"

Hari ini saya belajar beberapa peribahasa yang bersangkut paut dengan keuntungan atau kesenangan tanpa bersusah payah.

Teringat pula dengan beberapa insiden dari minggu lepas sehinggalah ke hari ini. Ada yang:

  1. seperti "mendapat pisang terkopek";
  2. "seperti rusa dijumpai tiada dikejar";
  3. "seperti kura-kura kakinya tiada basah"; dan
  4. "seperti mendapat tebu rebah".
Ke semuanya bermaksud, "mendapat keuntungan dengan tidak bersusah payah". 
Ada yang setahun berkhidmat, jadi feveret boss dan mendapat APC tahun yang sama. Ada yang bekerja bertahun-tahun, dedikasi, tetapi disebabkan bukan feveret boss, jadilah seperti pekerja biasa. Bila bekerja tidak dipandang, bila tiada di marah-marah kerana tiada di pejabat. Begitulah alam nya pekerjaan. Bagi yang licik di dalam manipulasi politik kerja, untunglah mereka kerana pandai mengampu dan melayan kerenah boss. Bagi yang bekerja tulus dan lurus, tidak reti pun hendak mengampu atau melayan kerenah boss, jadilah mereka pekerja biasa-biasa.

Saya perhati dan saya ambil pengajaran, politik di pejabat memang sesuatu yang saya cuba jauhkan, lebih-lebih lagi dalam mengampu boss, melayan kerenah boss untuk mengambil hati beliau dan sebagainya. Sekiranya tidak betul, saya tegur secara ilmiah, kekadang dengan gurauan sindiran halus agar mereka mengerti pangkat tidak perlulah dimegah-megahkan dan disalahguna. Sekiranya tiada apa yang boleh saya lakukan untuk melakukan perubahan, "back-off" dan buatlah kerja masing-masing. Saya hanya buat kerja saya dan yang berkaitan untuk melancarkan operasi jabatan. Asalkan tidak mengganggu operasi kerja seharian, boss yang teruk macamana pun dan tidak mesra pekerja, tidak akan cuba mengambil tahu kebajikan pekerja di bawah lebih-lebih lagi yang paling bawah. Datangnya ke pejabat, tiada "walking management", hanya duduk di bilik yang besar dan menunggu pekerja datang kepada mereka. Ada juga bos-bos ditegur oleh big bos agar tidak terlalu mesra dengan pekerja bawahan. Hasilnya, saya hanya masuk ke bilik boss besar apabila dipanggil dan bila ada masalah yang memang tidak boleh diselesaikan atau saya buntu dalam menyelesaikan isu2 dan masalah, saya hanya jumpa boss kecil, selebihnya saya uruskan dan selesaikan sendiri. Saya rindukan big boss yang dahulu, yang sering melakukan "walking management" dan bertanyakan, bersembang dengan pekerja-pekerja bawahan seperti kami. Immediate boss pun dah berpindah sejak jumaat yang lepas. Beliau juga sering melakukan "walking management" dan pintu pejabatnya sering terbuka menerima kehadiran dan kedatangan anak-anak buah ke pejabat. 

Peringatan jugalah untuk diri sendiri, jangan terlalu ghairah untuk mengejar pangkat dan jawatan sekiranya kita belum bersedia untuk tunduk merendah diri. Semakin berisi dan semakin besar pangkat tersebut, wajiblah bagi kita untuk semakin merendah diri dan sedar bahawa tanggungjawab semakin besar untuk dipikul bukan hanya bermegah-megah dengan pangkat yang tinggi dan gaji yang besar dan bukan juga menjadi seperti lalang yang makin tinggi makin menegak sombong dan bangga diri.

"While every leader can be a boss, not every boss is a leader"
"Leaders establish equal relationships and work as a team"

“Leadership is solving problems. The day soldiers stop bringing you their problems is the day you have stopped leading them. They have either lost confidence that you can help or concluded you do not care. Either case is a failure of leadership.” ~ Colin Powell

11 March 2015

Riadah : Gunung Santubong

“I like the mountains because they make me feel small,' Jeff says. 'They help me sort out what's important in life.” ~ Mark Obmascik, Halfway to Heaven: My White-knuckled--and Knuckleheaded--Quest for the Rocky Mountain High
Minggu lepas, saya berpeluang mendaki Gunung Santubong untuk kali ke-3. Tanpa persediaan dan "training", saya menyahut cabaran sahabat saya. Niat kami hanya ingin mendaki sekadar yang mampu sahaja. Mendaki rilek-rilek dan tak nak stress, sebab kerja dah sedia maklum stresssz :))

Jam hampir 8am, kami bertolak ke Santubong dan mulakan pendakian jam 830am. Setelah hampir mendaki selama lebih kurang setengah jam, tapak kasut sahabat saya tercabut. Dilema jugak samada nak teruskan atau patah balik tukar kasut dan mendaki semula. Bila melihat kedua-dua tapak kasut tercabut, kami membuat keputusan untuk patah balik, tukar kasut dan naik semula. Di situ dah ada masa tambahan selama lebih setengah jam untuk turun dan naik semula. :))
Kami tidak berduaan pada hari tersebut. Sekumpulan pelajar dari UiTM Kota Samarahan, dan UNIMAS turut serta menyahut cabaran menjejak puncak Santubong. Semasa mendaki semula, kelihatan 2 pelajar UiTM turun semula ke jalan utama. Kami berdua menyambung perjalanan dengan langkah yang perlahan mengikut keupayaan diri.

Jam 10am, kami sampai di check point F7. Sepanjang trek sehingga F7 memang agak landai dan santai. Bermula dari F7 sehinggalah F15, maka bermulalah pendakian yang mencabar. Bagi saya memang mencabar, dengan trek mencanak dan menaik sepanjang-panjang perjalanan, lebih-lebih lagi trek mencanak hampir 90 degree menggunakan tangga bertali untuk sampai ke puncak. Dah separuh jalan, tak boleh lagi nak berpatah balik. Kami teruskan pendakian sehinggalah ke puncak dan kami tiba di puncak pada lebih kurang jam 1 tengahari. Sampai sahaja di puncak Santubong, cuaca sangat terang, kabus pun dah hilang dan matahari terik memancar. Kami tidak mengambil masa yang lama berada di puncak. Kumpulan pelajar UiTM telah berada di puncak lebih awal dari kami, dan semasa menuruni gunung tersebut, ramai lagi rupanya yang berusaha untuk sampai ke puncak.
Lutut pun dah longgar, menuruni gunung nie akan menjadikan lutut semakin longgar dan urat-urat semakin mengembang. Sepanjang perjalanan menuruni gunung tersebut, perkara yang paling mengerikan saya adalah menuruni tangga-tangga yang telah kami lalui semasa mendaki. "mendaki menggunakan tanga-tangga tersebut agak menakutkan, menuruni gunung menggunakan tanga-tangga tersebut lebih menakutkan". Perjalanan turun mengambil masa lebih kurang 2 jam. Sekiranya ada yang mampu berlari, perjalanan turun akan lebih cepat lagi.
Jam 3pm, kami sampai di tempat letak kereta. Alhamdulillah, dalam umur sebegini, kami mampu untuk menjejak puncak dan saya memang kagum dengan sahabat saya, walaupun sudah bercahayamata 2, masih mampu untuk mendaki sehingga puncak.
“Climb if you will, but remember that courage and strength are nought without prudence, and that a momentary negligence may destroy the happiness of a lifetime. Do nothing in haste; look well to each step; and from the beginning think what may be the end.” 
― Edward Whymper, Scrambles Amongst the Alps

Akhiran, saya sertakan Lirik Lagu Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang untuk tatapan semua. Tak berjumpa pulak dengan tuan puteri yang canteq sepanjang perjalanan. Jelmaan tuan puteri mungkin ada, cuma kami yang tak perasan :)) :


Oh……
Puteri Santubong,
Sejinjang sayang,
Kisah lama, Zaman mensia maya.
Puteri Santubong, Puteri Sejinjang,
Penjaga gunung Negeri Sarawak,
Manis sik ada dapat dilawan,
Anak dak Dewa turun kayangan.
Oh……
Santubong puteri bertenun kain malam,
Oh……
Sejinjang puteri menumbuk padi siang.
Satu hari nya dua kelahi,
Beranuk anuk sik renti-renti,
Seorang madah dirik bagus agik,
Seorang sik ngalah walau sampai ke mati.
Udah lejuk nya duak kelahi,
Lalu bertukuk nya duak puteri,
Sejinjang mengayun aluk ke pipi,
Tebik Santubong sampai gituk ari.
Tapi Santubong membalas juak,
Lalu ditikam batang belidak,
Sampei terkena Sejinjang kepala,
Lalu bertabor jadi Pulo Kera.
Kisah Santubong, kisah Sejinjang,
Asal berkawan jadi musuhan,
Kinik tuk tinggal jadi kenangan,
Pakei ingatan sepanjang zaman.

04 March 2015

Ekspresi : Perihal Keputusan SPM dan STPM

"Bila kamu tak tahan lelahnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya kebodohan.” - Imam Syafie 

Keputusan SPM telah keluar semalam dan keputusan STPM telah keluar 2 hari yang lepas. Bagi anak-anak yang berjaya TAHNIAH diucapkan. Bagi yang tidak mendapat keputusan yang memberansangkan, jangan kecewa dan teruskan usaha kerna kehidupan sebenar baru sahaja bermula.

Tidak dinafikan bahawa , keputusan peperiksaan menjadi salah satu langkah untuk berjaya. Berjaya atau tidaknya seseorang itu, bagi saya bukan bergantung kepada keputusan peperiksaan semata-mata. Banyak faktor lain yang menyumbang kepada kejayaan seseorang, antaranya faktor sikap, sokongan dari keluarga dan rakan sebaya, keadaan sekelliling. Yang paling penting adalah sikap. Bagaimana sikap kita menerima kegagalan dan menjadikan kegagalan itu satu kejayaan. Bagi anak-anak lepasan SPM dan STPM, sekiranya anda tidak mendapat keputusan yang diidamkan, jangan cepat kecewa. Peluang untuk berjaya bermula di situ. Peluang untuk belajar ke peringkat tinggi amat banyak sekali, sama ada di dalam akademik atau kemahiran. Yang penting, intai-intai peluang yang ada, jangan duduk berpeluk tubuh sahaja mengharapkan bantuan datang di depan mata.

Pelajar yang cemerlang, belum tentu berjaya di dalam kehidupan dan ada juga yang saya lihat cemerlang di dalam peperiksaan, tetapi kejayaan hanya yang biasa-biasa sahaja. Ada yang tidak cemerlang di dalam peperiksaan, tetapi menjadi kejayaan dalam kehidupan menjadi viral kepada masyarakat sekeliling. Sikap seseorang dan tindakan di dalam mengatasi sebarang masalah itulah yang lebih menentukan kejayaan seseorang.

Dan yang penting sekali, ketahuilah...kehidupan adalah satu proses pembelajaran yang panjang. Selagi kita bernafas di bumi Allah SWT ini, selagi itulah kita perlu belajar. Jangan sesekali kita merasa diri cukup pandai kerna ilmu Allah ini sangat meluas. 

Dari Abu Said'al-Khudri r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
"Amal yang utama di atas bumi ini tiga: Penuntut ilmu,jihad dan usaha kerja, kerana penuntut ilmu itu kekasih Allah, dan pejuang jihad waliyullah dan yang usaha pekerjaan siddiqullah(orang yang bersungguh-sungguh membenarkan kepada Allah)".~(Hadith diriwayatkan Abu Laith al-Samarqandi dalam Tanbih al-Ghafilin)

Carilah ilmu dengan tujuan untuk memperbaiki diri, sekaligus menjadikan kita lebih rendah diri dan bukannya untuk berlagak pandai atau ingin menunjukkan kita pandai dari orang lain. Kita mungkin mahir di dalam bidang kita, tetapi belum tentu kita mahir dalam segala bidang. 

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” – Surah Al-’Ankabuut 29 : 69

Akhir kalam, beruntunglah bagi kita yang sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri. Bagi anak-anak lepasan SPM dan STPM, teruskan belajar sama ada akademik, kemahiran atau dalam kehidupan kerna orang yang paling beruntung adalah orang yang mahu belajar dan memperbaiki diri dari semasa ke semasa.

“Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.” – Surah Al-Baqarah [2] : 269

Allahu Ta'ala A'lam