28 November 2014

Ibrah hari ini - Ujian tanpa persediaan

“To be better equipped for the tests that the year will bring — read a textbook. To prepare for the tests that life will bring — read a book.” ~― Mokokoma Mokhonoana

"Exam...please be nice"...harapan demi harapan mula disemai sebelum peperiksaan lagi. Dan dalam masa yang sama, saya tidak berkesempatan untuk membelek-belek nota dengan lebih lama. Siang harinya dikejar bebanan yang tidak berkesudahan, bila malamnya kesakitan mula melanda. Akhirnya nota-nota "online" tersadai di depan mata.

Anda rasa anda akan lulus ke sekiranya tidak membaca buku berkaitan dengan peperiksaan anda? Hanya orang yang hilang akal sahaja yang sentiasa berharap agar keajaiban berlaku terhadap sesuatu yang dia tidak usahakan.

Begitu jugalah kesahnya untuk hari ini. Hari ini, saya belajar sesuatu walaupun saya dah tahu. Kejayaan tidak akan tercapai tanpa sebarang usaha. Anda tidak akan kenyang sekiranya tiada usaha anda untuk menyuapkan makanan di dalam mulut anda. Kalaupun orang lain yang menyuapkan makanan tersebut, anda tidak akan kenyang sekiranya anda sendiri tidak berusaha untuk mengunyah makanan yang telah dimasukkan ke dalam mulut anda oleh orang lain.

Saya mengimpikan kejayaan lulus hari ini, yang memang saya dah tahu mustahil. Apatah lagi subjek tersebut belum pernah saya alami sendiri secara praktikal dan teori. Saya hanya tahu "surface" sahaja. Bagaimanalah mahu lulus sekiranya pengetahuan yang ada sangat sedikit. Natijahnya, kedua-dua peperiksaan tersebut mengalami kegagalan. Terpaksa la nanti ambil semula ujian tersebut. Nasib baik kali ini, voucher exam diberi percuma oleh Microsoft!

Lagi satu penyakit kita adalah.....
Bila diberi sesuatu yang PERCUMA, kita selalunya tidak menghargai kepercumaan itu. Nilai ujian ini adalah RM332.00 bagi 1 ujian. Kalau 2 ujian dah berjumlah RM664.00 dan saya boleh membeli sebentuk cincin untuk diri saya. Begitulah kita, benda-benda free yang kita dapat selalu kita ambil remeh. Kadang-kadang orang bagi sesuatu yang FREE adalah sebagai tanda ingatan terhadap diri kita dan selalu juga kita tidak hargainya. Terkena lagi pada diri saya! Saya jarang menerima sesuatu yang percuma. Kalau percuma pun, contohnya suatu ketika dahulu saya menerima voucher RM200 dari Airasia secara percuma pun dah rasa seperti hendak melompat-lompat dan saya terus gunakan untuk membeli tiket yang lain. Lain pula dengan voucher percuma ini, sepatutnya saya gunakan dengan sebaik-baiknya, ulangkaji, buat praktikal dan sebagainya. Hadiah percuma yang mahal yang saya tidak hargai ini merupakan satu kerugian bagi diri saya. Entah bila lagi saya nak dapatkan nilai percuma yang tinggi seperti ini....

hmmm...Lain kali nampaknya kene buat persediaan dan buat ulangkaji dan praktikal. Markah sangat-sangatlah tidak memberangsangkan dan banyak yang perlu diperbaiki selepas ini. Kalau nak berjaya kene rajin, study smart dan jangan sekali-kali memngharapkan magik!

Peringatan buat diri sendiri jua!

Walaubagaimanapun, saya belajar banyak juga hari ini:
  1. Lokasi ujian di Amcorp Mall adalah sangat-sangat tidak sesuai bagi yang membawa kenderaan kerana caj tempat letak kereta yang mahal;
  2. Lebih baik naik LRT terus ke Amcorp Mall;
  3. Terpaksa menunggu di A&W sebelum ujian petang bermula;
  4. Solat zohor pula di Hotel Shah Village, nasib baikla ade. Walaupun begitu, di dalam Amcorp Mall sendiri ada surau, cumanya saya perlu topup duit parking  berdekatan dengan Hotel Shah Village untuk mengelakkan dari disaman;
  5. Dari rumah ke Amcorp Mall melalui Federal Highway, kesesakan luar biasa;
  6. Balik jam 5pm selepas habis sesi ujian ke-2 juga terpaksa menempuh kesesakan luar biasa. Kene bersabar sentiasa;
  7. Walaupun saya cuti exam, kerja pejabat terpaksa juga dibuat. Life goes on...bila mati ja baru lah ada orang lain yang akan menggantikan kerja kita.

27 November 2014

Bacaan: Bab Akhir - Kita hidup dan Kita akan Mati

Di saat anda membaca entri ini, beruntunglah anda kerana masih hidup. Dan pastinya suatu hari nanti kita akan mati. Pilihan anda, sama ada untuk mati kaya ataupun mati miskin. Pilihan di tangan anda.

Kenapa saya mengatakan begitu??? Saya percaya, nasib seseorang itu ditentukan atas sikap seseorang terhadap kehidupan dirinya sendiri dan bukan orang lain. Memang Allah swt telah tetapkan beberapa perkara yang diluar pengetahuan akli kita seperti saat kematian, rezeki, jodoh dan sebagainya. Tetapi, kita tidak boleh menjadikan alasan tersebut untuk tidak berbuat sesuatu agar pengakhiran hidup kita berada di dalam keadaan yang baik.

Bagaimana untuk mati kaya dan kematian kita itu tidak menyusahkan ahli keluarga yang lain???
Salah satunya dengan Insuran hayat. Tetapi berapa ramai pula lah dikalangan kita yang mempunyai insuran hayat yang boleh menampung bayaran untuk semua hutang piutang kita - hutang kad kredit, hutang kereta, hutang rumah, hutang perniagaan, hutang peribadi, hutang PTPTN dan segala jenis hutang yang ada di dunia ini?

Sekiranya insuran hayat pun tiada, apatah lagi wasiat atau perancangan harta pusaka.

Setengah orang beranggapan bahawa, perancangan harta pusaka ini:
  1. hanyalah untuk orang tua sahaja;
  2. terlalu sibuk untuk memikirkannya;
  3. kelliru dengan maklumat yang bercanggah sehingga menjauhkannya;
  4. fikir ianya terlalu rumit;
  5. merancang harta pusaka akan mempercepatkan kematian mereka;
  6. tidak terfikir untuk melakukannya.
Dengan anggapan dan pemikiran seperti ini, menerangkan mengapa harta pusaka bernilai lebih RM42billion masih tidak dapat diselesaikan sehingga hari ini.
Mahukah anda sekiranya harta yang anda ada, diserahkan kepada yang tidak sepatut mendapatnya? Selain pembahagian harta pusaka melalui Faraid, kita boleh membuat perancangan harta pusaka tersebut.

Terdapat 4 langkah dalam merancang harta pusaka:
  1. mengenal pasti aset anda - senaraikan semua aset-aset anda termasuk bank akaun, emas dan perak, hartanah, unit saham dsb;
  2. mengenal pasti waris-waris anda - keluarga anda, badan-badan amal, sekolah, dsb;
  3. mengenal pasti bagaimana untuk memindahkan aset anda;
  4. mengenal pasti masa untuk memindahkan aset anda.
Setelah anda kenal pasti langkah 1 dan 2, mulalah dengan mengumpulkan dokumen-dokumen yang berkaitan di dalam 1 fail - salinan surat beranak anda, salinan IC, salinan semua buku bank, salinan semua dokumen hartanah dll.

Harta anda - Anda lah yang berhak menentukan siapa yang mendapat harta tersebut. Perancangan harta pusaka anda mungkin tidak akan menggembirakan semua pihak. Mungkin ada pihak yang beranggapan dan percaya bahawa mereka layak menerima harta tersebut lebih dari orang lain. Pedulikan mereka, kerana harta tersebut bukan harta mereka. Hanya anda lah yang layak menentukan siapa mendapat harta anda tersebut.

Akhir kalam, hidup ini singkat! Perjalanan hidup kita yang singkat ini tidaklah selamanya lancar sepanjang masa. Adakalanya ribut taufan melanda, adakalanya tenang sejuk mendamaikan dan adakalanya tiada perasaan apa-apa. Kesilapan banyak dilakukan sepanjang kehidupan kita dan akan timbul juga penyesalan. Banyak perkara yang ingin kita ubah, banyak perkara yang ingin kita lakukan dan banyak perkara yang kita menyesal kita ucapkan. Semuanya adalah pengajaran dan pembelajaran sepanjang kehidupan. Jadilah yang lebih baik, belajar dari kesilapan, turun kan ego kita sekiranya ianya boleh membuatkan orang lain gembira. Bukankah menggembirakan hati orang lain itu secara tidak langsungnya menggembirakan hati kita. Hiduplah dengan tenang, hiduplah dengan kaya dan mati juga dalam kekayaan!

Untuk menjadi kaya, anda perlu melakukan banyak perkara. Banyak perkara tersebut, memerlukan masa dan kerja yang banyak. Lakukan dengan kapasiti anda sendiri, tidak perlulah melakukan 10 perkara dalam 1 masa. Bermulalah dengan perlahan dan seterusnya kejar dengan laju secara konsisten. Jangan sekali-kali berhenti. Tabiat yang kecil dan konsisten akan menentukan kejayaan diri anda. Ianya akan membuatkan anda tidak selesa, sakit, sulit dan sebagainya. Anggaplah ianya sebagai cabaran dan ujian untuk anda!

Ramai dari kita menunjuk-nunjuk kekayaan yang sebenarnya hutang dan beban pada kita - kereta mewah, rumah besar, handbag berjenama, kasut berjenama, tudung berjenama mewah dan lain-lain lagi. Cari kekayaan dahulu, barulah hidup kaya! Jadi Kaya, Hidup Kaya dan Mati Kaya.

“Dari Abu Hurairah ra: Rasulullah saw bersabda, “Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta benda tetapi kekayaan yang sebenarnya adalah kekayaan hati.” (HR Bukhari & Muslim)

Allah berfirman di dalam Surah Ali-Imran: 10-11 yang bermaksud:
“Sebenarnya harta benda orang-orang kafir, dan juga anak-pinak mereka tidak sekali-kali akan menyelamatkan mereka dari (azab seksa) Allah sedikit juapun; dan mereka itulah bahan bakaran api neraka. (Keadaan orang-orang kafir itu) sama seperti keadaan kaum Firaun, dan orang-orang yang terdahulu dari mereka; mereka mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha berat azab seksaNya."

Bacaan: Krisis Kewangan - Apa yang perlu dilakukan???

Ya! Apa yang perlu anda lakukan untuk melindungi diri anda sekiranya berlaku krisis kewangan yang hebat nanti.

  1. Tingkatkan dana rizab anda sekurang-kurangnya 1 tahun;
  2. Kurangkan hutang anda terutamanya hutang yang besar;
  3. Tukar gadai janji kadar faedah berubah kepada kadar tetap;
  4. Melabur di dalam emas dan perak - selain dari unit amanah dsb;
  5. Wujudkan sumber pendapatan pelbagai (SPP) - pendapatan tambahan melalui rumah sewa dsb, tanah untuk berkebun dan hasilnya dijual, perniagaan online dan sebagainya.
Kehidupan di masa darurat bukanlah satu kehidupan yang mudah, senang dan selesa. Namun, ketidakselesaan tersebut boleh diatasi sekiranya kita bersedia menghadapi bencana tersebut. Ambil langkah dan tindakan. Amatlah malu apabila kita kehilangan banyak benda yang dimiliki kerana kita tidak mengambil apa-apa tindakan apabila berlaku krisis.

Bacaan: Pesanan Untuk Hari Yang Malang

Kehidupan ini bukanlah sentiasa berada di dalam keadaan yang menyenangkan, menggembirakan dan mententeramkan. Begitu jugalah situasinya dengan kewangan kita.

Tuan Azizi berkongsi hasil tulisan Mihaly Czikszentmihaly di dalam bukunya bertajuk Flow:
"Tetapi ada masanya perasaan seseorang yang berasa selamat di dalam dakapan dunia akan menjadi satu bahaya kepadanya. Rasa percaya yang tidak realistik, dalam mitos kebudayaan, boleh membawa kepada satu perasaan kekecewaan yang melampau apabila mereka gagal. Ini akan berlaku apabila sesuatu budaya berjaya mengawal kuasa alam untuk sementara waktu. Pada waktu itu, adalah logik untuk mempercayai bahawa mereka adalah insan yang dipilih dan tidak perlu berasa takut dengan apa-apa cabaran dunia.  Empayar Rom tiba di saat ini dan jatuh setelah bertahun-tahun menguasai Mediterranean. Maharaja China yakin yang mereka amat berkuasa sehinggalah dikalahkan oleh orang Mongol dan begitu juga pendapat orang Aztec sebelum ketibaan orang Sepanyol".

Kadang-kadang krisis kewangan berlaku bukan disebabkan oleh kita sebagai individu. Ianya berlaku disebabkan oleh beberapa faktor:

  1. Krisis kewangan dunia - keruntuhan sistem kewangan merupakan ancaman yang tidak berdaftar. Kita tidak mendapat ancaman tersebut semerta. Namun, kita perlu peka terhadap signal-signal yang diberikan kepada dunia mengenai ancaman tersebut dan itulah masanya kita membuat jangkaan dan penilaian serta tindakan seterusnya. Walaubagaimanapun, kebanyakan dari kita beranggapan bahawa kesan krisis kewangan dunia tidak begitu mendalam kepada kita dan kita masih boleh tersenyum sekiranya berlaku krisis tersebut kerana kita ada kerajaan yang akan menguruskan semuanya. Ingatlah mengenai krisis tahun 1998 yang membawa kesan besar kepada negara sehinggalah hari ini. Percayalah! hidup akan berbeza sekiranya berlaku keruntuhan sistem. Bukan hanya saham, tetapi perbankan, bon, unit amanah, mata wang dan yang jelasnya derivatif-keseluruhannya akan terjejas;
  2. Kejatuhan pemerintahan dunia / keadaan politik dunia yang tidak stabil -  kerajaan Amerika percaya bahawa mereka merupakan pemerintah dunia dan akan memerintah sampai bila-bila. Lihat kembali sejarah kejatuhan Amerika yang menyebabkan "The Great Depression" suatu masa dahulu. Ianya tidak mustahil akan berlaku lagi pada masa terdekat ataupun masa-masa akan datang.
  3. Kebarangkalian dollar US akan runtuh - Dolar US merupakan mata wang rizab dunia. Ini bermaksud hampir semua dagangan dunia dijalankan menggunakan dolar. Perdagangan di antara 2 negara asing juga menggunakan dolar. Kebergantungan kepada dolar ini sebenarnya amat menakutkan. Dolar pernah mengalami kejatuhan yang teruk sehingga menyebabkan berlakunya The Great Depression dalam sekitar tahun 1930-an. 
  4. Hutang besar negara-negara utama - Morgan Stanley telah menerbitkan laporan dalam tahun 2009 menunjukkan 7 daripada 10 buah negara ekonomi terbesar mempunyai tahap hutang yang besar. Belum lagi menunjukkan laporan dalam tahun 2013, mengenai prestasi hutang-hutang negara ekonomi terbesar ini dan ianya mungkin akan menakutkan!
Di dalam laporan World Economics Situation and Prospect 2014, melaporkan kadar pengangguran di Malaysia dianggarkan di bawah 3%. Walaubagaimanapun, situasi yang saya lihat sekarang ini, mengenai kebanjiran pekerja asing yang menjadikan Malaysia sebagai lubuk emas dan berlian mereka boleh dianggap menakutkan. Dan dalam masa yang sama, rakyat mengeluh tidak mendapat pekerjaan yang sesuai dan setara. Sama ada, rakyat Malaysia memilih kerja dan tidak kreatif di dalam kelangsungan hidup masing-masing atau majikan lebih suka mengambil pekerja asing yang murah dan lebih rajin bekerja, tidak lah saya ketahui.

Apa yang perlu kita lakukan untuk melindungi diri kita dan keluarga kita sekiranya berlaku krisis kewangan  di masa hadapan???? - bersambung...

24 November 2014

Bacaan : Maharaja Wang - Melabur setiap masa???

#Reading time
#MaharajaWang #AziziAli

Anda tidak perlu melabur sepanjang masa.
Pelaburan seumpama menanam padi-ada masa menanam,ada masa menunggu dan ada masa menuai. Selalu kita mendapat hasil tuaian. Kadang2 padi yg kita semai, sedang menguning dan sedia untuk dituai, tiba2 kawasan dilanda bencana banjir yang tidak disangka2. Begitu jugalah dengan pelaburan.
Dalam pelaburan, ada kalanya kita perlu menunggu, buat kajian dan kadang2 kita tak perlu berbuat apa2. Jangan gelojoh tetapi nantikan peluang keemasan yang lebih tinggi kerna dengan tidak berbuat apa2 anda mungkin akan rugi dan jatuh miskin tidak mengambil peluang keemasan yang datang.

3 soalan yang anda perlu tanya kepada perancang kewangan anda:
1) adakah anda juga melabur di dalam produk ini?
2) berapa banyak yang anda beli?
3) berapakah pulangan tahunan produk ini dalam jangka 3 tahun?

Anda mungkin akan terkejut kerana perancang kewangan anda tidak mengambil atau hanya melabur sedikit sahaja dlm produk yg dicadangkan...ada sesuatu yg x kena di sini. Anda dicadangkan agar mencari professional yg berjaya dalam pelaburannya dan bukannya tukang jual produk.

Selamat melabur dengan berhikmah 

23 November 2014

Bacaan: Wang dan Kebahagiaan

Setiap orang ingin hidup bahagia. Hidup bahagia adalah matlamat utama kehidupan. Ada yang mengukur bahagia dengan kebendaan. Ada juga yang mengukur bahagia dengan spiritual dan ada yang mengukur kebahagiaan dengan kedua-duanya. 

Bahagia adalah sesuatu yang sangat subjektif. Banyak perkara yang membuat kita bahagia dan banyak perkara yang perlu kita lakukan untuk menjadi dan hidup bahagia.

Tetapi mengapa ramai yang mengimpikan hidup bahagia menjadi orang yg hidupnya sengsara??? Ataupun ramai yang tidak hidup dalam sengsara, tetapi tidak juga hidup bahagia??? Kebahagiaan tidak diajar di sekolah, mahupun di kolej2 atau universiti. Kebahagiaan yang berpanjangan memerlukan kerja keras!

Ramai diantara kita memberi pilihan pada diri sendiri - sama ada untuk menjadi kaya atau bahagia. Kenapa kita tidak memilih untuk mendapatkan kedua-duanya??? Benar!!! Tidak semua orang kaya mempunyai kehidupan yang bahagia. Tetapi orang yang tidak ber-wang akan selalunya tidak bahagia, sentiasa mengeluh kesah kerana kesempitan wang. Wang hanyalah sebagai pendorong untuk bahagia. Wang bukanlah penentu kebahagiaan, tetapi kita perlukan wang untuk hidup. Ianya menguatkan sikap atau perasaan yangbada dalam diri seseorang.

Contoh paling senang, pasangan yang ingin berkahwin akan berasa bahagia disaat tibanya hari bersejarah mereka. Dengan majlis yang meriah dan besar-besaran bagi kedua-dua keluarga, pasangan ini lupa sementara bahawa majlis gilang gemilang itu terhasil dari pinjaman. Selepas bernikah, nikmat dan bahagia itu semakin berkurang kerna dibebani hutang yang mungkin akan selesai 10 tahun lagi. Dalam masa yang sama, tanggungawab keduanya semakin bertambah dengan kehadiran cahaya2 mata. Tanggungjawab bertambah, hutang juga bertambah. Bahagia pun entah ke mana pada waktu itu jika keduanya tidak pandai menguruskan kewangan. 

Sebab itulah, wang boleh menjadi pendorong untuk bahagia, tetapi tidak semestinya bila ada wang, seseorang itu bahagia. Kan dari awal lagi saya katakan..."bahagia itu suatu yang subjektif!"

Tips dari Tuan Azizi untuk mencapai kebahagiaan:
  1. nikmatilah apa yang anda miliki. Bergembiralah dan dapatkan sebanyak mungkin kepuasan daripadanya. Walaupun anda mengimpikan kereta Wald yang lebih mewah, nikmatilah kereta kecil yang anda miliki dan bergembiralah, kerana tujuannya adalah sama, untuk sampai ke destinasi....
  2. kejayaan berada di sepanjang perjalanan hidup anda sama ada gagal atau kecewa atau terluka, nikmati setiap minit perjalanan kehidupan anda. 40 tahun perjalanan hidup adalah sangat singkat, mungkin anda akan dapat menikmati kehidupan yang menyeronokkan untuk 20 tahun akan datang atau 1 saat akan datang. Bergembiralah kerana anda masih lagi bernafas untuk menikmati kehidupan. Ambillah masa untuk menikmati pemandangan sepanjang perjalanan kehidupan anda!
  3. lebih baik sekiranya anda mengasingkan kebahagiaan daripada kebendaan! Kebahagiaan boleh anda bawa ke mana-mana. 
  4. adalah penting untuk kita ketahui apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh wang. Wang boleh memberi keselesaan fizikal dan mental, tetapi ianya tidak dapat memberi kebahagiaan yang berpanjangan.
  5. jalani kehidupan tanpa memiliki banyak barangan. Mudahkan kehidupan anda. Berani berkata 'tidak' pada seseorang, pelaburan dan peluang-peluang yang ada. Tidak ada peraturan yang mengatakan anda mesti merebut semua peluang yang muncul di depan mata.
  6. lakukan perkara yang anda seronok dan suka lakukan pada kadar-kadar tertentu. Hidup ini terlalu singkat untuk melakukan hal-hal yang sebaliknya!
  7. bekerja dan berseronok. Nikmati pekerjaan anda dan berseronoklah di dalam melakukannya
  8. menyerah kepada ketenangan. Kadang-kadang, kita tidak akan dapat mengubah sesuatu yang berada di luar kawalan kita. Oleh itu, ubahlah diri kita atau kita kene keluar dari kawasan yang tidak akan dapat kita ubah itu. Kesannya, kita akan lebih bahagia, sihat, kaya dan tenteram jiwa.
  9. nikmatilah kesepian dan rasa berseorangan. Nikmatilah perasaan bersendiri. Apabila anda boleh berasa bahagia bila berseorangan, anda tidak perlukan orang lain untuk merasa bahagia...

Berbahagialah apabila anda menjadi kaya, kerana anda telah membantu mengurangkan seorang miskin di dunia. Dengan kaya, anda boleh membantu yang miskin menjadi kaya, anda boleh melipat gandakan kebaikan berbanding semasa miskin, anda dapat membantu mereka yang memerlukan bantuan...maka berseronoklah sekiranya anda seorang yang kaya atau bercita-cita menjadi kaya kerna banyak kebaikan dan jasa yang boleh anda lakukan semasa hidup di dunia. Akhirnya nanti bahagia di sana tujuan kita yang sebenarnya. Jika kita tidak bahagia di dunia, bagaimana mungkin kita akan bahagia di sana???

Bacaan: Maharaja Wang - Berhutang

Untuk membina kekayaan, berhutang adalah rahsianya.

Mula-mulanya saya tidak faham kenapa perlu berhutang, lebih2 lagi apabila Tuan pengarang buku mengatakan bahawa semakin besar hutang, semakin cepat menjadi kaya.

Mengapa mesti meminjam???
Sekiranya anda seorang yang kaya raya seperti Al-Bukhary atau Bill Gates, anda boleh membeli kebanyakan semuanya dengan tunai. Namun hakikatnya kita bukanlah mereka, apatah lagi waris mereka. Maka, untuk menggandakan kekayaan kita, kita perlu berhutang dahulu untuk mewujudkan kekayaan. Kebanyakan semua orang mempunyai modal yang terhad. Bezanya dengan yang sudah kaya raya adalah, had mereka lebih tinggi dari kebanyakan orang.

Berhutang adalah seperti membela seekor harimau atau banyak harimau. Sekiranya anda tahu apa yang anda lakukan, anda akan memperolehi pendapatan yang lumayan dan membuat keuntungan dengannya. Namun anda perlu berhati2 kerana kesilapan boleh memberi akibat yang sangat serius. Kebinasaan akibat hutang memberi kesan yang buruk dalam kehidupan.

Di dalam bidang hartanah, peminjam bagi hartanah akan menyedari bahawa keuntungan besar berdasarkan 2 andaian, iaitu 1) nilai hartanah meningkat dari semasa ke semasa, 2) peminjam membiat pembayaran gadaian bulanan dengan lancar. Yang ini dipanggil sebagai "a perfect assumption". Kita mengandaikan bahawa peminjam tidak menghadapi sebarang risiko dibuang kerja, tidak mampu bekerja dan sebagainya, serta tiada masalah di dalam komitmen untuk membuat bayaran bulanan.

Kita perlu tahu bila masanya kita perlu meminjam...
Kita perlu meminjam sekiranya kita tahu yang kita akan menjana lebih wang dengan pinjaman berkenaan. Kita meminjam apabila pulangan dari pelaburan melebihi kadar pinjaman. Contoh: kadar pinjaman = 6%. Kadar pulangan keuntungan pelaburan pula = 10% atau lebih.

Sekiranya anda tidak menjumpai pelaburan yang boleh menghasilkan pulangan yang tinggi berbanding faedah yang dikenakan..mmmmm usahlah meminjam. Anda hanya menjerut leher anda sendiri.

Bagi pendapat peribadi saya, pinjaman membuatkan saya tidak nyenyak tidur malam. Di hujung bulan saya berasa risau melihat penyata gaji yang berkurang disebabkan pinjaman peribadi ditolak dari gaji. Akhirnya saya nekad untuk melangsaikan pinjaman peribadi tersebut sebelum Aidilfitri yang lepas. Pihak bank pun pelik dengan tindakan pelanggannya yang seorang ini, kerana yang mereka terima kebanyakan dari pelanggan sebelum perayaan adalah permohonan pinjaman peribadi. Saya pula hendak melangsaikan hutang tersebut. Tapi, saya perlulah tegaskan di sini bahawa saya bukanlah seorang yang kaya. Saya bukannya jutawan...saya hanya mahu hidup bebas dari hutang. Apa yang saya berhutang sekarang ini hanyalah pinjaman perumahan dan saya berusaha untuk melangsaikan hutang tersebut secepat yang mungkin juga. Saya tidak begitu percaya untuk membuat pinjaman peribadi untuk melangsaikan hutang rumah. Ianya seperti mengorek lubang lain untuk menutup lubang yang lain. Kaedahya mungkin berbeza, tetapi nyatanya, masih ada 2 lubang yang menjadi beban kepada kita.

Saranan berhutang untuk menjana kekayaan ini mungkin tidak sesuai untuk saya. Saya masih seorang yang konvensional di dalam membuat pelaburan...


18 November 2014

Bacaan: Maharaja Wang - Pelaburan

“An investment in knowledge pays the best interest.” ~Benjamin Franklin

Dalam membuat mana-mana pelaburan, kita kene ada ilmu. Tanpa ilmu, anda berisiko besar menghadapi kerugian samada besar atau kecil, ratus ringgit atau beribu ringgit atau puluhan ribu, tanpa ilmu juga anda akan menjadi pelabur yang gopoh dan pendek akal.
Sebelum membuat apa-apa pelaburan, kajian terperinci perlu dilakukan oleh mana-mana pelabur. Sama ada, anda ingin melabur di dalam hartanah, unit saham, emas dan sebagainya, anda perlu buat kajian.

Dari mana-mana buku yang saya baca mengenai hartanah, bukan senang untuk membeli hartanah, dan bukan juga susah untuk membeli hartanah. Yang penting, kita kene ada ilmu. Ilmu menilai, ilmu membuat kajian, ilmu menafsir lokasi, ilmu menganggarkan nilai dan sebagainya. Ration 100:10:1 mungkin boleh dijadikan kayu ukuran untuk membeli rumah bagi kediaman impian anda atau untuk pelaburan. Lawatilah banyak rumah contoh dan dapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenai kawasan persekitaran, apa yang ditawarkan, projek-projek mega yang bakal dimajukan di sekitarnya dan lain-lain lagi. Terpesonalah dengan keindahan dan kecantikan susun atur reka dalaman rumah contoh berkenaan, tetapi jangan terlalu leka dengan janji-janji manis sang penjual kerana ianya mungkin akan merugikan kita.

Jangan cepat gelojoh dengan tawaran yang diberikan, anda telah diingatkan berulang-ulang kali bahawa anda perlu membuat kajian di dalam sesuatu pelaburan. Sekiranya anda ingin melabur di dalam hartanah, dalami lah ilmu hartanah dengan membaca banyak buku-buku yang berkaitan, dengan mendapatkan maklumat dari Internet sebagai maklumat tambahan, dengan menghadiri seminar-seminar yang berkaitan dan sebagainya. Bila ilmu penuh di dada, barulah anda dapat membuat penilaian yang mungkin akan memberi keuntungan yang besar kepada anda. Saya tidak nafikan, ada juga keburukan di dalam melakukan kajian yang mendalam dan agak lama terhadap sesuatu pelaburan di mana anda berkemungkinan akan terlepas peluang yang menguntungkan anda.

Siapa kata, pelaburan sentiasa berakhir dengan keuntungan, sama ada besar atau kecil??? Semakin tinggi keuntungan sesuatu pelaburan, semakin tinggi risiko yang akan anda hadapi. Persoalannya sekarang ini, "adakah anda sanggup mengambil risiko tersebut"???. Jadinya, untuk mengurangkan risiko, anda perlu ada ilmu pengetahuan!

Knowledge is power. Information is liberating. Education is the premise of progress, in every society, in every family.~Kofi Annan

15 November 2014

Quotes: Syukur

Bila Allah SWT mahu berikan kebaikan pada hamba-Nya, Dia menguji nya dengan kasih sayang. Bila Allah SWT menjauh dari hamba-Nya, Dia limpahkan dengan nikmat harta kekayaan, kesenangan dan segala nikmat di dunia sehingga hamba-Nya lupa padaNya. Mudah-mudahan hati kita yang selalu dibolak balikkan ini sentiasa syukur dan redha dengan nikmat dan ujian dunya...

Alhamdulillah 'ala kulli haal

Quotes: Commitment

Mental toughness is built by doing something that is hard over and over again, especially when you don't feel like doing it. Our society has conditioned us to believe that there should be no discomfort, to stop when we are uncomfortable. But the discomfort we feel when we're doing a challenging workout is an important part of the strengthening process. Push through your down days when you're not feeling your best (unless, of course, you are injured or ill). Dogged determination requires keeping your feet moving forward through inconveniences, discomfort, and insecurities to reach your goals. - Jim Afremow


"Unless commitment is made, there are only promises and hopes; but no plans." ―Peter F. Drucker

“Desire is the key to motivation, but it’s determination and commitment to an unrelenting pursuit of your goal – a commitment to excellence – that will enable you to attain the success you seek.” -Mario Andretti

Indeed, whatever we do, commitment is vital. It's crucial for us to achieve our goal either in life or in working environment.

13 November 2014

Bedah Buku : Maharaja Wang : Manfaatkan Sepenuhnya Insuran

If a child, a spouse, a life partner, or a parent depends on you and your income, you need life insurance.~Suze Orman

Saya berpendapat, hampir setiap orang perlukan insuran. Tetapi insuran yang bagaimana itu, terpulang kepada keperluan masing-masing.

Yang perlu anda tahu mengenai insuran adalah = insuran adalah instrumen kewangan yang hebat, sekiranya anda menggunakannya dengan betul.

Apakah tujuan insuran??? - untuk melindungi anda daripada mengalami kerugian kewangan yang lebih besar seperti rawatan pembedahan atau perubatan, rumah, kereta dan sebagainya. Anda tidak perlu mengambil insuran untuk perkara-perkara yang rendah nilainya.

Bagi seorang yang mempunyai tanggungan, memang sesuai untuk mengambil insuran hayat kerana mereka mempunyai tanggungan. Sekiranya mereka meninggal, yang ditanggung sekurang-kurangnya akan mendapat pampasan kewangan. Bagi yang tiada tanggungan, tidak perlulah mengambil insuran hayat, dan dicadangkan untuk mengambil insuran bertempoh dengan membayar premium yang rendah. Anda dilindungi dan lebihan wang anda itu bolehlah dilaburkan ke tempat yang lain. Jangan bazirkan wang pendapatan anda untuk sesuatu yang anda tidak akan dapat nikmati, kerana yang akan mendapat wang tersebut adalah waris anda. Itupun selepas anda meninggalkan dunia ini.

Berapa pula nilai perlindungan yang perlu diambil??
Tuan Azizi Ali mencadangkan  = dengan mendarabkan pendapatan tahunan sebanyak 5 kali. Contoh:
Pendapatan tahunan = RM100,000.00 x 5 = RM500,000. - jumlah yang mencukupi untuk memberi pendapatan kepada waris anda.


Biasa dengan ayat-ayat power ini dari agen insuran???
  1. Anda patut membeli pada usia muda kerana anda mungkin tidak akan dapat diinsurakan pada masa hadapan;
  2. Anda akan memperolehi sejumlah wang yang banyak di akhir polisi nanti;
  3. Sekiranya anda berhenti membayar sekarang, anda akan kehilangan semua yang anda telah bayar;
  4. dan lain-lain lagi ayat power...
Saya pernah menghadapinya...biasanya agen insuran ini akan memainkan emosi kita apabila mempromosikan produk mereka. Mereka akan menyentuh emosi kita dan dengan senang sahaja kita akan bersetuju dengan cadangan mereka. Selepas mendapat bayaran, dan lebih beruntung lagi, kita membuat bayaran melalui sama ada auto debit bank ataupun di cajkan kepada kad kredit, selalunya agen-agen ini akan melupakan kita kerana mereka sibuk untuk mencari pelanggan yang baru. Saya pernah terkena dan sehingga sekarang agen tersebut tiada khabar berita. Bertanya khabar pun tidak, apatah lagi untuk mengemaskini status atau apa2 berita terbaharu mengenai pelan tersebut. Menghantar kalendar tahun baru pun tiada...Bagi saya, sekurang-kurangnya bertanyakan khabar berita akan membuatkan kita rasa dihargai sebagai pelanggan...agen insuran hanya akan menghubungi kita sekiranya mereka ada tujuan untuk menjual produk mereka yang lain dan sekaligus menambahkan komisyen mereka. - Mohon maaf kepada agen insuran yang bekerja dengan penuh dedikasi dan sentiasa tidak lupa kepada pelanggan-pelanggan mereka. Saya masih belum menemui agen insuran yang sangat bagus seperti itu. Beruntunglah bagi anda yang mana agen insuran sentiasa berhubung dengan anda, bertanya khabar dan sebagainya, sehingga mereka sudah menjadi sebahagian dari keluarga anda. Malang bagi saya kerana saya masih tidak menjumpai agen insuran yang sedemikian bagus.

Gelagat Bos

The most dangerous leadership myth is that leaders are born-that there is a genetic factor to leadership. That’s nonsense; in fact, the opposite is true. Leaders are made rather than born. —Warren Bennis

Gelagat Bos nie macam-macam.
Ada yang terlebih efisien, ada yang efisien, ada yang sambil lewa, ada yang bak kata anak buah "passing the baton", ada yang suka buat keje last minit dan sebagainya.
Sepanjang baru lebih 10 tahun bekerja, macam-macam perangai bos-bos yang saya jumpa....

Adakah anda pernah mempunyai bos yang:
  1. Terlebih efisien?
    • datang kerja awal, seawal pagi dah panggil anak-anak buah masuk ke bilik untuk briefing dan tanya status kerja - siap atau dalam pelaksanaan atau pending atau lewat. kalau siap = bagus, kalau dalam pelaksanaan = pastikan mengikut jadual atau lebih awal dari jadual, kalau pending = kene cari jalan agar digerakkan, dan kalau lewat = memang confirm markah akhir tahun kita akan menurun. kalau ada antara anak-anak buah yang suka melewa dalam bekerja memang tak senang duduk bila jumpa bos yang semacam nie. Semua kerja kene purfect dan mengikut perancangan serta jadual
  2. Efisien?
    • boss yang macam nie, ramai ke? lebih-lebih lagi apabila bekerja di sektor-sektor tertentu. Jarang sekali datang lewat, kalau datang lewat pun bersebab. kerja diusahakan untuk diselesaikan mengikut jadual, mesra dengan anak-anak buah dan memahami mereka.
  3. Terlebih Cool
    • boss yang macam nie, akan kata pada kita bila kita mengadu or "report" sesuatu...."relakssss, jangan stress stress, buat je keje yang mampu dibuat, kalau tak mampu bukan salah kamu"...dah tu...salah siapa????
  4. Passing the baton
    • Boss "passsing the baton" kebiasaannya akan selalu mengatakan "sila uruskan" dan natijah nya kamu la kene tanggung. Tapi bila berjalan lancar...kredit pastinya akan diletakkan pada boss. Bila tidak berjalan dengan lancar, anak buah pulak dikatakan tidak competent....
  5. "The unfocused"
    • Boss yang "unfocused", biasanya akan juga tidak tetap pendirian. Sekejap keputusan A, sekejap lagi B, hari lain pulak keputusan C...pening!
A leader is best when people barely know he exists, when his work is done, his aim fulfilled, they will say: we did it ourselves. —Lao Tzu

11 November 2014

Bacaan: Maharaja Wang - Strategi Menyimpan Dahulu

Semua orang mahu menjadi kaya. Tetapi tidak semua orang boleh menjadi kaya. Kebolehan dan keupayaan menjadi kaya bergantung kepada tabiat diri sendiri. Definisi kaya bagi seseorang individu itu pelbagai. Ada yang mahu menjadi kaya budi dan nilai. Ada yang mahu menjadi kaya raya, berduit dan berwang, bebas dari kesempitan. Ada yang mahu kaya ke-dua-duanya, kaya nilai dan iman serta mempunyai wang yang banyak.

Bagaimana mahu menjadi kaya?
Mulakan dengan tabiat MENYIMPAN. Menyimpan bukanlah satu perkara yang mudah bagi seorang yang boros. Tetapi menyimpan amatlah mudah bagi yang sedar bahawa wang bukanlah sesuatu yang senang diperolehi.

Tabiat menyimpan ini perlu dipupuk sejak kecil lagi, tanamkan tabiat menyimpan di jiwa anak-anak kecil agar mereka tahu susahnya ibu bapa mereka mencari wang untuk memenuhi keperluan keluarga. Bagi saya, seeloknya elakkan membeli barangan berjenama untuk anak-anak, tetapi sekiranya anda mampu dan dalam masa yang sama, anda tidak mengadu harga petrol naik, harga barang-barang keperluan asas naik dan dengan semua kenaikan harga di pasaran, belilah barangan berjenama mewah untuk anak-anak anda :)

Tahukah anda, dengan menggalakkan anak-anak kecil menyimpan, mereka akan lebih menghargai wang saku yang anda berikan. Sekiranya tabiat menyimpan diamalkan dari kecil lagi, bayangkan berapa banyak simpanan yang akan anak-anak anda perolehi sehingga mereka melangkah ke alam universiti nanti :)

Bagi yang sudah dewasa, dan matang :) masih belum terlambat untuk kita menyimpan, kerana dengan gaji yang kita perolehi dari bekerja, keupayaan kita untuk menyimpan sebenarnya adalah tinggi. Tetapi, malangnya bagi kebanyakan kita, gaji yang diterima secara bulanan telah diagihkan kepada komitmen perbelanjaan wajib kita selama sebulan sehingga tiada ruang untuk menyimpan dan selalu juga sebelum sampai hujung bulan poket kita telah sedia kering. Angan-angan kita untuk menyimpan sebanyak 10% dari gaji kita selalunya musnah dan hancur di pertengahan jalan dan akhirnya kita sentiasa mengeluh kerana:
  1. tidak dapat menyimpan;
  2. sebelum hujung bulan, poket selalu kering dan terpaksa mengikat perut sehinggalah tarikh menerima gaji bulanan tiba.Dan kita akan mula mengeluh, marah dengan situasi yang kita selalu hadapi dan menyalahkan keadaan.
Bagaimana cara kita untuk keluar dari belenggu tersebut? - belenggu kesempitan wang, tidak cukup wang yang membuatkan kita tidak kaya? - Selalu menyimpan 10% dari gaji anda terlebih dahulu sebelum anda membelanjakan duit gaji anda kepada perbelanjaan wajib yang lain. Saya bagi beberapa contoh senario seperti di bawah:

Senario 1:
Graduan A yang baru memulakan kehidupan berkerjaya:
Gaji bulanan bersih RM1500.00.
Simpanan 10% dari gaji = RM150.00 sahaja
Perbelanjaan wajib: 1) bayaran bulanan motorsikal = RM250.00, 2) bilik sewa = RM200.00 3) Belanja makan minum bulanan = RM500.00 4) Bagi pada mak ayah = RM200 5) Pinjaman PTPTN = RM200
Baki akhir bulanan = RM0.00

Sekiranya Graduan A tidak menyimpan 10% terlebih dahulu dari gaji bulanan, beliau akan ada lebihan sebanyak RM150,00 dan mungkin akan digunakan kepada perkara-perkara lain yang tidak perlu. Adalah lebih selamat untuk mengasingkan simpanan tersebut terlebih dahulu sebelum menghabiskannya untuk perbelanjaan-perbelanjaan yang lain.

Sekiranya gaji bulanan tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan tersebut, ada baiknya Graduan A mencari kerja lain yang lebih tinggi gajinya, atau mencari kerja sambilan atau menilai semula perbelanjaan-perbelanjaan bulanan sedia ada.

Senario 2: Bagi yang telah lama berkerjaya tetapi masih mengadu gaji bulanan tidak mencukupi
Pekerja A telah bekerja lebih 10 tahun dan mempunyai mempunyai gaji bulanan bersih sebanyak RM10,000 sebulan
Komitment bulanan: Pinjaman rumah = RM2000.00, Kereta Alphard = RM1500.00, Perbelanjaan sekolah anak-anak = RM2000.00, Zakat bulanan = RM500.00, Belanja Rumah termasuk bil-bil utiliti = RM2000.00, Yuran bulanan kelab Golf@ kelab kesihatan = RM200, Insuran bulanan = RM1000.00
Baki akhir bulan yang tinggal hanyalah = RM800.00.

Sekiranya pekerja A, menyimpan terlebih dahulu gaji bulanan bersih beliau sebanyak 10% iaitu = RM1000.00 sebulan selama setahun, simpanan beliau akan mencecah RM12,000 sebelum dividen.
Untuk tujuan simpanan tersebut, beliau perlu membuat beberapa perubahan di atas tabiat berbelanja bagi sekeluarga agar misi menyimpan sebanyak 10% dapat dicapai.

Sebenarnya tidak ada yang mustahil untuk dicapai kecuali kita memang hanya mahu berangan-angan untuk menjadi kaya. Angan-angan perlulah digandingkan dengan usaha dan iltizam untuk mencapai apa yang kita angankan.

Tuan Azizi Ali telah menekankan di dalam bukunya : Maharaja Wang mengenai Strategi Menyimpan Dahulu dan bukannya Strategi Simpan Baki. Sekiranya selama ini anda memngamalkan strategi simpan baki, anda tidak akan berjaya menyimpan kerana selalunya baki gaji anda di akhir bulan selalunya 0 atau tidak lebih dari 10% dari gaji anda. Percayalah! Saya pernah melaluinya :)

Sehingga sekarang ini, saya akan asingkan 10% dari gaji saya ke tempat simpanan yang agak susah untuk dikeluarkan melalui Kad ATM, saya simpan juga untuk dana permusafiran saya dan untuk pelaburan. Saya sudah tidak hiraukan barangan berjenama kerana ianya tidak mempunyai nilai apabila telah digunakan. Saya masih memandu kereta yang saya beli hampir 10 tahun yang lepas, dan saya rasa tenang bila melihat wang gaji saya dapat disalurkan kepada tempat-tempat yang saya rasa akan membantu saya bila saya telah tiada nanti.

"Style will always make you look rich, but it will never make you rich"~uark

Kawal aliran kewangan anda dan mulakan menyimpan. Dengan simpanan tersebut anda boleh mula membuat pelaburan atau membeli rumah pertama/kedua/ketiga dan seterusnya. Dengan simpanan itu juga, anda boleh tidur nyenyak kerana anda tahu, sekiranya berlaku kecemasan, anda mempunyai simpanan yang boleh digunakan.

Sedikit atau banyak gaji bulanan anda, jika anda tidak pandai mengawal aliran keluar wang gaji anda, anda akan sentiasa rasa gaji anda tidak mencukupi untuk memenuhi kehidupan tidak terkawal anda itu. Pilihan di tangan anda, sama ada anda sentiasa mengeluh kesah dengan ketidakcukupan gaji sedia ada atau anda mula bertindak dan hapuskan belanja-belanja yang sebenarnya tidak perlu bagi diri anda dan keluarga.
“No one else can ever make your choices for you. Your choices are yours alone. They are as much a part of you as every breath you will take, every moment of your life.”~Dr. Shad Helmstetter’s

09 November 2014

Bacaan: Panduan Membeli Rumah Pertama Anda

Anda belum memiliki rumah? dan anda belum terfikir pun untuk membeli rumah? atau anda berkira-kira untuk membeli rumah impian anda, tetapi masih tidak mempunyai cukup dana dan gaji anda tidak mampu untuk membayar rumah impian anda?

Makanya, anda perlu membeli dan membaca buku ini. Buku ini merupakan panduan bagi individu yang mahu membeli rumah kediaman sendiri tetapi tidak tahu caranya dan tidak mempunyai motivasi yang kuat untuk memiliki rumah sendiri.

Sebelum saya mulakan rumusan dari pembacaan buku ini, izinkan saya bercerita serba sedikit mengenai kisah rumah pertama saya. Saya beli rumah tersebut lebih kurang 10 tahun yang lalu. Rumah tersebut merupakan Apartment Medium-Cost dan ianya bukanlah rumah idaman saya. Saya beli berdasarkan keperluan dan kesedaran bahawa dengan menyewa tidak membawa apa-apa faedah kepada saya. Saya hanya membantu tuan rumah membayar pinjaman perumahan beliau di samping menguntungkan tuan rumah.

Atas kesedaran tersebut, dengan gaji bulanan yang sedikit, saya usahakan juga mencari sebuah rumah yang boleh menjadi milik saya pada masa tersebut. Sebelum itu, beberapa tahun sebelumnya terdapat satu tawaran yang menarik dari pemaju rumah berhampiran dengan rumah sewa saya, dengan tawaran harga rumah RM72,000 bagi sebuah rumah apartment yang mempunyai lift, 3 bilik dan 3 bilik air, ianya memamng berbaloi. Tetapi, kekangan kewangan pada masa itu menggagalkan usaha saya untuk memiliki rumah sendiri, kerana saya perlu membayar 10% deposit + booking kepada pemaju. 10% deposit yang berjumlah sebanyak RM7,200 pada 11 tahun yang lepas adalah sangat besar bagi saya yang bergaji sangat sedikit pada masa itu. Dengan perasaan kecewa, saya teruskan membayar sewa bulanan sebanyak RM500 kepada tuan rumah. 

Rumah ke-2 yang saya jumpa juga gagal saya beli. Nilai jualan pada masa itu adalah RM100k. Rumah Sub-Sale tersebut telah dilengkapi dengan Kitchen Cabinet. Walaupun rumah tersebut mempunyai 3 bilik, ianya bukanlah mempunyai 2 bilik air, 2 bilik air tersebut adalah 1 bilik air dan 1 bilik mandi dan sqft rumah juga agak kecil. Biasanya rumah sub-sale memang akan semakin mahal kerana nilainya meningkat dari tahun ke tahun.

Pencarian kali ke-3 barulah berjaya dan pada masa yang sama, simpanan EPF dari Akaun Pertama untuk tujuan pembiayaan rumah mencukupi untuk membayar deposit sebanyak 10% beserta kos-kos tersembunyi yang lain. Habis kesemuanya dikeluarkan untuk tujuan tersebut. Membeli rumah pertama memang memeritkan, memenatkan dan penuh cabaran. Walaupun rumah kecil dan kiut miut dan ianya bukanlah rumah idaman saya, saya bersyukur kerana mempunyai tempat berteduh dan lebih penting rumah saya sendiri. Harga pada masa tersebut tidak sampai pun RM100k dengan 3 bilik dan 2 bilik air. Itu lebih kurang 10 tahun yang lepas. Sekarang ini, rumah tersebut telah melebihi sekali ganda nilai dari yang saya beli lebih 10 tahun yang lepas.

Sekarang ini, walaupun rumah semakin mahal dan harga semakin tidak masuk akal, banyak insentif telah diberikan sama ada dari pemaju dan sebagainya. Bagi pembelian rumah pertama, anda boleh mengisi permohonan untuk pembelian rumah pertama dengan kos RM250k ke bawah. Pinjaman dari bank juga dalam lingkungan 90% dan ada juga yang 100%. Dan sekarang ini, banyak buku-buku yang menceritakakn garis panduan bagaimana untuk memiliki rumah. Seminar-seminar hartanah pun semakin banyak sekarang ini untuk meningkatkan motivasi anda membeli rumah. Bahkan anda boleh menjadi jutawan di dalam bidang hartanah ini. Tidak akan ada alasan untuk memiliki rumah sendiri. Kalau gaji bulanan anda tidak diagihkan untuk membayar pinjaman perumahan, duit gaji bulanan anda akan habis juga sebelum tiba gaji yang seterusnya sekiranya anda tidak bijak di dalam menguruskan kewangan. Rumah tiada, gaji habis entah ke mana!

Persoalannya - adakah anda bersedia??? atau masih selesa dengan menyewa???

Bacalah buku ini! Ianya akan mengubah persepsi dan pemikiran anda bahwa, adalah merugikan sekiranya anda selesa untuk menyewa sepanjang hidup anda! begitu juga sekiranya anda selesa tidak membebankan diri anda dengan hutang pinjaman rumah kerana selama ini anda duduk dan diam di rumah pusaka keluarga anda. Belilah sekurang-kurangnya 1 rumah sekiranya anda risau gaji anda semakin berkurang dengan membayar hutang rumah setiap bulan.

Kandungan buku ini adalah seperti di bawah, anda teruja atau tidak untuk membaca buku ini setelah melihat isi kandungannya???
Selamat mencari dan selamat membaca :)
A good financial plan is a road map that shows us exactly how the choices we make today will affect our future.~Alexa Von Tobel

03 November 2014

Bacaan: sambungan Maharaja Wang

Hidup sedikit, ketawa lebih

Let me rephrase sedikit: "hidup sedikit, senyum banyak"

Hidup - kita punya pilihan...samada untuk menjalani kehidupan sebagai satu bebanan @ menjalani kehidupan sebagai satu hadiah dan kurnia.

Pilihlah untuk hidup bahagia walaupun kadang2 sukar untuk anda. Pilih untuk senyum dan ketawa.

Elakkan dari menonton tragedi, mendengar khabar2 angin, bergaul dengan orang yang panas baran, orang yg merasa diri bagus dan elakkan diri dari berpotensi menjadi buruk,kasar dan perengus. Jauhi makanan yang membuatkan anda sakit di kemudian hari dan lupakan perkara2 yang menyakitkan hati anda.

Pilihan di tangan diri kita sendiri. Jangan salahkan Allah SWT  atau orang lain sekiranya anda tidak bahagia!

"Manusia yang bahagia hidupnya adalah manusia yang kaya".~uark

02 November 2014

Bacaan: Sambungan Maharaja Wang dari Azizi Ali

Berbakti untuk orang lain

Ada sebabnya kenapa peribahasa orang2 dahulu berbunyi begini, "Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali".

Mengapa tidak berbuat baik sepanjang masa? Mengapa mesti ada hadnya? Kadang-kadang, berbuat baik sepanjang masa akan merosakkan diri sendiri.

Berbuat baiklah dan jangan mengharapkan balasan dari orang. Dengan itu, kita akan rasa gembira dan bahagia walapun orang tersebut tidak berterima kasih atau tidak menghargai pertolongan kita itu.

"Membantu orang lain juga adalah salah satu ciri orang yang kaya"~uark

Bacaan: sambungan Maharaja Wang

Kekayaan adalah pasangan yang begitu elusif...

Buku ‪#‎AziziAli‬ ‪#‎MaharajaWang‬ ‪#‎jadikaya‬‪#‎hidupkaya‬ ‪#‎matikaya‬
"Perkara yang berbaloi tidak mustahil untuk dikecapi, tetapi bukan juga mudah untuk dicapai...maka, berusahalah!"
‪#‎books‬ ‪#‎readings‬ ‪#‎selfreflection‬‪#‎selfreminder‬ ‪#‎asahminda‬ ‪#‎booklovers‬‪#‎bookoftheday‬ ‪#‎bookreviews‬ ‪#‎membaca‬‪#‎bacabuku